Diterbitkan pada 17 November 2025, 16:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sdr. Kamaluddin Rostov, anak lelaki Sasterawan Negara (SN) ke-5, Allahyarham Arena Wati, menjelaskan bahawa ayahnya tidak bersetuju dengan hasrat Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee untuk mengadaptasi novel Sandera ke filem.

Sandera, novel kedua Arena Wati, menarik minat P. Ramlee kerana mesej Melayu dan Nusantaranya yang sangat kuat. Bertemakan sejarah, karya ini dahulunya tertangguh penerbitannya hampir tiga tahun dalam simpanan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum diterbitkan pada tahun 1971.

Sandera yang memenangi tempat ketiga Hadiah Utama Sayembara 10 Tahun Merdeka (1968) dicetak semula pada tahun 1986 dan dijadikan teks rujukan pelajar aliran sastera.

Sandera atau maksudnya “tebusan” membawa kisah kebangkitan rakyat di Nusantara menentang penjajahan. Kandungan novel ini juga mengandungi panduan dan nasihat kepada masyarakat yang hidup selepas merdeka, agar menghargai dan memahami kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu.

Menurut Kamaluddin, ayahnya bimbang mesej novel tidak sampai jika dipindahkan ke dalam bentuk filem. Beliau memberikan contoh filem francais Harry Potter yang diadaptasi daripada novel nukilan J.K. Rowling.

“Banyak pembaca novel Harry Potter merungut tidak berpuas hati dan tidak gembira apabila menonton filem setelah diadaptasikan,” ujar beliau sebagai reaksi terhadap pertanyaan salah seorang peserta Siri Syarah Kebudayaan 2025, pada 15 November di Muzium Telekom, Kuala Lumpur.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan yang turut menjawab persoalan tersebut mengatakan bahawa beliau tiada halangan walaupun ceritanya kurang sesuai dengan suasana mutakhir.

“Saya bersetuju meskipun persoalan yang dibawa sudah kurang sesuai tetapi masih boleh memikat jika pengadaptasiannya kepada lakon layar kuat. Bagi saya, novel untuk dibaca dan filem untuk ditonton,” jelas beliau.

Setakat ini, Sandera hanya pernah dipentaskan oleh DBP sebagai memenuhi projek Teater Perdana pada 19 hingga 23 Jun 2014 di Auditorium DBP, bersempena dengan ulang tahun DBP yang ke-58.

Naskhah adaptasi Sandera ditulis oleh aktivis teater Sdr. A. Wahab Hamzah yang sekali gus memikul tanggungjawab mengarahkannya. Beliau mempunyai alasan yang kukuh untuk mementaskan Sandera ketika orang Melayu mendepani fragmentasi politik yang paling hebat pada dekad kedua alaf baharu.

Wahab memberikan kepercayaan kepada pelakon teater seperti Kamarulzaman Taib (Che Kem), Mardiana Alwi, Sabri Yunus, Bokhari Ibrahim, Eliza Mustafa, dan Rasdi Daud.

Katanya, pelakon-pelakon berkenaan mempunyai nama yang kuat dalam peta teater Kuala Lumpur, dan dibuktikan dengan pelibatan dalam pementasan terdahulu.

Siri Syarah Kebudayaan 2025 bertemakan “Gelora Laut dan Tekad Anak Jantan: 100 Tahun Arena Wati” diadakan bersempena dengan ulang tahun kelahiran ke-100 tokoh besar kesusasteraan Melayu berkenaan.

Program ini merupakan anjuran Svara, Riwayat dan Krom Studio dengan kerjasama DBP, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Inisiatif Buku Darul Ehsan, dan Obscura.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi