Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perbincangan mengenai Sasterawan Negara Kelima Arena Wati menerusi Forum Utama Gelora Laut dan Tekad Anak Jantan sempena 100 Tahun Arena Wati di Muzium Telekom, Kuala Lumpur baru-baru ini tampil sangat menarik.
Forum utama yang menemukan lima panel berlainan generasi bukan sahaja menampilkan hubungan panel sebagai pembaca, tetapi kehadiran Pengerusi Eksekutif Yayasan Karyawan, Dr. Roosfa Hashim yang pernah menangani tulisan Arena Wati, memberi nilai tambah pada acara berkenaan.
Dikendalikan oleh pengarang-wartawan, Hafizah Iszahanid, selain Roosfa, sesi itu turut menampilkan mantan editor, Sdr. Zin Mahmud, Penyelidik di Institut Sains Sosial dan Pensyarah Kanan di Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia, Dr. Hani Salwah Yaakup, penulis, Norsamila Samsudin dan pembaca Arif Danial.
Roosfa ketika menjawab pertanyaan moderator menyebut, pengalamannya sebagai editor yang menangani naskhah Memoir Arena Wati: Enda Gulingku, yang diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.
“Ketika itu, saya masih muda dan Arena Wati sudah ada nama. Walau bagaimanapun, naskhah itu berjaya menggondol beberapa anugerah, antaranya buku terbaik dan editor terbaik,” katanya.
Tambahnya, kekuatan Arena Wati juga berpunca daripada pengalaman hidupnya yang luas sebagai pelaut, pengembara, pemerhati politik, dan penulis yang tegar menguji batas imaginasi.
Malah, kepakaran naratifnya menggabungkan budaya setempat dengan cakerawala global, menjadikan setiap karya bukan sahaja cerita, tetapi dokumen sosial yang merentas geografi dan zaman.
Sebelum ini, khalayak lebih mengenali Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan yang diketahui banyak menangani karya Arena Wati, justeru perkongsian Roosfa ternyata membuka pintu kajian dan penulisan baharu.
Namun begitu, perkongsian Dr. Hani Salwah agak menarik apabila diperkenalkan moderator sebagai pembaca Arena Wati sejak usia kecil.
Hani Salwah berkata, dalam dunia kesusasteraan Melayu, nama Arena Wati bukan sekadar hadir sebagai pengarang prolifik, tetapi turut berdiri sebagai pemikir, pencatat zaman dan pejuang bangsa.
“Perkenalan saya dengan Arena Wati bermula dengan Trilogi Bunga. Beberapa kali dicadangkan baca, namun tidak pernah terasa hendak membaca.
“Tapi, ketika melanjutkan pengajian sarjana muda, waktu itu saya mencari bahan bacaan, Arena Wati kembali pada hidup (saya). Usai membaca Sakura Mengorak Kelopak, saya terus menjadi peminat,” katanya.
Tambah Dr. Hani, Arena Wati mencabar dunia cara memandang wanita Jepun, patriarki, dan pandangan beliau sendiri terhadap Jepun.
“Selesai Trilogi Bunga, saya meneroka Trilogi Armageddon dan diberi kepercayaan bercakap mengenainya pula.
“Saya pernah bertemu susuk itu secara berdepan, tetapi tidak bertegur sapa kerana waktu itu saya masih terlalu muda dan beliau susuk yang ‘besar’,” katanya.
Arena Wati atau Dr. Muhammad Dahlan Abdul Biang, dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang, Jeneponto, Sulawesi Selatan.
Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Belanda sebelum tercetus Perang Dunia Kedua.
Selain nama pena Arena Wati, beliau turut menggunakan beberapa nama pena seperti Duta Muda dan Patria, menandakan keluasan gaya dan suara kreatif yang dibawanya.
Arena Wati pernah menceburi dunia kewartawanan sekitar tahun 1954 dan pernah berkhidmat sebagai editor di Pustaka Antara sebelum diangkat sebagai Sasterawan Negara pada tahun 1987.