Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pertandingan Tukang Cerita Karya Agung Melayu anjuran Yayasan Karyawan di Dataran Merdeka semalam menyaksikan Ainun Nasibah binti Johar sebagai juara menerusi persembahan bertajuk “Burung Garuda dan Dua Anak Raja” yang diadaptasi daripada Hikayat Merong Mahawangsa. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 dan sijil penyertaan.
Beliau juga dinobatkan sebagai pemenang kategori Busana Terbaik yang melayakkan beliau menerima tambahan hadiah wang tunai sebanyak RM200.
Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, YBrs. Dr. Roosfa Hashim dalam ucapan alu-aluannya berkata, pertandingan Tukang Cerita Karya Agung Melayu merupakan salah satu inisiatif Yayasan Karyawan bagi mendekatkan masyarakat dengan masyarakat.
Pertandingan yang berlangsung bersempena dengan program Kota Baca itu menjadi pentas bagi para peserta mempersembahkan cerita masing-masing dengan penuh kreativiti dan penghayatan, berasaskan karya-karya agung sastera Melayu.
Mereka dinilai berdasarkan aspek penceritaan, penguasaan teks, gaya persembahan serta keaslian interpretasi.
Sementara itu, tempat kedua pula dimenangi oleh Nurul Fatihah binti Mohamad Ariff dengan persembahan bertajuk “Setia yang Tidak Terbelah” daripada Hikayat Hang Tuah. Beliau menerima hadiah wang tunai sebanyak RM700 dan sijil penyertaan.
Muhammad Ukasyah Irfan bin Mat Rahimi menyandang tempat ketiga melalui persembahan “Antara Realiti dan Reformasi” yang diilhamkan daripada Hikayat Abdullah. Beliau menerima hadiah wang tunai RM500 dan sijil penyertaan.
Dua hadiah sagu hati diberikan kepada Mohamad bin Abu Hasan dan Anazlina binti Mat Jusoh. Kedua-dua penerima membawa pulang wang tunai sebanyak RM200 dan sijil penyertaan.

Penganjuran pertandingan ini mencerminkan komitmen berterusan Yayasan Karyawan dalam memartabatkan karya agung Melayu serta menghidupkan tradisi penceritaan sebagai medium pendidikan dan pemasyarakatan ilmu kepada masyarakat.