Putrajaya– Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM) 2025 yang berlangsung pada 23 hingga 25 Oktober 2025 di Le Meridien Putrajaya menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Yayasan Karyawan untuk memperkasakan serta memperkenalkan karya agung Melayu dalam bentuk yang segar dan relevan kepada masyarakat.
Resolusi tersebut merupakan antara 22 resolusi yang dibentangkan oleh Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjuran PAKAM 2025, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Roosfa Hashim dalam majlis penutup pada 25 Oktober 2025.
Menurut beliau, antara resolusi lain termasuklah menyeru kerajaan agar dapat memberikan sokongan dan bantuan kewangan kepada usaha pendigitalan dan transliterasi karya agung Melayu yang dilaksanakan oleh Yayasan Karyawan dan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) melalui pembangunan model kecerdasan buatan (AI) dan model bahasa besar Malaysia (MyLLM).
Menyedari kepentingan penggunaan teknologi digital, termasuk kecerdasan buatan, dalam memperluas capaian, mempercepat pemindahan ilmu serta memasyarakatkan karya agung Melayu, beliau turut menginsafi keperluan mendesak untuk memperkukuh usaha transliterasi dan penerbitan karya agung.
“Usaha ini penting agar khazanah tersebut tidak terus terpinggir daripada perhatian generasi muda,” ujarnya.
Antara pameran yang diadakan dalam Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM) 2025.
PAKAM 2025 merupakan anjuran Yayasan Karyawan dengan kerjasama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), DBP, serta Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang mengangkat tema “Menghayati Karya Agung Melayu Melalui Penyatuan Elemen Tradisi dan Teknologi dalam Era Digital”.
Persidangan ini menghimpunkan tokoh ilmuwan tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai latar bidang.
Sebanyak 16 kertas kerja telah dibentangkan sepanjang persidangan.
Antara topik yang menarik perhatian para peserta termasuklah “Naratif Karya Agung dalam Industri Kreatif”.
Sementara itu, sebanyak 22 resolusi PAKAM 2025 telah dibentangkan, iaitu:
Menyeru kerajaan agar dapat memberikan sokongan dan bantuan kewangan kepada usaha pendigitalan dan transliterasi karya agung Melayu yang dilaksanakan oleh Yayasan Karyawan dan UiTM melalui pembangunan model kecerdasan buatan (AI) dan model bahasa besar Malaysia (MyLLM).
Menggesa KPT bekerjasama dengan DBP, Kementerian Perpaduan Negara dan Yayasan Karyawan bagi memperkasakan serta memperkenalkan karya agung Melayu dalam bentuk yang segar dan relevan kepada masyarakat.
Menggesa agar transliterasi, penerbitan dan penyelidikan karya agung Melayu dipergiat secara sistematik dengan sokongan kerajaan, institusi akademik dan sektor swasta.
Menyarankan penggunaan teknologi digital, termasuk platform interaktif, animasi, komik dan AI untuk memperluas akses kepada karya agung Melayu.
Mencadangkan penubuhan jaringan antarabangsa antara Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, serta negara lain dalam bidang filologi.
Menekankan keperluan memperkenalkan karya agung Melayu dalam sistem pendidikan melalui modul pengajaran pada peringkat sekolah dan universiti.
Menyeru kerjasama erat kerajaan, institusi akademik dan penerbit untuk menyediakan dana, biasiswa serta insentif penyelidikan dalam bidang filologi.
Menegaskan bahawa pemeliharaan dan pemuliharaan karya agung Melayu merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat, demi memperkukuh warisan budaya dan peradaban bangsa pada era digital.
Mencadangkan penubuhan Pusat Naskhah Melayu Digital Malaysia (PUNAMA) bagi memperkasakan penerbitan karya agung Melayu dan memohon kerajaan menyediakan geran penyelidikan khusus bagi pembangunan pangkalan data Jawi–Rumi berkualiti tinggi, dengan pemanfaatan teknologi kecerdasan buatan sebagai pemangkin pemeliharaan, transliterasi dan penyebaran khazanah warisan intelektual Melayu.
Menjalankan kajian interdisiplin yang menggabungkan bidang sastera, falsafah, matemaBk, dan teologi Islam bagi membangunkan kerangka teori baharu yang lebih holistik dalam pengkajian karya agung Melayu.
Mencadangkan pendokumentasian sistematik kitab bagi membuka peluang penyelidikan dan mengangkatnya sebagai karya agung.
Membangunkan teknologi yang serasi dengan warisan sastera bagi memastikan karya agung yang terhasil kekal asli dan indah.
Menegaskan bahawa sistem metrologi alam Melayu Islam mencerminkan kemajuan ekonomi, keadilan dan ketelusan pemerintahan, serta menjadi bukti wujudnya jaringan perdagangan yang luas dan berasaskan prinsip keadilan.
Menegaskan peranan bahasa sebagai alat komunikasi utama dan wahana dalam pembentukan legitimasi politik, autoriti moral, dan identiti bangsa.
Mengiktiraf kepentingan transformasi manuskrip Melayu dalam bentuk animasi sebagai langkah strategik bagi memelihara, memasyhurkan, serta memperkasakan warisan intelektual bangsa dalam konteks keilmuan dan kreativiti kontemporari.
Mengiktiraf peranan teknologi sebagai jambatan penting yang menghubungkan warisan masa lalu dengan keperluan dan realiti masa kini.
Mencadangkan muzium berperanan sebagai pusat kajian manuskrip, pembelajaran ilmu dan pelancongan utama di Asia Tenggara.
Menyeru agar institusi penyelidikan universiti bekerjasama dengan Perpustakaan Negara Malaysia bagi melaksanakan pendigitalan dengan resolusi tinggi serta membangunkan pangkalan data terbuka bagi membolehkan penyelidik dan pelajar mengakses manuskrip Melayu.
Menyeru kepada penganjuran latihan, kursus dan bengkel peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam bidang kodikologi, filologi dan dokumentasi digital untuk pustakawan, penyelidik dan pemulihara naskhah manuskrip Melayu.
Menggalakkan program pertukaran sarjana dan kolaborasi dengan institusi luar negara yang menyimpan koleksi manuskrip Melayu.
Mencadangkan agar kerajaan memperkasakan Yayasan Karyawan yang kini beroperasi dengan sumber kewangan, premis dan struktur organisasi yang terhad, bagi memastikan kesinambungan peranannya dalam pemeliharaan dan pengembangan warisan intelektual Melayu.
Semua pihak digesa agar memainkan peranan masing-masing bagi memastikan lebih banyak naskhah manuskrip Melayu mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Memory of the World.