Diterbitkan pada 3 Ogos 2025, 12:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bandar Melaka – Dalam dunia sastera, suara wanita bukan lagi gema yang sayup, sebaliknya merupakan alun berirama yang membentuk wacana dan menyumbang kepada pembinaan bangsa. Demikian tegas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam ucapan penutupan Perhimpunan Penulis Sastera Wanita Se-Nusantara 2025 yang berlangsung di Hotel Noble, Melaka, pada 2 Ogos hingga 3 Ogos 2025.

YBrs. Dr. Hazami turut mengingatkan bahawa perhimpunan ini adalah titik permulaan kepada jaringan dan kolaborasi yang lebih erat dalam kalangan pengarang wanita serantau. “Hari ini, kita berdiri dalam satu saf untuk menyambung warisan dan membina jambatan kreativiti antara generasi dengan negara,” katanya.

Beliau turut menyusuri sejarah dengan menyingkap nama-nama besar pengarang wanita rantau ini yang telah membuka jalan kepada generasi baharu. 

Di Malaysia, figura seperti Tengku Dalam Kalsom dari Terengganu dikenang sebagai pelopor, sementara di Indonesia, tokoh seperti Engku Puteri Raja Hamidah, Raja Aishah Riau dan Khatijah Terung terus menjadi inspirasi. Di Brunei pula, Rashidah Sa’adatul Bolkiah disebut antara pengarang wanita tersohor yang mengangkat martabat sastera tanah airnya.

DBP, jelasnya, akan terus komited menjadi wahana penyubur karya serta medan yang menghimpunkan para penulis dari seluruh alam Melayu.

Majlis turut menyaksikan pembacaan Resolusi Perhimpunan Penulis Sastera Wanita Se-Nusantara 2025 oleh Ketua Satu Ikatan Persuratan Melayu (IPM), YBrs. Tuan Haji Abdul Razak Adam. 

Perhimpunan yang berlangsung pada 2 Ogos hingga 3 Ogos ini, bertemakan “Kepengarangan Wanita dalam Era Baharu” telah menghimpunkan seramai 200 orang peserta yang dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, DBP, serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), dan diselenggarakan oleh IPM.

Antara inti pati resolusi tersebut termasuklah cadangan penubuhan Sekretariat Penulis Wanita Nusantara yang akan berpusat di GAPENA, di samping memberikan mandat kepada badan itu untuk merangka serta melaksanakan kaedah mencapai matlamat penubuhan tersebut. 

Resolusi turut menyeru agar teknologi dan media baharu dimanfaatkan dalam membangunkan penulisan wanita se-Nusantara, menggerakkan kepelbagaian citra sebagai ruang kesepakatan demi persefahaman antara negara anggota, serta melestarikan kearifan tempatan sebagai sumber inspirasi dan kesinambungan karya.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi