Oleh Suyuthi Yusuf
17 April 2023, 18:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Pemimpin Melayu perlu baca, faham serta bangga dengan tradisi ilmu dan khazanah intelektual bangsa, bukannya hanya melaungkan slogan semata-mata,” jelas Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Pelancaran Karya Agung Sayr Al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada tengah hari tadi.

Beliau juga berkata bahawa Barat memiliki warisan yang dikatakan sebagai karya agung atau “great book” mereka yang tersendiri. Beliau memetik tulisan daripada pengkritik sastera Barat yang terkenal, iaitu Harold Bloom dan Mortimer Adler apabila memperkatakan hal tersebut.

“Selami karya besar bangsa supaya tamadun kita perkasa,” ujar Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam majlis tersebut.

Namun, bangsa kita juga tidak kurang hebatnya kerana ada warisan yang tinggi nilai dan inteleknya yang menjadi pasak ketamadunan seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja Pasai dan sebagainya. Karya bangsa boleh menjernihkan pemikiran dan membentuk adab bangsa, terutamanya dalam kalangan pemimpin. Jelasnya,

Sekarang ramai orang bercakap tentang kebangkitan dan ketuanan Melayu serta perkara seumpamanya, tetapi dia sendiri tidak mengetahui dan mengenali tradisi ilmu serta keintelektualan bangsanya sendiri.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa terdapat dua tugas penting yang perlu dilakukan oleh agensi yang berkaitan, terutamanya oleh Yayasan Karyawan dan DBP. Pertama ialah kita perlunya menggali kembali tradisi dan khazanah ilmu bangsa, serta yang kedua adalah mempopularkannya dalam kalangan masyarakat, terutamanya kepada para pelajar dan kanal-kanak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.