Diterbitkan pada 24 April 2026, 07:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Karya agung Misa Melayu hasil penulisan Raja Chulan terus diangkat sebagai wahana penting dalam membentuk kesedaran sejarah dan jati diri bangsa menerusi Program Bicara Karya Agung sempena Majlis Perasmian Dekad Membaca Kebangsaan 2026 Peringkat Zon Utara yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh, semalam.

Program yang menghimpunkan pelajar, pendidik dan pencinta sastera itu menampilkan pensyarah dari Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBhg. Prof. Dr. A. Halim Ali serta pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), YBrs. Dr. Nadiatul Shakinah Abdul Rahman.

Dalam hal kepentingannya, A. Halim menegaskan bahawa Misa Melayu bukan sekadar teks sastera biasa, sebaliknya merupakan rakaman sejarah yang penting dalam memahami asal usul, struktur masyarakat serta pemikiran orang Melayu, khususnya di Perak, pada zaman lampau.

“Kalau orang Perak tidak mengenali Misa Melayu, saya rasa ada sesuatu yang tidak kenalah,” katanya, sambil menekankan keperluan masyarakat, khususnya generasi muda untuk mengenali karya berkenaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa karya agung ini memperlihatkan kekuatan tradisi penulisan Melayu yang mampu merakam peristiwa dan realiti kehidupan secara terperinci tanpa bergantung sepenuhnya pada unsur mitos atau legenda.

Hal ini sekali gus membuktikan bahawa teks tradisional mempunyai nilai dokumentasi yang tinggi dan relevan untuk dirujuk dalam konteks masa kini.

Misa Melayu selesai ditulis pada tahun 1908 oleh Raja Chulan yang merakamkan salasilah, adat istiadat, struktur politik, dan peristiwa pemerintahan Kesultanan Perak, terutamanya di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (1752 – 1765).

Misa Melayu bukan sekadar menampilkan teks sastera, tetapi merupakan artifak dokumen sejarah yang mencatatkan kehidupan masyarakat lampau secara terperinci,” tambah A. Halim Ali.

Sementara itu, Dr. Nadiatul Shakinah pula menumpukan perbincangan kepada aspek kepengarangan dengan menyorot peranan Raja Chulan sebagai tokoh penting dalam penghasilan karya tersebut.

Menurut beliau, Raja Chulan bukan sekadar menulis atas titah raja, tetapi turut memainkan peranan sebagai perantara yang menghubungkan institusi istana dengan masyarakat melalui platform penulisan.

“Kalau tidak kerana Raja Chulan, kita mungkin tidak mengenali kehebatan dan kegemilangan negeri Perak pada zaman tersebut,” jelas beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa karya historiografi seperti Misa Melayu bukan sahaja merakamkan sejarah pemerintahan, malah memperlihatkan pelbagai aspek kehidupan masyarakat seperti adat istiadat dan nilai budaya yang membentuk tamadun Melayu,” ujarnya.

Prof. A. Halim Ali (kiri) dan Dr. Nadiatul Shakinah Abdul Rahman membicarakan kehebatan karya agung Perak, Misa Melayu, sempena Majlis Perasmian Dekad Membaca Kebangsaan 2026 Peringkat Zon Utara.
Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi