Diterbitkan pada 13 Januari 2025, 13:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dr. Ding Choo Ming menyelidik sebuah buku lama dalam aksara Jawi, buku pantun, yang jarang-jarang diketahui umum.

Terdapat pantun yang bermasalah, malah rangkap yang diulang dua kali dalam buku tersebut, tetapi ada juga pantun yang menarik dan boleh dijadikan ulasan atau perbincangan.

Dalam ruangan ini, saya akan tampilkan beberapa pantun yang saya dapati, perlu ditampilkan sebagai tujuan penyelidikan, lebih-lebih lagi buat sesiapa yang berminat untuk menatap dan menyelidik buku Pantun Dendam Tak Sudah. Terdapat pantun yang bermasalah, malah rangkap yang diulang dua kali dalam buku tersebut, tetapi ada juga pantun yang menarik dan boleh dijadikan ulasan atau perbincangan.

Berikut merupakan beberapa petikan pantun dalam Pantun Dendam Tak Sudah yang ditampilkan sebagai usaha penyelidikan tentang penerbitan buku pantun pada era penerbitan dalam Jawi oleh rumah penerbitan Melayu pada era 1930-an hingga 1950-an:

Dalam buku Pantun Dendam Tak Sudah, ditemui terdapat dua rangkap pantun yang didapati diulang:

Bil. Pantun Hlm.
252 Buah kelapa buah papaya,
……………Ibu ayam tengah mengeram;
Kalau berjumpa saudara saya,
……………Bolehlah saya berkirim salam.
81
253 Buah kelapa buah papaya,
……………Ibu ayam tengah mengeram;
Kalau berjumpa saudara saya,
……………Bolehlah saya berkirim salalam
.
82

Terdapat juga pantun yang tidak mengikut hukum rima akhir dalam pantun yang dikenali. Pantun begini kita anggap sebagai pantun yang bermasalah:

Bil. Pantun Hlm.
181 Sayang selasih buah bidadara,
……………Bercampur dengan buahnya lada;
Bagaimana orang hendak ketara,
……………Kasih bermain dengan tanda.
56
202 Bulan terang sampai pagi,
……………Anak Jawa pergi ke Deli;
Sudah masyhur baharu ku pergi,
……………Semacam intan harga tinggi.
64
203 Pasang api rumah Cik Dollah,
……………Cahayanya terang ke mana-mana;
Tuan seumpama intan gemala,
……………Saya menumpang akan cahaya.
65
277 Sudah masak mari dimakan,
……………Sebelum makan basuhkan tangan;
Jika setuju kita jalankan,
……………Saya sekalian berpisah jangan.
278 Sebelum makan basuhkan tangan,
……………Begitulah adat kawan xxx;
Saya sekalian berpisah jangan;
……………Bersama-sama menjaga hati.
304 Baik di kampung walau di pekan,
……………Memang itulah jalan sejati;
Terlebih terkurang salam disampaikan,
……………Tuan berbudi saya berbakti.
306 Kurang cendawan di dalam xxx,
……………Kurang melawan kerana malu;
Cikgu xxx xxx  kelapa;
……………Hati ku rosak kerana silap.
307 Dari Gemas ke Sungai xxx,
……………Hatiku lemas kerana cinta;
Hilang xxx kerana awan,
……………Hilang akal kerana perawan.
93
312 Xxx xxx xxx xxx,
……………Hatiku bimbang kepada mu tuan;
Dijual xxx kerana mengkudu,
……………Aku menangis kerana rindu.
313 Orang Hindu membeli serai,
……………Kerana bermadu biar bercerai;
Kubeli ubat pada Cik Manan,
……………Yang xxx lebat hatiku berkenan.
314 Pergi ke xxx membeli manggis,
……………Buah xxx xxx menangis;
Buah kedondong buah kedara,
……………Mendengar keroncong hatiku gembira.
95
315 Buah mengkudu di kedai Cina,
……………Hatiku rindu sampai merana;
Buah xxx xxx berduri,
……………Yang macam abang suka dicari.
316 Menyanyi keroncong di tengah padang,
……………Xxx xxx manis ku pandang;
Xxx Cina kembang sekuntum,
……………Apa xxx xxx senyum.
317 Buah bidara mana tampuknya,
……………Mendengar suara di mana duduknya;
Anak itik mana sarangnya,
……………Yang rupa cantik siapa orangnya.
96
318 Xxx emas bermain titis.
……………Yang gigi emas ku pandang manis;
Buah jambu masak melurut,
……………Yang baju kelabu saya nak turut.

