Diterbitkan pada 20 November 2025, 14:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hidayyah AT Mizi meneliti hipotesis kontroversi tentang wujudnya interaksi maritim awal antara dunia Melayu dengan tamadun Rom dengan lebih kritis dan teliti.

Hal ini mengubah seruan ‘tunjukkan bukti’ yang bersifat konfrontasi kepada satu jemputan ‘mari kita cari bukti bersama-sama’.

Saya sering bergelut dengan satu persoalan asas setiap kali menulis: bagaimanakah kita, sebagai sebuah bangsa, membina penceritaan tentang diri kita? Apakah bahan mentah yang kita gunakan untuk menempa cermin jati diri? Persoalan inilah yang memandu saya untuk menghadiri Hari Sastera Nasional ke-20 baru-baru ini. Alhamdulillah, saya yakin telah membawa persoalan ini ke tempat yang sepatutnya.

Apabila seorang pengarang melihat hipotesis, apa yang dilihat bukan sekadar sebagai tuntutan akademik yang kering, tetapi sebagai percikan api yang berpotensi menyalakan imaginasi kolektif.

Hipotesis yang dikemukakan oleh Prof. Solehah Yaacob tentang kemungkinan wujudnya interaksi maritim awal antara dunia Melayu dengan tamadun Rom seawal 800 – 788 Sebelum Masihi (SM) bukan sahaja mencabar kronologi sejarah yang mapan, tetapi secara radikal mengubah peta pemikiran kita. Tiba-tiba, kita didesak untuk membayangkan bukan sahaja tarikh, tetapi tangan-tangan purba yang menambat papan, pahat yang membentuk lunas kapal, dan bahasa lisan yang telah menyebut perkataan seperti ‘layar’ dan ‘sambungan’ jauh sebelum dakwat sejarah merekodkannya.

Reaksi segera sebahagian khalayak—yang terdiri daripada cemuhan dan penolakan total—mendedahkan satu kemelut yang merisaukan dalam pemikiran bangsa, iaitu kecenderungan untuk menutup ruang perbincangan. Berbanding meraikan perbincangan terhadap hipotesis tersebut sebagai titik permulaan sebuah penjelajahan intelektual, kritikan yang dilemparkan gagal memahami bahawa isu utamanya bukanlah sama ada hipotesis itu benar atau salah secara mutlak pada saat hal itu diungkapkan, tetapi sama ada hal itu merupakan satu usul yang boleh dikaji secara saintifik dan, yang lebih penting, sama ada mampu memacu perbincangan yang lebih mendalam.

Dari perspektif seorang pengarang, hipotesis Solehah ialah bahan mentah naratif yang luar biasa. Hipotesis ini menjadi jemputan provokatif untuk mengisi jurang sejarah dengan berdisiplin dan keketatan metodologi. Esei ini akan menghujahkan bahawa hipotesis ini, apabila dilihat melalui kanta seorang pencerita yang diinformasikan oleh sains, berfungsi sebagai pemangkin yang memaksa kita membina kerangka naratif yang lebih kompleks, boleh diuji, dan akhirnya, lebih memperkaya jati diri bangsa.

Hipotesis sebagai Premis Dramatik: Membina Watak dan Dunia

Bagi seorang pencerita, sebuah hipotesis yang berani ialah premis plot yang kuat. Hal ini memaksa kita untuk menghidupkan watak-watak dan membina dunia yang sebelum ini tidak wujud dalam naratif rasmi. Dakwaan interaksi dalam pembinaan kapal antara orang Rom dengan Melayu purba serta-merta menimbulkan soalan-soalan dramatik yang menggerakkan penceritaan. Adakah wujud bengkel-bengkel pesisir di mana seorang tukang kayu Melayu berdiri berhadapan dengan seorang jurutera Rumawi, bertukar-tukar ilmu tentang pertukangan? Apakah bahasa isyarat atau penterjemah yang mereka gunakan? Hipotesis ini memaksa kita untuk melangkaui sekadar tarikh dan peristiwa, dan menyelami perincian teknikal yang menjadi nadi kepada drama manusia.

  1. Pertukaran Teknik:

Adakah perkongsian tentang jenis paku yang digunakan? Adakah orang Melayu, yang mahir dengan teknik mengikat papan menggunakan tali (papan jahit), mula mengadaptasi teknik sambungan mortise-and-tenon yang menjadi ciri khas pembinaan kapal Mediterranean? Atau sebaliknya, adakah pelaut Rom belajar tentang ketahanan kayu-kayu tropika dan teknik ikatan yang lebih anjal untuk mengharungi lautan Nusantara?

  1. Konflik dan Kerjasama:

Siapakah yang berdiri di anjung kapal, membandingkan reka bentuk lunas? Siapa yang menilai kadar lelasan papan akibat teritip tropika? Siapa yang menambah mata kail yang berbeza pada reka bentuk sauh untuk disesuaikan dengan dasar laut tempatan?

Dengan menjadikan hipotesis ini sebagai titik mula, seorang pengarang tidak lagi terikat pada naratif sedia ada semata-mata, sebaliknya, kita diberi kebebasan untuk menulis pelbagai versi penceritaan yang mungkin, kemudian hari nanti, boleh diuji dan ditentusahkan melalui disiplin-disiplin lain. Hipotesis ini, dengan itu, berfungsi sebagai penjana cerita yang memprovokasi pencarian bukti.

Daripada Imaginasi kepada Metodologi

Seorang pengarang yang bertanggungjawab tahu bahawa imaginasi perlu berlandaskan kemungkinan yang boleh dipercayai. Untuk menjadikan naratif baharu sejarah ini lebih daripada sekadar fiksyen spekulatif, naratif tersebut mesti disokong oleh jejak-jejak arkeologi dan material. Di sinilah tugas pengarang bertemu dengan tugas saintis dan sejarawan: membuka ruang penceritaan yang boleh diuji dan dipertanggungjawabkan. Hipotesis Prof. Solehah boleh dipecahkan kepada satu kerangka hipotesis artifaktual yang boleh disemak.

Mengambil inspirasi daripada falsafah sains Karl Popper, sebuah hipotesis yang baik adalah yang boleh diuji (testable) dan boleh dipalsukan (falsifiable). Oleh itu, untuk menguji dakwaan kewujudan sebuah entiti peradaban maritim yang kompleks sekitar 788 SM, kita boleh menggariskan jangkaan arkeologi yang munasabah:

  • Jejak Teknologi Pembinaan Kapal:

Debaran penceritaan akan meningkat jika ditemui bukti fizikal yang menunjukkan pertindihan teknologi. Penemuan sambungan mortise-and-tenon di samping sisa-sisa papan jahit dalam stratigrafi yang sama akan menjadi bukti kukuh. Begitu juga dengan penemuan paku besi dengan reka bentuk atau komposisi kimia yang lazim di dunia Mediterranean. Tapak pembinaan seperti slipway purba, lubang pasak atau kawasan perapian untuk memanaskan paku akan menandakan aktiviti pembinaan berskala besar.

  • Konteks Industri dan Perdagangan di Sungai Batu:

Tapak arkeologi Sungai Batu di Lembah Bujang, dengan pentarikhan arang seawal 788 SM. Arang yang ditemui di dasar relau peleburan besi ialah proksi pada sebuah industri metalurgi yang maju—satu prasyarat untuk membina kapal-kapal yang menggunakan komponen besi. Kewujudan industri peleburan besi berskala besar pada era ini membuktikan tahap inovasi teknologi dan organisasi sosial yang mampu menyokong aktiviti maritim yang kompleks. Hal ini menunjukkan kemampuan mengekstrak sumber, mengurus tenaga kerja dan menghasilkan lebihan pengeluaran.

  • Artifak Marin dan Bukti Perdagangan Jauh:

Sauh-sauh bertakuk, kepingan pelindung lunas, atau artifak navigasi yang ditemui akan mengikat naratif ini dengan lebih kuat. Lebih penting lagi, analisis geokimia terhadap bahan-bahan ini dapat mengubah cerita. Jika analisis isotop pada artifak logam atau terak (slag) di Sungai Batu menunjukkan sumber bijih dari Parsi, atau analisis komposisi manik kaca purba menunjukkan ia berasal dari Mesir atau Levant, maka hal ini bukan lagi hipotesis interaksi, tetapi bukti langsung bagi rangkaian perdagangan antarabangsa yang telah wujud.

Oleh sebab itu, kerangka ini menyediakan satu jalan yang sistematik. Hal ini mengubah seruan “tunjukkan bukti” yang bersifat konfrontasi kepada satu jemputan “mari kita cari bukti bersama-sama”. Ketiadaan sebahagian besar bukti ini selepas ekskavasi yang intensif akan melemahkan hipotesis asal, dan inilah proses ilmu yang sebenar. Hal ini menuntut kesabaran, bukan kepastian segera.

Merentas Sempadan Disiplin: Sintesis Ilmu untuk Naratif yang Kukuh

Pembinaan jati diri dalam masyarakat harus diukur secara dinamik, rasa ingin belajar, dan cukup berani untuk bersemuka dengan cerminannya yang sentiasa berubah.

Sebuah hujah yang kompleks mengenai peradaban awal tidak boleh bergantung pada satu disiplin sahaja. Antara kerja seorang pengarang adalah untuk mensintesiskan bukti dari pelbagai bidang bagi membina sebuah dunia yang kaya dan berlapis. Hipotesis Profesor Solehah secara semula jadi menuntut pendekatan antara disiplin.

Bahasa itu sendiri ialah sejenis artifak. Kata-kata teknikal dalam bahasa Melayu purba yang berkaitan dengan pelayaran boleh diusul sebagai petanda pemindahan teknologi. Adakah perkataan untuk ‘paku’, ‘lunas’ atau ‘sambungan’ mempunyai kata seasal (cognates) dalam bahasa-bahasa Latin atau Yunani purba? Analisis linguistik perbandingan boleh mendedahkan lapisan interaksi yang tidak meninggalkan jejak fizikal.

Selain itu, apakah cara terbaik untuk menguji kemungkinan pemindahan teknologi? Dengan melakukannya. Membina semula sebahagian kapal menggunakan teknik tradisi Melayu dan sebahagian lagi menggunakan teknik yang diatribusikan kepada dunia Mediterranean akan mendedahkan batas praktikal dan estetika.

Eksperimen sebegini boleh menjawab soalan seperti: adakah teknik mortise-and-tenon berkesan dengan kayu cengal? Adakah tali gentian tempatan cukup kuat untuk menahan tekanan ombak seperti yang difahami oleh pelaut Melayu? Hal ini mungkin boleh dijadikan sebagai sandaran pengkaedahan untuk menguji hipotesis secara fizikal.

Kajian terhadap teras endapan di pesisir pantai purba boleh membina semula landskap pada era 800 SM. Adakah terdapat pelabuhan semula jadi yang sesuai? Adakah paras laut pada ketika itu membolehkan kewujudan jeti atau limbungan kapal di lokasi seperti Sungai Batu? Sekiranya benar, data ini menyediakan konteks persekitaran yang penting untuk naratif kita.

Apabila data-data ini digabungkan ke dalam sebuah naratif, pengarang harus menjaga garis pemisah yang jelas; antara mana fakta yang terbukti, mana inferens yang munasabah, dengan mana imaginasi yang terangsang oleh bukti. Inilah teras pada penulisan fiksyen sejarah yang beretika.

Etika Penceritaan, Tanggungjawab Intelektual dan Wacana Awam

Kontroversi yang timbul daripada hipotesis ini mendedahkan satu tanggungjawab besar yang dipikul oleh ilmuwan dan juga pengarang. Bagaimana kita menyampaikan penemuan yang berpotensi mengubah naratif bangsa kepada umum? Naratif besar tentang asal usul ini begitu penting kerana melibatkan dan mempengaruhi identiti kolektif.

Penolakan secara melulu terhadap hipotesis Solehah Yaacob berpunca daripada perasaan bahawa identiti yang sedia ada sedang diserang, satu manifestasi “etnonasionalisme defensif” yang rapuh.

Dalam wacana awam, penglibatan masyarakat dalam proses membina naratif bangsa memerlukan kita untuk harus mengelak daripada menggunakan bahasa absolut seperti “bukti mutlak”. Penemuan seperti pentarikhan arang di Sungai Batu harus dibentangkan bersama dengan keterbatasannya, margin ralatnya dan hipotesis alternatif yang sedang dipertimbangkan. Hal ini bukan sahaja lebih jujur, tetapi mendidik masyarakat tentang bagaimana proses ilmu berfungsi—ia bersifat tentatif, beransur-ansur dan sentiasa terbuka kepada pembetulan.

Tugas penulis bukan hanya menggubah cerita yang mempesona, tetapi juga menuntut kesetiaan terhadap metodologi yang dapat menyokong atau menafikan cerita itu. Kitalah jambatan antara arkib dengan kampung, antara data saintifik dengan pengalaman manusia. Dengan menceritakan kisah tukang-tukang di Sungai Batu, kita membumikan perbincangan abstrak tentang “jati diri” pada pengalaman hidup yang nyata dan boleh dibayangkan.

Inisiatif untuk melibatkan komuniti setempat dalam proses penyelidikan—daripada ekskavasi sehingga peringkat interpretasi—boleh memupuk rasa sepunya terhadap penemuan baharu sehingga pada akhirnya, berupaya mengubah khalayak daripada penonton yang curiga kepada pemicu yang aktif dalam pembinaan naratif warisan.

Keberanian Bertanya sebagai Asas Jati Diri yang Dinamik

Hipotesis Prof. Solehah, apabila dilihat melalui kanta seorang pengarang, adalah lebih daripada sekadar dakwaan sejarah. Hipotesisnya sebuah jemputan yang provokatif untuk bertanya lebih lanjut, menggali lebih dalam, dan berfikir secara lebih kritis dan antara disiplin. Penolakan secara melulu terhadapnya bukan sahaja mencederakan ilmuwan, tetapi membantutkan proses pemugaran naratif bangsa kita sendiri, merantai kita pada sejarah yang selesa tetapi mungkin tidak lengkap.

Dari sudut pandang saya, nilai terbesar hipotesis ini tidak terletak pada sama ada hipotesisnya akan terbukti benar sepenuhnya, tetapi pada perbincangan mendalam yang telah, dan akan terus, dicetuskan, yang memaksa kita untuk mengasah alat intelektual khalayak untuk belajar membezakan antara spekulasi dengan hipotesis yang boleh diuji, selain menghargai proses pencarian ilmu itu sendiri.

Pembinaan jati diri dalam masyarakat harus diukur secara dinamik, rasa ingin belajar, dan cukup berani untuk bersemuka dengan cerminannya yang sentiasa berubah. Pada akhirnya, keberanian untuk bertanya soalan-soalan besar dan kesabaran untuk menunggu bukti ialah dua kemahiran teras yang mesti dimiliki, bukan sahaja oleh pengarang sejarah yang bermaruah, tetapi juga oleh sebuah bangsa yang matang. Hipotesis ini ialah titik mula, bukan titik noktah. Dan bagi seorang pengarang, tiada yang lebih mengujakan daripada sebuah permulaan.

Memetik Sasterawan Negara Anwar Ridhwan, “Daripada epik lisan yang terawal hingga naratif digital masa kini, sastera membentuk tamadun … Ia bukan sahaja menjadi rakaman sejarah, tetapi turut berfungsi sebagai alat yang mempengaruhi cara manusia berfikir, bertindak dan berkembang merentas generasi.”

_________________________

Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi