Diterbitkan pada 27 Februari 2026, 09:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Fakulti Kemanusiaan, Kasetsart University dengan kerjasama Jabatan Promosi Kebudayaan Thailand di bawah Kementerian Kebudayaan Thailand membuka permohonan Program Writer-in-Residence Thailand 2026 menerusi inisiatif International Writers’ Village bagi mengukuhkan jaringan sastera antarabangsa serta menggalakkan penghasilan karya berlatarkan negara itu.

Universiti berkenaan dalam kenyataan medianya berkata, program residensi enam minggu itu dijadual berlangsung antara bulan Mei hingga Ogos 2026 dan memberi tumpuan kepada pembangunan karya baharu yang diinspirasikan oleh kepelbagaian budaya serta landskap wilayah negara berkenaan.

Residensi akan dibahagikan kepada dua kumpulan, dengan setiap kumpulan mengikuti program selama enam minggu.

“Peserta terpilih akan ditempatkan di salah satu wilayah berikut, iaitu Kanchanaburi, Chon Buri, Phetchaburi, Nakhon Ratchasima, Khon Kaen, Songkhla, Phuket, Chiang Rai, Phitsanulok, atau Nong Khai, bergantung pada penentuan pentadbiran program.

“Peserta diwajibkan mengikuti keseluruhan tempoh residensi yang ditetapkan dan penempatan kumpulan akan ditentukan mengikut budi bicara pihak pentadbiran.

“Setiap peserta yang terpilih akan menerima elaun tiket penerbangan pergi dan balik kelas ekonomi, penginapan yang diuruskan oleh pihak program serta elaun sara hidup sebanyak THB13,111 (RM 1,640) seminggu sepanjang tempoh enam minggu,” katanya.

Kenyataan itu turut menyebut, peserta bagaimanapun bertanggungjawab mendapatkan visa dan kebenaran masuk yang sah, selain memastikan perlindungan insurans kesihatan dan perjalanan sepanjang tempoh berada di negara berkenaan.

“Permohonan terbuka kepada penulis bukan warganegara Thailand yang telah menerbitkan sekurang-kurangnya sebuah buku penuh dengan penerbit tradisional yang diiktiraf di antara 2022 hingga 2026.

“Calon juga perlu menunjukkan merit kesusasteraan, kesediaan terlibat dalam dialog silang budaya serta memiliki penguasaan bahasa Inggeris yang mencukupi untuk menyertai aktiviti program. Genre yang layak termasuklah novel, cerpen, bukan fiksyen, dan puisi,” katanya.

Sepanjang residensi, peserta dikehendaki menghasilkan karya kreatif berlatarbelakangkan konteks geografi dan budaya Thailand.

Penulis novel dan bukan fiksyen perlu menyiapkan sekurang-kurangnya 5,000 patah perkataan manuskrip baharu bersama-sama rangka struktur atau ringkasan plot serta pernyataan reflektif bertulis.

Penulis cerpen pula perlu menghasilkan sebuah cerpen kira-kira 5,000 patah perkataan, manakala penyair perlu mengemukakan sekitar lima puisi panjang, masing-masing disertakan pernyataan reflektif.

“Kegagalan menyerahkan hasil yang ditetapkan boleh mengakibatkan tindakan pentadbiran termasuk ketidaklayakan menyertai program pada masa hadapan.

“Permohonan dibuka mulai 24 Februari 2026 hingga 25 Mac 2026, jam 11.59 malam. Semua dokumen hendaklah dikemukakan dalam bahasa Inggeris dan dihantar ke alamat e-mel [email protected].”

Antara dokumen yang diperlukan ialah pernyataan tujuan sepanjang 1,500 hingga 2,000 patah perkataan, pelan penulisan terperinci enam minggu, 15 hingga 20 halaman karya yang telah diterbitkan dalam bahasa Inggeris atau terjemahan, serta cadangan aktiviti penglibatan bersama-sama penulis atau pembaca Thailand.

Permohonan akan dinilai oleh Jawatankuasa Pemilihan bebas yang dilantik pentadbiran program, dengan keputusan adalah muktamad dan tidak boleh dirayu.

Kredit Foto: Mathew Schwartz/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi