Diterbitkan pada 23 Oktober 2025, 06:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meneruskan usaha mengangkat warisan sastera Melayu menerusi Program Diskusi Manuskrip Melayu DBP 2025 Siri 1 yang bersiaran secara langsung melalui Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP baru-baru ini.

Diskusi yang menampilkan Pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Dr. Nurhanis Sahiddan, membicarakan karya klasik berjudul Siri Warisan Sastera Klasik: Syair Puteri Akal.

Buku terbitan DBP tahun 2024 ini memperlihatkan kehalusan budi dan pemikiran sasterawan Melayu silam.

Menurut Dr. Nurhanis, prosa tradisional seperti Syair Puteri Akal bukan sekadar karya hiburan, tetapi “wahana pendidikan budi dan ajaran moral yang memperlihatkan kecerdikan pengarang Melayu dalam menggabungkan unsur istana, percintaan dan falsafah kehidupan.”

Beliau menjelaskan bahawa karya ini mencerminkan fungsi syair dalam masyarakat Melayu tradisional sebagai medium mendidik jiwa dan memperhalus budi.

“Syair ini menzahirkan keutuhan tradisi lisan Melayu yang menjadikan keindahan bahasa sebagai alat untuk mengajar manusia mengenali batas diri, mengawal nafsu serta menegakkan adab dan akhlak dalam kehidupan bernegara dan berkeluarga,” ujarnya.

Naratif Syair Puteri Akal berpusat pada pertembungan antara cinta, kuasa dan kebijaksanaan melalui watak utama Putera Bangsawan dan Puteri Akal.

Dalam konteks ini, Dr. Nurhanis menekankan bahawa karya tersebut menjadi cerminan moral kepada golongan bangsawan dan pemimpin.

“Kuasa tanpa kebijaksanaan akan menjerumuskan manusia kepada kealpaan dan kehancuran.

“Oleh itu, akal budi yang menjadi pokok wacana dalam syair ini menjadi panduan untuk memimpin dengan adab dan pertimbangan batin,” katanya.

Mengulas mengenai tema akal budi, Dr. Nurhanis menambah bahawa konsep akal dalam pemikiran Melayu tidak hanya difahami sebagai rasionaliti semata-mata.

“Akal dalam tradisi Melayu bersandar pada iman dan adab. Hal ini demikian kerana, akal bukanlah sekadar daya fikir, tetapi kebijaksanaan yang berpaksikan nilai rohani,” jelasnya.

Beliau turut menyorot peranan wanita dalam karya ini melalui watak Puteri Akal yang digambarkan bukan sahaja berilmu dan beradab, tetapi juga pembawa hikmah serta penjaga nilai moral.

“Puteri Akal melambangkan wanita sebagai tokoh berilmu dan penyampai nilai luhur. Syair ini mengangkat kedudukan wanita bukan sekadar sebagai simbol romantik, tetapi sebagai suara kebijaksanaan,” katanya lagi.

Selain itu, Dr. Nurhanis turut menafsirkan wacana istana dalam syair ini sebagai ruang simbolik yang memperlihatkan pertembungan kuasa, maruah dan cinta.

“Istana dalam karya ini tidak hanya berfungsi sebagai latar fizikal, tetapi juga menggambarkan struktur sosial dan politik masyarakat Melayu tradisional,” ujarnya.

Program Diskusi Manuskrip Melayu DBP mula diperkenalkan pada tahun 2021 dan telah berlangsung secara konsisten dengan beberapa siri setiap tahun.

Sebagai rekod, penganjuran program ini bertujuan mengetengahkan hasil penerbitan manuskrip Melayu selain menyediakan platform ilmiah untuk membincangkan kearifan tempatan yang tersirat dalam khazanah sastera klasik.

Beli Syair Puteri Akal di sini.

Kredit Foto: Bahagian Multimedia DBP
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi