Diterbitkan pada 25 September 2024, 08:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Abdul Hadi Yusoff mengikuti syarahan Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari tentang sastera Melayu tradisional dan nilai besarnya yang kian susah ditemui. Syarahan ini disampaikan di JISDA, Selatan Thailand, baru-baru ini.

Sebagai tamu syarahan, Rosli memberitahu khalayak, beliau memilih fokus syarahannya, ‘Memugar Cinta pada Warisan Sastera Melayu Tradisional’ bagi memberikan pengetahuan dan kesedaran kepada generasi muda setempat kerana harus disedari bahawa Selatan Thailand merupakan salah satu pusat penting dalam kedinamikan tradisi penyalinan manuskrip kesusasteraan Melayu tradisional, sejak era lampau.

Segala hasil kesusasteraan Melayu tradisional, betapa pun lebih sebagai cerminan dan manifestasi zaman lampau, tetap penting sebagai warisan peradaban bangsa yang amat besar nilai dan manfaatnya bagi zaman moden kini.

Dalam tantangan perubahan zaman dan ledakan arus modenisasi masa kini, sudah tidak begitu mudah lagi usaha untuk menemukan dan memperoleh warisan ini.

Begitulah isi pokok penjelasan Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari dalam syarahannya, memberikan kesedaran kepada generasi muda tentang kepentingan dan kekangan yang dihadapi oleh khazanah kesusasteraan Melayu tradisional sebagai warisan besar yang amat bernilai dalam peradaban bangsa Melayu.

Beliau menyampaikan syarahannya, “Memugar Cinta pada Warisan Sastera Melayu Tradisional”, bertempat di pusat pengajian Jamiah Islam Syeikh Daud al-Fathani (JISDA), Yala, Selatan Thailand pada 25 Julai, baru-baru ini. Majlis dihadiri oleh kalangan siswa dan pelajar, pensyarah, guru, dan orang awam.

Rosli yang merupakan penerima terkini SEA Write Award (Malaysia) 2021, diundang sebagai tokoh tamu syarahan di JISDA, sempena kunjung hormat Liga Penulis Kelantan (LPK) ke pusat pengajian tersebut.

Beliau hadir membantu menjayakan program Syarahan Tamadun Melayu Menghormati Syeikh Daud al-Fathani yang julung-julung kali dirintiskan oleh JISDA dengan kerjasama LPK.

Dalam fokus syarahan, tokoh Sasterawan Negeri Kelantan ini memberikan kesedaran kepada masyarakat, terutama kalangan generasi muda agar benar-benar mengambil cakna peri pentingnya warisan hasil kesusasteraan Melayu tradisional yang harus diselamatkan daripada hilang lenyap begitu sahaja.

Melalui kertas syarahannya setebal 44 halaman, Rosli K. Matari menegaskan bahawa hakikat keutuhan peradaban Melayu Islam tidaklah hanya misalnya, diperteguhkan melalui bimbingan fiqah dan usuluddin sahaja.

Beliau menegaskan, “Warisan kesusasteraan Melayu tradisional juga turut berperanan besar sebagai aspek dan unsur penting memangkin asuhan, pengajaran, serta wawasan bagi keutuhan ke arah kedinamikan bangsa, sebagai bangsa Melayu beragama Islam yang cemerlang, gemilang, sejajar dengan syiar dan tamadun Islam.

“Sebegitu banyak manuskrip serta tradisi lisan sebagai manifestasi dan cerminan keislaman terdapat dalam penghasilan dan peninggalan serbo mokneka (aneka jenis) warisan khazanah kesusasteraan Melayu tradisional,” ujarnya.

Terang beliau, nenek moyang sepelosok rantau Dunia Melayu, turun-temurun, yang hidup bergerak menelusur Zaman Animisme dahulu hingga ke Zaman Islam adalah sebegitu bijak, kreatif mencipta dan menggunakan kesusasteraan yang diwarisi dan untuk diwarisi, sebagai salah satu antara kepentingan dalam pemanfaatan hidup masyarakat dan bangsa.

Pemanfaatan dalam kebestarian pemikiran dan taakulan secara genius melalui penciptaan lisan dan kepengarangan hasil kesusasteraan Melayu tradisional itu adalah berasaskan flora, fauna, segala alam semula jadi lainnya, kepercayaan dan agama, kemanusiaan, kemasyarakatan, kerajaan dan empayar, persilangan budaya, dan pewarnaan tempatan.

Rosli kemudian membawa generasi muda merenungi kegeniusan nenek moyang mereka dalam hasil cipta kesusasteraan, agar generasi muda menghargai warisan ini.

Kegeniusan pemikiran itu, jelas beliau, “Datang daripada segala pengalaman nenek moyang – dari paya, tasik, sungai ke laut; pengamatan alam – dari setitik embun ke langit malam, dan fajar dinihari; penat lelah di sawah, kebun, hutan, bukit, dan gunung.”

Serta, “Pengetahuan berasaskan haiwan dan tumbuhan, hidup dilingkung adat dan resam, mengambil teladan daripada ragam manusia; serta mendalami keislaman sehingga rapat ke dasar jiwa tasawuf.”

Malahan, “Keberanian merentas lautan dan bertemu manusia seberang, negara-negara dan benua; dagang; hatta perang; bahkan, cinta, impian, jenaka, kias ibarat, dan segala macam lainnya.”

Ujar beliau selanjutnya, “Itulah yang menjelmakan kepekaan, penghayatan dan taakulan; menjadi kearifan tempatan; dan memberikan kegeniusan pada akliah nenek moyang.

“Sehingga mereka sebegitu bijak dan bestari mencipta, mengarang segala hasil kesusasteraan Melayu tradisional dengan sebegitu halus dan jernih nurani, mendalam dan luas makna, dengan bahasa nan indah-indah, sekalipun pada pantun yang patah hati.”

Beliau turut menerangkan kepada generasi muda, perkembangan dan kedinamikan penciptaan dan kepengarangan hasil kesusasteraan Melayu tradisional turut mencakupi tradisi penyalinan manuskrip.

Segala kerajaan Melayu, negara kota, tempat atau pusat penting dari desa ke pelabuhan dan istana; zaman lampau – tatkaladun yang merentas Zaman Animisme hingga zaman mantap Islam, di ceruk dan pelosok rantau Dunia Melayu ini, bukan sahaja sebagai sejarah istimewa dan dinamik penciptaan dan kecemerlangan perkembangan dunia kesusasteraan Melayu tradisional, bahkan dalam kedinamikan tradisi menyalin segala macam hikayat dan kitab, jelasnya.

Sebagai tamu syarahan, Rosli K. Matari memberitahu khalayak, beliau memilih fokus syarahannya, “Memugar Cinta pada Warisan Sastera Melayu Tradisional” bagi memberikan pengetahuan dan kesedaran kepada generasi muda setempat kerana harus disedari bahawa Selatan Thailand merupakan salah satu pusat penting dalam kedinamikan tradisi penyalinan manuskrip kesusasteraan Melayu tradisional, sejak era lampau.

Rektor JISDA, Dr. Abdul Rashid Abdullah (kanan) bersama-sama Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari.

“Individu pengumpul dan pengkaji manuskrip tradisional terkenal dari Selatan Thailand, Nik Rakib Nik Hassan pernah memberitahu saya bahawa terdapat kira-kira 100 buah manuskrip dari Selatan Thailand ini menjadi koleksi dan dokumentasi di negara luar,” menurutnya.

Beliau memberitahu demikian, sebagai bukti Selatan Thailand mempunyai sebegitu banyak manuskrip dan merupakan antara pusat penting dalam perkembangan kesusasteraan Melayu tradisional.

Sasterawan ini menaruh harapan besar agar generasi muda, termasuk di Selatan Thailand, bukan sahaja harus menghargai dan mengambil cakna terhadap kepentingan dan pemanfaatan kesusasteraan Melayu tradisional, malah bersama-sama mengambil inisiatif menyelamatkan warisan manuskrip tradisional.

Bukanlah suatu perkara mustahil, pondok pengajian agama Islam, surau dan masjid di Selatan Thailand masih memiliki dan menyimpan manuskrip tradisional berupa penulisan dan penyalinan kitab yang rencam, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan pelbagai genre hasil kesusasteraan Melayu tradisional.

Mengapa saki-baki warisan yang masih tinggal ini sudah dan akan menjadi semakin hilang lenyap?

Di samping itu, milik peribadi dan simpanan keluarga turun-temurun akan warisan tradisional ini sebagai penulisan, penyalinan dan tutur lisan dalam kalangan masyarakat, dapat diyakini masih banyak lagi terdapat di serata pelosok luas wilayah masyarakat Melayu di Selatan Thailand, pada empat jajaran lingkungan besar Wilayah Narathiwat, Yala, Satun, dan Songkhla.

Warisan manuskrip dan segala fenomena sastera tradisional di Selatan Thailand tetap merupakan sebahagian daripada penghasilan menyeluruh dalam manifestasi kedinamikan kesusasteraan Melayu tradisional di rantau Dunia Melayu.

Selanjutnya, pada usaha memugar kesedaran ini, Rosli menyoal generasi muda di hadapan syarahannya, “Mengapa saki-baki warisan yang masih tinggal ini sudah dan akan menjadi semakin hilang lenyap?”

Beliau memberikan jawapan, sebenar-benar sebagai titik besar pada permasalahan ini ialah sikap masyarakat kini sendiri, apatah lagi generasi muda; yang tidak ingin mengambil tahu, prihatin cakna, menghargai dan sedar untuk membantu menyelamatkan khazanah warisan penting dan amat berharga ini terhadap kepentingan dan nilai peradaban bangsa.

Kita sedang berhadapan dengan masalah yang begitu parah dan tenat pada juring keterhakisan dan kelunturan jati diri bangsa, tegas beliau.

Contohnya, berpuluhan juta anak bangsa Melayu sudah tidak mengenal untuk (dapat) membaca dan menulis tulisan Jawi, sejak berdekad-dekad lalu lagi. Namun begitu, dari suatu juring, mujurlah juga sebahagian besar generasi muda bangsa Melayu di Selatan Thailand merupakan antara benteng terakhir peradaban Melayu yang masih dapat menguasai tulisan Jawi.

Rosli K. Matari menambah, “Tiada salah mengejar impian dan kemajuan hidup dengan kepentingan sains dan teknologi, kemahiran bahasa Inggeris, kekukuhan ekonomi, dan kecemerlangan pembangunan sosial dan negara. Sudah tentulah, hal demikian wajar. Yang salah ialah melupakan jati diri, menolak ke tepi bahasa sendiri, mengetepikan warisan bangsa, dan mengabaikan kebudayaan bangsa.”

Baca Bahagian Kedua Refleksi |

_________________________

Abdul Hadi Yusoff mula menulis sekitar tahun 1977 dan amat dikenali dalam bidang puisi dan drama teater. Beliau turut dikenali sebagai pelakon teater di Kelantan dan amat aktif dalam Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Persatuan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Majlis Teater Negeri Kelantan (TEMA). Antara karya perseorangannya termasuk kumpulan puisi Tribulasi (1990), Dalam Diam (DBP, 2003), Carilah Cari (DBP, 2015) dan kumpulan cerpen Tali-tali (DBP, 2004).

Kredit Foto: Firus Fansuri dan Dahri Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi