Diterbitkan pada 2 Ogos 2025, 17:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bandar Melaka  Situasi komuniti Melayu Muslim di selatan Thailand yang sering digambarkan secara stereotipikal dalam sastera negara itu kini mendapat sorotan baharu melalui kajian Dr. Pareeda Hayeeteh dari Universiti Rajabhat Yala. Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk “Evolusi Naratif Wanita Melayu dalam Karya Sastera Thailand” pada Sesi 3 Perhimpunan Penulis Sastera Wanita Se-Nusantara yang berlangsung di Hotel Nobel, Melaka.

Kajian Dr. Pareeda membandingkan kumpulan puisi Memeluk Sinar karya Zulfikri Ibrahim dengan novel Bukit Airmata karya finalis Anugerah Sastera ASEAN, Anusorn Marasa. Analisis tersebut menekankan keperluan memberikan suara sebenar kepada komuniti Melayu Muslim, khususnya wanita, yang selama ini terpinggir daripada gambaran menyeluruh dalam sastera Thailand.

“Evolusi naratif wanita Melayu bukan lagi sekadar bayangan di pinggir, sebaliknya sudah menjadi agen perubahan sosial dan jambatan antara budaya,” tegas Dr. Pareeda.

Menurut beliau, kedua-dua karya tersebut mencabar stereotaip tradisional yang meletakkan wanita Melayu Muslim sekadar bergantung kepada lelaki dan berada di belakang tabir. Watak Es Rohani, misalnya, tampil sebagai simbol penentangan terhadap sistem patriarki dengan imej seorang “usahawan spiritual” yang mampu mengimbangi tuntutan agama dan kejayaan duniawi.

Dalam Memeluk Sinar, simbolisme puitis seperti “kuntum manis” dan “bara perjuangan” menjadi metafora kekuatan wanita, sementara sistem warna merah, putih dan hitam pula menggambarkan perjuangan, kesucian dan penderitaan. 

Novel Bukit Airmata pula menggunakan struktur masa spiral, kosa kata Islam dalam sintaks bahasa Thai, dan teknik contrapunto yang memperlihatkan watak bergerak ke arah bertentangan, melambangkan konflik, serta adaptasi identiti.

Dr. Pareeda menekankan bahawa kedua-dua karya ini tidak mengusulkan asimilasi, sebaliknya model integrasi baharu yang menerima unsur budaya baharu sambil mengekalkan jati diri. 

“Es Rohani misalnya digambarkan menunaikan solat lima waktu sambil mengurus perniagaan dengan profesional, suatu model wanita Muslim moden Thailand yang menolak fundamentalisme maskulin tanpa menggadaikan nilai agama,” jelasnya.

Pembentangan ini turut menegaskan bahawa kajian sebegini membuka ruang untuk suara minoriti, sekali gus memperkayakan khazanah sastera Thailand. 

“Antara impak penting yang diketengahkan dalam kedua-dua judul ini termasuklah menunjukkan kerumitan wanita dalam komuniti Melayu Muslim dan membuktikan kepelbagaian dan kematangan sastera minoriti di Thailand,” katanya.

Menurut Dr. Pareeda, pencapaian Memeluk Sinar dan Bukit Airmata turut menghapuskan tanggapan salah terhadap wanita Muslim, membangunkan pendekatan bahasa untuk komunikasi lintas budaya, dan membina teknik penceritaan yang mencerminkan identiti moden yang kompleks.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi