11 Oktober 2024, 20:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Abdul Hadi Yusoff mengikuti syarahan Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari tentang sastera Melayu tradisional dan nilai besarnya yang kian susah ditemui. Syarahan ini disampaikan di JISDA, Selatan Thailand, baru-baru ini.

Mana-mana pihak boleh dihubungi bagi mengambil tanggungjawab menyelamatkan dan mengkaji bahan ini. Jika pada konteks di Selatan Thailand, masyarakat dapat menghubungi dan mendapatkan kerjasama daripada mana-mana pihak universiti yang terdapat mengajarkan bidang Pengajian Melayu.

Terlalu banyak jika hendak diteliti dan diketahui, segala manfaat yang tercermin dan terjelma dalam suratan dan siratan khazanah warisan. Secara umum, kepentingan segala hasil warisan ini, selain dikaji pada diri Sastera itu sendiri, termasuk seni kepengarangan; signifikannya menjangkau luas, termasuk dalam hal asuhan nurani, ketajaman minda, pengayaan keilmuan dan pengetahuan, petua, panduan, dan pedoman.

Di samping juga nilai kemanusiaannya, nilai kemasyarakatan, kajian bahasa, kajian penulisan Jawi, puisi tradisional, pelayaran, historiografi, geografi, keislaman, dan serbo mokneka bidang dan aspek lain lagi.

“Dengan sedemikian – sekian banyak, serbo mokneka faedah itu; maka, di manakah letaknya bukti bahawa segala khazanah dan warisan hasil kesusasteraan Melayu tradisional ini adalah tidak berguna apo satu pun kepada masyarakat, bangsa, negara, peradaban, dan tamadun, serta juga keislaman, sehingga kini?” Tokoh ini menyoal lagi khalayak.

Selanjutnya, beliau mengajak merenung.

Titik renungan terpenting: Mengapa kita memandang remeh dan menganggap temeh terhadap khazanah warisan peradaban bangsa sendiri, sedangkan penjajah begitu berminat dan bersusah payah mengambil dan memunggah segala manuskrip ini?

“Kita tidak dapat merubah dan mengatur semula perjalanan sejarah. Alir dan arus sejarah sudah sebegitu jauh mengalir, meninggalkan kita, dan belayar pergi juga itu ialah sekian banyak serbo mokneka hasil kesusasteraan Melayu tradisional yang tidak akan kembali lagi kepada kita untuk selama-selamanya,” beliau menekankan keinsafan.

Beliau mengajak generasi muda agar insaf pada kebijaksanaan dan pengorbanan budi nenek moyang, “Segala hasil kesusasteraan Melayu tradisional yang tatkaladun, dulu adalah sebegitu arif dikarang oleh nenek moyang.

“Tahun demi tahun, dekad demi dekad, abad demi abad – di hadapan liuk dan kerlip api pelita. Malah, sesetengahnya dengan mata pena yang diraut dan diperbuat daripada batang resam, enau atau kabung, dan ada juga dengan dakwat daripada jelaga,” ujar Rosli.

Beliau bersenda dengan generasi muda di hadapan syarahannya untuk membayangkan, terdapat 1,000 naskhah manuskrip tulisan tangan hasil kesusasteraan Melayu tradisional, tentulah satu jumlah yang mengagumkan.

“Namun sebenarnya, bukan itu hakikat jumlah besarnya!” tegas beliau, mengejutkan generasi muda.

Jumlah angka naskhah bertulis kesusasteraan Melayu tradisional setakat yang diketahui, sudah kira-kira 20,000 manuskrip. Namun begitu, naskhah yang tinggal sebagai milik kita yang masih ada di rantau Melayu ini hanyalah sekadar kira-kira 10 peratus, atau seanggar kira-kira 2,000 buah manuskrip sahaja.

Di manakah baki yang lain?

Baki besar yang lain itu, 90 peratus atau seanggar 18,000 lagi tersimpan di dunia Barat, di perpustakaan mereka; yang tidak kita miliki lagi dan bukan sebagai hak milik kita lagi.

Manuskrip ratusan tahun dari abad ke-17 hingga ke akhir abad ke-19 ini, malah kebanyakannya berusia di antara 200–700 tahun, terdapat di pelbagai benua di Asia, Eropah, Amerika, termasuklah di Oceania, malahan juga di Afrika Selatan. Semua ini meliputi kira-kira sebanyak 28 buah negara.

Antaranya, kini tersimpan di United Kingdom, Belanda, Portugal, Rusia, Jerman, Hungary, Switzerland, Amerika Syarikat, Rusia, Australia, Sri Lanka, bahkan juga Algeria.

Ujar Rosli, “Oghe Putih yang duduk menjajah tanah bumi Melayu kita ini pada tatkala dulu, sebegitu bersusah payah, bertungkus lumus – mencari, mengumpul, mengambil, dan memunggah serbo mokneka hasil kesusasteraan Melayu tradisional kita ini – bagai mendapat segunung emas, intan, manikam permata.