Menariknya, kebanyakan pantun yang terbit dalam buku ini merupakan jenis pantun serangkap yang berdiri sendiri. Akan tetapi, bagi pantun yang berikutnya, iaitu pantun bilangan 47 dan 48, 269 dan 270, serta 275 dan 276 ialah pantun berkait. Tidak ada apa-apa kenyataan atau penerangan oleh editor ataupun penerbit bahawa pantun berikut merupakan pantun berkait. Hal ini disedari oleh saya sendiri.

Bil. Pantun Hlm.
47 Orang padi menghibur hawa,
……………Orang Melaka pungut pengaya;
Bila ku pandang tuan ketawa,
……………Hatiku duka menjadi ria.
18
48. Orang Melaka pungut pengaya,
……………Lalu berkayuh balik ke kuala;
Hatiku duka menjadi ria,
……………Umpama penyakit sembuh semula.
18
269 Jual mari satu xxx dua,
……………Mari dibuat di dalam gelas,
Baik beringat sebelum kecewa,
……………Kalau budi tak dapat dibalas.
87
270 Mari dibuat di dalam gelas,
……………Lepas digelas ganti dikaca;
Kalau budi tak dapat dibalas,
……………Sebelum terkena banyak dibaca.
87
275 Hijau air laut Betawi,
……………Nampak budak xxx kurang;
Lebah di hulu tuahnya ketahui,
……………Budi tidak balas kurang.
89
276 Nampak budak xxx kurang,
……………Kurang dibuat jual beli;
Budi tidak bahasa kurang,
……………Wang ringgit jauh sekali.
89

Walaupun sebahagian besar pantun dalam buku ini menampilkan tema percintaan dan kasih sayang, tetapi ada juga pantun yang tampil dengan tema falsafah hidup, memberi nasihat dan pedoman. Mungkin dalam hal percintaan dan kasih sayang, muncul persoalan falsafah hidup dan pedoman, yang diperlukan dalam hal perhubungan dan pengalaman manusiawi. Antaranya termasuklah:

Bil. Pantun Hlm.
1 Pohon sena punai melayang,
……………Terbang ke desa masuk sarangnya;
Dunia laksana panggung wayang,
……………Tiap-tiap masa berubah ceritanya.
8
2 Pohon sena batangnya lurus,
……………Tempat orang menjemur kain;
Hina binatang kerana kurus,
……………Hina manusia kerana miskin.
8
3 Orang Palembang menjadi ratu,
……………Orang Langkat menjadi penyanyi;
Adat dunia memang begitu,
……………Rumah sudah pahat berbunyi.
10
4 Datuk kita membeli kolek,
……………Kolek tidak memakai loceng;
Dunia kita sudah terbalik,
……………Tikus hendak menangkap kucing.
10
5 Tanah paya ditanam padi,
……………Padi ditanam dibubuh baja;
Bukan mudah menanggung budi,
……………Budi sedikit menambah harga.
25
6 Lagi berbuah lagi berduri,
……………Itu bernama asam paya;
Lagi bertuah lagi berbudi;
……………Itu bernama orang kaya.
25
7 Buat rumah di hujung kebun,
……………Duduk mari orang di Gansa;
Semua bunga harapkan embun,
……………Embun tak tahu menimbang rasa.
68
8 Tuan Pah apakan salah,
……………Sebab miskin tidak berkata;
Bukan kupunya bukan gembala,
……………Jangan dipimpin orang yang buta.
70
9 Putus-putus bertali sumbu,
……………Jatuh ke tanah berciciran;
Kalau tidak orang yang sungguh,
……………Tentu tak boleh mendapat jalan.
71

Oleh hal yang demikian, diharapkan agar lebih banyak lagi karya Melayu dalam huruf Jawi dapat ditranlisterasi dalam huruf Rumi setelah kami dapatkan kesemua pantun dalam senarai Pak Ungku Aziz itu. Usaha yang dilakukan ini cumalah tapak kecil seorang individu. Dalam langkah besar, lebih ramai lagi orang lain, terutamanya pakar dan sarjana, dapat memperkenalkan khazanah sastera Melayu, khususnya karya pantun dalam Jawi yang jarang-jarnang sekali ditemukan, dapat diterbitkan kepada pembaca yang berminat di seluruh dunia. Maklumlah, “tak kenal maka tak cinta”. Dengan itu, moga-moga dengan usaha kecil ini, satu atau dua bab yang baharu boleh ditambah ke dalam buku sejarah perkembangan pantun yang sedia ada. Amin.

Baca Bahagian Pertama Refleksi |

_________________________

Ding Choo Ming (Dr.) sudah bersara dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, selepas berkhidmat lebih 40 tahun. Beliau merupakan mantan Felo Penyelidik Utama (Profesor) di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

Kredit Foto: Birmingham Museums Trust
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi