Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKhairol Anuar Harith Fadzilah menampilkan kehebatan ilmu pelayaran orang Melayu dalam novel Sukma Angin, karya Sasterawan Negara Arena Wati.
Kemunculan masyarakat maritim di Nusantara sejak kurun awal Masihi telah melahirkan kerajaan-kerajaan maritim terkenal di Nusantara dalam tamadun Melayu, seperti Makasar, Funan, Kedah Tua, Srivijaya, Langkasuka, Melaka, Majapahit, dan Aceh.
Konsep masyarakat maritim menurut Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan dalam Sejarah Dunia 1500 – 1955 (2014) merupakan masyarakat yang bergantung pada aktiviti berasaskan laut, seperti perdagangan, perkapalan, penerokaan, penjelajahan, perikanan, dan pengumpulan hasil laut. Selain itu, penempatan masyarakat maritim terletak di kawasan pesisir pantai, lembah sungai, kawasan kepulauan, pelabuhan, dan bandar pelabuhan yang terletak di muara sungai. Pelabuhan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat menyimpan barang, tempat penginapan, bekalan air, dan pusat jual beli barangan. Hasilnya, masyarakat maritim terdiri daripada golongan pedagang, nelayan, nakhoda, anak kapal, dan peneroka.
Kemunculan dunia maritim dalam sejarah maritim Nusantara bermula dengan kedudukan Asia Tenggara yang terbahagi kepada Kepulauan Asia Tenggara dan Tanah Besar Asia Tenggara. Selain itu, perkembangan dunia maritim Asia Tenggara seiring dengan faktor ruang geografi yang dipenuhi dengan ribuan buah pulau telah yang menjadikan Kepulauan Asia Tenggara sebagai ruang maritim dan dunia maritim yang padat dengan migrasi, komunikasi dan perdagangan bersifat kosmopolitan.
Menurut Lynda Norene Shaffer dalam Maritime Southeast Asia to 1500 (1996), penemuan pelbagai kesan sejarah maritim Nusantara telah membuktikan bahawa sejarah maritim di Asia Tenggara bermula Sebelum Masihi (SM). Malah, sejarah maritim Nusantara dan sejarah maritim Asia Tenggara bermula menerusi sejarah pembentukan masyarakat Melayu-Polinesia atau Malayo-Polinesia dari Yunan, Selatan China, menerusi laut ke Kepulauan Taiwan (Formosa), Filipina dan Timur Indonesia. Tegasnya, pergerakan migrasi Kumpulan Melayu-Polinesia telah bergerak menyeberangi lautan luas menuju ke Semenanjung Asia Tenggara atau Kepulauan Asia Tenggara pada tahun 3000 SM hingga 2000 SM (Shaffer, 1996:7).
Keunggulan kearifan tempatan yang dimiliki oleh para pelaut Melayu di Nusantara menurut Shaffer berdasarkan kemahiran dan kearifan tempatan pelaut Melayu di Nusantara mengendalikan pelayaran jarak jauh sejak kurun pertama. Selain itu, kearifan tempatan para Melayu di Nusantara memiliki kemahiran ilmu laut yang tinggi dan boleh belayar merentasi lautan beribu-ribu batu tanpa menggunakan kompas dan carta bertulis yang menggunakan angin, binatang, warna air laut, dan rupa bentuk gelombang laut untuk mengetahui sesuatu lokasi. Jelaslah bahawa kehebatan pembinaan kapal-kapal Melayu telah dicatatkan menerusi kembara Isabella L. Bird ke Timur pada tahun 1879 dalam sebuah buku bertajuk The Golden Chersonese and the Way Thiter (1883), seperti dalam petikan yang berikut:
… of the remaining Moorish of Malay Kingdoms, Acheen, in Sumatra, was the most powerful, so powerful indeed that its king was able to besiege the great stronghold of Malacca more than once with a fleet, according to the annalist of more than five hundred sail, one hundred of which were of greater size than any the constructed in Europe and the warriors and mariners that it bore amounted to sixty thousand commanded by the King in person.
…………………………(Bird, 1967:47)
Petikan tulisan Bird tersebut menceritakan usaha dan perjuangan Empayar Kesultanan Melayu Aceh untuk menawan kembali Kota Melaka setelah Kota Melaka jatuh ke tangan Portugis. Selain itu, Empayar Kesultanan Melayu Aceh telah membawa lebih 500 buah kumpulan kapal perang yang lebih besar berbanding kapal perang yang dibina di Eropah pada ketika itu. Sememangnya, kearifan tempatan bangsa Melayu dalam sejarah maritim Nusantara melambangkan batu asas pada kegemilangan tamadun Melayu dan keunggulan sejarah Alam Melayu di Nusantara.
Kemunculan masyarakat maritim di Nusantara sejak abad kelima Masihi telah membuktikan bahawa keunggulan kerajaan maritim Nusantara dalam sejarah maritim Nusantara lebih maju ke hadapan sebelum kemunculan kerajaan maritim di Eropah pada abad ke-17 Masihi, seperti Portugal, Belanda dan Inggeris.
Perkembangan masyarakat maritim di Nusantara dalam sejarah maritim Nusantara menurut Sivachandralingam dan Ayadurai (2014) merupakan masyarakat yang menjalankan kegiatan ekonomi dalam dunia lautan. Kemunculan masyarakat maritim di Nusantara sejak kurun awal Masihi telah melahirkan kerajaan-kerajaan maritim terkenal di Nusantara dalam tamadun Melayu, seperti Makasar, Funan, Kedah Tua, Srivijaya, Langkasuka, Melaka, Majapahit, dan Aceh. Malah, keunggulan beberapa kerajaan maritim terkenal di Nusantara telah berjaya menguasai aktiviti maritim, termasuk perkapalan, perdagangan dan perikanan.
Secara keseluruhannya, perkembangan aktiviti masyarakat maritim dalam kerajaan maritim terkenal di Nusantara, seperti Makasar, Funan, Kedah Tua, Srivijaya, Langkasuka, Melaka, Majapahit, dan Aceh, telah melahirkan masyarakat maritim yang memainkan peranan penting dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.
Faktor kemunculan masyarakat maritim berdasarkan kedudukan geografi, kestabilan politik, penemuan baharu, dan dorongan daripada pengembara terdahulu. Secara keseluruhannya, ciri masyarakat maritim menurut Sivachandralingam dan Ayadurai (2014) meliputi kegiatan ekonomi, petempatan, teknologi perkapalan dan pelayaran, penjelajahan dan penerokaan, sifat ingin tahu, semangat keterbukaan, memiliki sifat berani, dan keupayaan menguasai laluan laut.
Konsep Nusantara
Hasil gabungan kata ‘nusa’ dan ‘antara’ sebagai Nusantara ialah Kepulauan Melayu dan bangsa Melayu yang berketurunan suku Bugis di Makasar, Sulawesi Selatan, Indonesia, yang dipisahkan oleh laut.
Pada dasarnya, Nusantara berasal daripada dua kata, iaitu ‘Nusa’ dan ‘Antara’. Definisi kata ‘Nusa’ dalam bahasa Sanskrit bermaksud pulau atau kepulauan, seiring dengan definisi Nusantara dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), iaitu Kepulauan Melayu. Sementara itu, kata ‘Nusa’ dalam bahasa Latin menurut Martin Bernal dalam Black Anthena (2006) berasal daripada kata ‘Nesos’, iaitu semenanjung. Kata ini juga seiring dengan makna “bangsa” yang juga seiring dengan nation dalam bahasa Inggeris. Malah, kata kedua, iaitu kata ‘antara’ dalam perkataan “Nusantara” memiliki padanan kata dalam bahasa Latin, iaitu ‘in’ dan ‘terra’, iaitu ‘antara’ atau “dalam suatu kelompok”.
Kata ‘antara’ sama dengan kata ‘inter’ dalam bahasa Inggeris yang bermaksud ‘antar’ dalam bahasa Indonesia dan ‘antara’ dalam bahasa Melayu. Selain itu, kata ‘antara’ dalam bahasa Sanskrit bermaksud laut, seberang atau luar, manakala kata ‘antara’ dalam bahasa Indonesia bermaksud ‘antar’. Malah, kata ‘antara’ dalam bahasa Melayu pula bermaksud seberang dan laut. Hasil gabungan kata ‘nusa’ dan ‘antara’ sebagai Nusantara ialah Kepulauan Melayu dan bangsa Melayu yang berketurunan suku Bugis di Makasar, Sulawesi Selatan, Indonesia, yang dipisahkan oleh laut. Hal inilah yang diceritakan oleh Sasterawan Negara (SN) Arena Wati dalam novel Sukma Angin (1999).
Sejarah Maritim Nusantara dalam Sejarah Kehidupan Arena Wati
Pengalaman yang dimiliki oleh Arena Wati dalam dunia maritim Nusantara cukup luas. Keunggulan dan kearifan Arena Wati sebagai pelaut ketika berusia 17 tahun semasa zaman Perang Dunia Kedua terbukti sehingga beliau berjaya diangkat sebagai nakhoda kapal. Lebih membanggakan, sebanyak 40 buah kapal yang pernah dilayari oleh Arena Wati, seperti yang tertulis dalam biografi penulis Wajah (2005). Beliau berlayar dalam kumpulan kapal dagang di Singapura yang pernah membawa pelbagai barang dagangan ke Bangkok, Rangoon dan ke seluruh Asia.
Pelayaran Arena Wati yang merentasi dunia telah membawanya ke dalam “pelayaran dunia baharu”, iaitu pelayaran dunia buku yang kaya dengan ilmu. Pelayaran telah mencetuskan minat Arena untuk membaca pelbagai buku. Hasilnya, beliau semakin rajin membaca buku cerita yang dijual di pasaran setelah Perang Dunia Kedua tamat.
Pada tahun 1948, Arena Wati telah ditawarkan untuk bekerja sebagai gunner atau pegawai di dalam sebuah kapal. Namun begitu, tawaran bekerja sebagai pegawai di dalam kapal tersebut telah dibatalkan kerana beliau bukan rakyat Singapura yang memiliki kewarganegaraan British di Singapura, meskipun beliau mempunyai pengalaman menjadi jurumudi di dalam sebuah kapal milik Belanda. Hakikatnya, pembatalan tawaran untuk menjadi gunner di Singapura amat mengecewakannya. Setelah itu, beliau terus menguatkan cita-cita untuk berjaya dalam dunia maritim Nusantara.
Seterusnya, Arena Wati pulang ke Makasar dan melanjutkan pelajaran ke Sekolah Pelayaran di Makasar. Kemunculan Perang Dunia Kedua yang berlaku di seluruh Asia dan Indonesia tidak menghalang keluarga Arena Wati untuk menghulurkan bantuan ketika beliau berjaya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Islam Makasar. Akan tetapi, Arena tidak mahu meneruskan pelajaran setelah keluarganya tidak mengirimkan bantuan kewangan ketika belajar di peringkat Sekolah Menengah Atas (SMA), Sekolah Menengah Islam Makasar.
Seterusnya, beliau kembali bertugas sebagai Timbalan Ketua Perencana Jabatan Angkutan Angkatan Darat Territorium VII-Bahagian Pelabuhan. Selain itu, Arena Wati telah mengikuti Kursus Persiapan Akademi Dinas Luar Negeri sebagai persediaan untuk bergelar sebagai seorang diplomat. Akan tetapi, jawatan diplomat tersebut tidak serasi dengan jiwanya. Akhirnya, Arena Wati telah berhijrah ke Singapura dan bekerja dalam dunia persuratkhabaran, selain bertugas dalam dunia penerbitan di Pustaka Antara, Kuala Lumpur selepas bekerja dengan Penerbitan Melayu Ltd. selama lima tahun (1957 – 1961). Arena Wati turut bertugas sebagai Ketua Penasihat Percetakan Light di Brunei.
Sukma Angin
Kedudukan latar tempat Makasar yang diceritakan dalam novel Sukma Angin digambarkan menerusi kehebatan kapal Sukma Angin yang belayar dari Makasar ke Surabaya dalam masa 39 jam sahaja, sedangkan kapal-kapal yang berenjin wap tidak mampu melakukan siri pelayaran selama 39 jam.
Malah, keunggulan dan kehebatan kapal Sukma Angin dicemburui oleh para pegawai daripada kapal-kapal Belanda dan kapal-kapal perang (Sukma Angin, 1999:189). Kearifan tempatan yang dimiliki oleh Nakhoda Supuk dan Sapparak dalam dunia maritim Nusantara, selain kelemahan undang-undang yang dilaksanakan oleh penjajah Belanda merupakan suatu kelebihan kepada Inlanders untuk meruntuhkan keagungan penjajah Barat yang dicanangkan dalam sejarah dunia. Hakikatnya, sejarah kemunculan masyarakat maritim di Eropah menurut Sivachandralingam dan Ayadurai (2014) hanya bermula pada abad ke-15.
Sukma Angin menceritakan sejarah maritim masyarakat Melayu berketurunan suku Bugis di Makasar, Kepulauan Sulawesi Selatan yang dipimpin oleh watak Nakhoda Supuk, Darusi dan Nakhoda Sapparak. Kemunculan watak Nakhoda Supuk, Darusi dan Nakhoda Sapparak merupakan tiga watak penting yang memiliki kearifan tempatan dalam bidang pelayaran. Objektif pelayaran orang Melayu di Nusantara, sekurang-kurangnya dalam naratif Angin Sukma, bertujuan untuk meluaskan jaringan perdagangan dan menimba ilmu pengetahuan. Sememangnya, terdapat beberapa rekod China dan laporan pengembara Barat yang menunjukkan bahawa terdapat kapal-kapal pedagang Melayu dan Jawa yang terlibat dalam aktiviti perdagangan di Afrika Timur, Madagascar, Aden, dan China, yang telah merancakkan tradisi perdagangan dan perkapalan masyarakat Melayu di Nusantara (Khazrin Mohd Tamrin, 1996:215).
Bersambung …
Novel Sukma Angin boleh dibeli di sini.
Kredit Gambar: Firus Fansuri
_________________________
Khairol Anuar Harith Fadzilah merupakan seorang guru di MRSM Merbok, Bedong Kedah. Beliau mengajar mata pelajaran Sejarah, Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.