Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Karya agung Melayu perlu terus dihidupkan dalam arus zaman moden agar hikmah dan kebijaksanaan silam dapat membimbing generasi masa hadapan, demikian menurut Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Karyawan, YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman.
Beliau berkata demikian dalam Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu 2025 (PAKAM 2025) yang berlangsung di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, Yayasan Karyawan kini sedang merancang untuk menerbitkan karya agung dalam bentuk edisi elektronik, serta memperluas bentuk penerbitan kepada karya interaktif, multimedia dan budaya melalui media sosial bagi mendekati khalayak muda.
“Hasrat kami adalah supaya karya agung Melayu tidak hanya tersimpan di perpustakaan, tetapi hidup dalam genggaman dan minda masyarakat moden agar hikmah di dalamnya dapat membimbing generasi masa hadapan,” katanya.
Tambah beliau, karya agung dunia Melayu atau karya agung dunia yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bukan sekadar peninggalan masa lalu, sebaliknya cerminan jati diri bangsa yang hidup dan berdenyut hingga hari ini.
“Yang lama jangan dilupakan, kerana di situlah tersimpan kebijaksanaan. Setiap naskhah bukan sekadar hasil penerbitan, tetapi manifestasi amanah ilmu dan cinta pada bahasa Melayu,” ujar beliau lagi.
Sejak penubuhannya, Yayasan Karyawan telah menerbitkan lebih 33 judul buku yang mencakupi karya agung Melayu dan dunia.
Melalui usaha penerbitan ini, yayasan tersebut berhasrat memastikan generasi muda tidak terputus daripada akar sejarah serta kebijaksanaan leluhur bangsa.
Tema PAKAM 2025, “Menghayati Karya Agung Melayu Melalui Penyatuan Elemen Tradisi dan Teknologi dalam Era Digital”, disifatkan oleh A. Aziz sebagai amat bertepatan dengan perjuangan Yayasan Karyawan untuk mengimbangi nilai tradisi dengan inovasi teknologi.
“Dalam dunia yang serba moden, tradisi bukan halangan, malah asas kekuatan untuk membina masa hadapan.
“Teknologi bukan ancaman, tetapi jambatan untuk memperluas hikmah dan makna karya agung Melayu ke seluruh dunia,” tegas beliau.
Majlis perasmian PAKAM 2025 disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dan berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober di Putrajaya.
Persidangan ini menghimpunkan tokoh ilmuwan tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai latar bidang. Sebanyak 16 kertas kerja akan dibentangkan sepanjang persidangan.
PAKAM 2025 merupakan anjuran Yayasan Karyawan dengan kerjasama Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Antara tokoh yang hadir termasuk Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dan Naib Canselor UKM, YBhg. Profesor Dr. Sufian Jusoh.