Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa kemajuan sesebuah negara di bawah kerangka Malaysia MADANI tidak boleh hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi dan kecanggihan teknologi semata-mata, tetapi wajib berakar tunjang pada kekuatan sastera, budaya dan nilai kemanusiaan.
Berucap dalam Majlis Perasmian Makan Malam Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor (DASA) 2026 di Universiti Selangor Kampus Shah Alam, beliau menyatakan bahawa sastera ialah elemen integral yang membentuk sahsiah dan akhlak bangsa.
Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Anwar menegaskan bahawa walaupun penguasaan ekonomi dan teknologi baharu merupakan satu kemestian untuk bersaing pada peringkat antarabangsa, kejayaan tersebut akan menjadi tidak bermakna tanpa pengisian nilai yang mendalam.
Beliau merujuk Kuala Lumpur yang kini diangkat semula sebagai Kota Budaya dan Sejarah melalui mercu tanda seperti Bangunan Sultan Abdul Samad yang dijadikan simbol perjuangan dan identiti bangsa merdeka.
“Kebangkitan negara dan rakyat tidak boleh terpisah daripada nilai kemanusiaan dan karamah insaniah. Pembangunan di Kuala Lumpur, contohnya, tidak hanya dikagumi kerana gedungnya, tetapi pengisiannya itu dilakar agar dapat memberikan penceritaan dan kisah perjuangan kebangsaan,” ujar beliau.
Selain itu, Perdana Menteri turut menyentuh soal ketegasan dalam dasar pendidikan. Beliau menyatakan komitmen kerajaan untuk mewajibkan penguasaan Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia dalam semua peringkat pendidikan tanpa kecuali, termasuk di sekolah antarabangsa dan swasta. Langkah ini dianggap sebagai “ketetapan berani” untuk memastikan generasi akan datang tidak hilang punca dan jati diri.
Senada dengan Perdana Menteri, Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, menyatakan komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan kemakmuran ekonomi negeri itu turut diimbangi dengan pembangunan spiritual dan budaya.

YAB Dato’ Seri Amirudin mendedahkan bahawa Selangor terus mendahului sebagai penyumbang utama ekonomi negara dengan sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) mencecah 26.2 peratus atau nilai RM432 bilion pada tahun 2024. Walau bagaimanapun, beliau memberikan amaran agar Selangor tidak menjadi sebuah soulless state atau negeri tanpa jiwa akibat terlalu mengejar angka material.
“Angka ekonomi yang besar akan menjadi tempang kalau manusianya gagal dibentuk hatinya, khususnya melalui sastera. Kita tidak mahu melahirkan manusia yang keras yang tidak mengenal kemanusiaan,” tegas YAB Dato’ Seri Amirudin.
Majlis DASA 2026 yang berlangsung dari 9 hingga 10 Februari 2026 ini turut membawa misi besar untuk menjenamakan Shah Alam sebagai “Kota Sastera” dalam rangkaian Kota Kreatif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
YAB Dato’ Seri Amirudin berharap agar penganjuran dialog yang menghimpunkan pemikir dan sasterawan dari pelbagai negara seperti Turkiye, Iran dan Indonesia ini mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula peranan sastera dalam pentadbiran moden.