“Namun, alangkah sedih, jika kita hanya melihat dan menganggap khazanah dan warisan nenek moyang kita ini sekadar, bagai batu sahaja. Kerikil di tepi jalan. Malah, mungkin debu.”

Allahyarham Syeikh Daud al-Fathani merupakan salah seorang ulama besar terkemuka, bukan sahaja di Selatan Thailand, malah antara yang ternama di Alam Melayu sekitar pertengahan dekad 1700 hingga sekitar hujung 1800.

Melalui kesedaran mendalam dan kecaknaan tinggi, masyarakat serta generasi muda boleh berperanan untuk menyelamatkan warisan ini bagi kepentingan bangsa dan peradaban. Apa-apa yang dimiliki atau ditemui, jika berharga untuk simpanan sendiri, maka boleh diserahkan untuk didokumentasikan, kerana yang lebih penting ialah isi bahan.

Mana-mana pihak boleh dihubungi bagi mengambil tanggungjawab menyelamatkan dan mengkaji bahan ini. Jika pada konteks di Selatan Thailand, masyarakat dapat menghubungi dan mendapatkan kerjasama daripada mana-mana pihak universiti yang terdapat mengajarkan bidang Pengajian Melayu.

Atau, pusat pengajian JISDA sendiri, serta Majlis Agama Islam Wilayah Patani, boleh turut berperanan penting membantu masyarakat bagi menghubungi mana-mana universiti berkaitan.

Mengakhiri syarahan, Sasterawan Negeri Kelantan ini menegaskan, masyarakat Melayu moden dan generasi muda kini harus dan wajar menghargai warisan kesusasteraan Melayu tradisional.

Beliau merumuskan bahawa warisan ini merupakan manifestasi terhadap perkara penting yang berikut:

  1. Kegeniusan akal budi,
  2. Kejernihan jiwa nurani,
  3. Asuhan keluhuran pekerti murni,
  4. Kearifan tempatan,
  5. Kebijaksanaan pemanfaatan silang bangsa, budaya dan benua, malah
  6. Sebahagiannya merupakan citra dan cerminan keagungan Islam.

Oleh hal yang demikian, semua itu jelas amat berfaedah besar, bernilai tinggi dan bersignifikan luas terhadap kedinamikan dan kecemerlangan bangsa dan anak bangsa, serta peradaban bagi sepanjang zaman.

Di tanah air, tokoh Sasterawan Negeri Kelantan ini lebih terkenal sebagai antara penyair penting. Namun di Kelantan, beliau sebenarnya turut dikenali juga kearifannya bagi bidang sastera Melayu tradisional, folklor dan etimologi dialek Kelantan.

Antara ahli rombongan Liga Penulis Kelantan (LPK) di Yala, Selatan Thailand.

Syarahan ulung ini diadakan sebagai mengenang dan menghormati tokoh ulama besar, Allahyarham Syeikh Daud al-Fathani ini, dirasmikan sendiri oleh Rektor JISDA, Dr. Abdul Rashid Abdullah.

JISDA merupakan pusat pengajian bagi murid tadika, pelajar menengah dan siswa diploma serta ijazah dalam bidang pengajian Islam.

Allahyarham Syeikh Daud al-Fathani merupakan salah seorang ulama besar terkemuka, bukan sahaja di Selatan Thailand, malah antara yang ternama di Alam Melayu sekitar pertengahan dekad 1700 hingga sekitar hujung 1800. Terdapat pelbagai pendapat tentang tarikh beliau dilahirkan di Kerisik, Selatan Thailand dan meninggal di Taif, Mekah.

Diketuai oleh Pengerusi LPK, Dahri Zakaria, selain Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari, turut menyertai kunjungan hormat LPK ke JISDA ialah para penulis Kelantan yang terdiri daripada Abdul Hadi Yusoff, Nik Mohd Hafiz Abdullah, Nimoiz T.Y, Salman Sulaiman, Syukri Alias, dan Zuharman Mohamad Nor. Di samping itu, turut serta Adly Izmal dari Terengganu, bekas pegawai arkib sebuah syarikat minyak dan gas di Abu Dhabi.

Baca Bahagian Pertama Refleksi |

_________________________

Abdul Hadi Yusoff mula menulis sekitar tahun 1977 dan amat dikenali dalam bidang puisi dan drama teater. Beliau turut dikenali sebagai pelakon teater di Kelantan dan amat aktif dalam Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Persatuan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Majlis Teater Negeri Kelantan (TEMA). Antara karya perseorangannya termasuk kumpulan puisi Tribulasi (1990), Dalam Diam (DBP, 2003), Carilah Cari (DBP, 2015) dan kumpulan cerpen Tali-tali (DBP, 2004).

Kredit Foto: Firus Fansuri dan Dahri Zakaria
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.