Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDato’ Seri Anwar Ibrahim dan tujuh orang Sasterawan Negara (SN) berminat menjadikan kawasan sekitar Jalan Belfield dan Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur sebagai lokasi tumpuan serta pertembungan kegiatan sastera, bahasa dan kebudayaan. Raja Yusoff Ariffin bertanyakan pandangan beberapa orang rakan seperjuangan mengenainya.
Keadaan menceriakan dan merangsang persekitaran pusat percambahan seni, sastera, budaya dan bahasa di Rumah GAPENA, PENA dan DBP memang penting, serta menjadi satu keperluan.
Pada petang 28 Jun lalu, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah meluangkan masa lebih 90 minit bertemu dan berdialog dengan tujuh orang SN di Seri Perdana untuk mendengar sendiri keluhan, teguran dan pandangan berkaitan usaha pemerkasaan seni, budaya dan sastera di negara kita.
SN tersebut ialah Datuk (Dr.) A. Samad Said (keempat), Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh (keenam), Dato’ Dr. Anwar Ridhwan (ke-10), Dato’ Baha Zain (ke-12), Datuk Dr. Zurinah Hassan (ke-13), Datuk Dr. Siti Zainon Ismail (ke-14), dan Dato’ Rahman Shaari (ke-15). Datuk Noordin Hassan (SN ketujuh) tidak dapat hadir atas masalah kesihatan.
Dato’ Seri Anwar dan ketujuh-tujuh SN telah berdialog panjang. Hasilnya, pelbagai idea bernas dilontarkan oleh semua SN tersebut.
Antaranya termasuk untuk mewujudkan Majlis Sastera Nusantara sebagai wadah pertukaran idea antara negara Nusantara, dan merancakkan usaha penterjemahan, selain mempertimbangkan peranan atase kebudayaan.
Diskusi tersebut turut menyinggung soal pembelajaran dan pengajaran karya-karya agung sastera tempatan dan dunia, di samping peranan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam memastikan program asasi, diploma dan ijazah pertama berkaitan sastera diberikan penekanan yang lebih mendalam.
Dalam pertemuan-perbincangan tersebut, Perdana Menteri turut menyarankan agar karya-karya agung SN diterbitkan dalam bentuk yang lebih menarik, untuk dijadikan cenderahati kepada tetamu-tetamu kerajaan.
“Karya-karya tersebut juga boleh diedarkan di Kedutaan-kedutaan Malaysia di luar negara untuk dijadikan bahan bacaan awam,” tambah beliau.
Anwar menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia akan memberikan perhatian yang serius terhadap usaha mengangkat martabat seni, budaya dan sastera negara, selaras dengan ikhtiar yang digariskan dalam gagasan Malaysia MADANI.
Daripada semua buah fikiran yang diutarakan itu, saya amat tertarik dengan cadangan menjadikan kawasan sekitar Jalan Belfield dan Jalan Bukit Petaling sebagai lokasi tumpuan serta pertembungan kegiatan sastera, bahasa dan kebudayaan.
Salah satu sebabnya ialah cadangan tersebut boleh “menghidupkan” suasana di sekitar dua batang jalan yang menempatkan pejabat Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Keadaan menceriakan dan merangsang persekitaran pusat percambahan seni, sastera, budaya dan bahasa di Rumah GAPENA, PENA dan DBP memang penting, serta menjadi satu keperluan.
Tidak dinafikan, sekitar Menara DBP dan Wisma DBP, memang telah lama “hidup”, walaupun tidak sentiasa, tetapi wajar dirancakkan lagi. Bukan saya sahaja, tetapi sesiapa yang biasa ke Rumah GAPENA dan Rumah PENA (susur jalannya lebih pendek berbanding ke Rumah GAPENA) tentu dapat melihat suasana yang dikatakan tidak menarik. Jalan Bukit Tunku juga sering dikaitkan dengan keseraman dan kejadian aneh.
Jadi, sesuatu perlu dilakukan. Barangkali ada individu atau pihak yang telah dan pernah memikirkan perkara tersebut, tetapi terbantut kerana tiada sokongan dari segi dana, dan tenaga. Apatah lagi tiada pemimpin tertinggi yang berminat.
Justeru, hal ini tidak menjadi kenyataan. Dengan usaha dan minat yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, tidak mustahil kali ini bukan hanya harapan dan impian. Ramai yang berkata, melaksanakan sesuatu yang sukar bergantung juga pada seseorang yang mempunyai kuasa besar – ertinya, beliau menyebut sekali sahaja, terus dituruti.
Dalam hal ini, sebagai “orang nombor satu” negara, Anwar ada tekad politik dan boleh menjayakan tekad budaya. Apakah lagi yang boleh menghalang jika Perdana Menteri mahu, dan memerintahkannya?
Mungkin ada yang mengatakan klise dan sudah terlalu biasa kalau di sekitar jalan-jalan ke Rumah GAPENA, Rumah PENA dan DBP itu didirikan gerai atau reruai untuk diisi oleh para penggiat seni, sama ada dari kementerian/agensi kerajaan dan/atau badan bukan kerajaan/persatuan.
Janganlah tiga buah tempat tersebut hanya diketahui oleh para penggiat sastera budaya sahaja.
Sesiapa yang sudah biasa mengunjungi gerai atau reruai dalam mana-mana festival seni, sastera dan budaya pasti “masak” dengan suasananya. Jadi, apakah yang baharu dan lebih menarik atau segar?
Secara peribadi, saya membayangkan lokasi berkenaan boleh diisi dengan aktiviti pendeklamasian sajak; nyanyian lagu puisi, dendangan syair, gurindam, dan seloka; bacaan naskhah seperti cerpen; sesi bacaan buku secara berjemaah; wacana mini dan bual bicara. Jualan produk berkaitan seperti buku, cakera padat dan kraf tangan seni budaya atau kesusasteraan masih boleh disertakan, kerana tetap penting untuk pulangan ekonomi.
Terdapat Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kuen Cheng 1 di Jalan Belfield itu. Saya fikir, kegiatan sastera yang diadakan boleh memperkenalkan sastera Melayu secara lebih berkesan kepada pelajar di sekolah itu kerana bersemuka dengan sasterawan terbabit.
Jika aktivitinya hendak diadakan setiap hari, setiap minggu ataupun setiap bulan, hal ini masih boleh dibincangkan. Untuk permulaan, tentulah mengejut kalau terus diadakan setiap hari. Mungkin elok dan wajar dicuba secara bulanan terlebih dahulu, untuk melihat sambutan, kemudian penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Penyair veteran, Nawawee Mohammad mengimbau Pasar Seni atau Pasar Budaya Kuala
Lumpur yang suatu waktu dahulu cukup berperanan sebagai lokasi pertemuan para seniman pelbagai genre, terutamanya puisi.
“Tetapi, pihak manakah yang ‘membunuhnya’ hingga hari ini seperti menjadi gemulah dan cerita ngeri? Kegiatan baca sajak di bawah tiang lampu dan pelbagai perhimpunan kecil di bawah bayang-bayang petang. (Kompleks) Dayabumi juga amat berkesan pada kehidupan seni dan sastera tanah air,” kata beliau yang sangat gembira jika keadaan itu berulang.
“Walau bagaimanapun, bolehkah suasana kegiatan sedemikian dijelmakan semula di persekitaran Jalan Belfield dan Jalan Bukit Petaling?” tanya Nawawee.
Pengasas Tajulmedia Melayu, Shahafendi turut bersyukur dengan cadangan ini. Cuma beliau bimbang manfaat dan matlamatnya tidak sampai ke akar umbi sastera budaya tanah air.
“Saya berpengalaman beberapa kali menganjurkan acara sastera budaya. Segala masalah dan kesukaran yang timbul diharap tidak berulang dan dihadapi oleh tenaga yang menggerakkan projek ini pula,” tambahnya.
Sambil memuji tekad politik dan tekad budaya Perdana Menteri dalam hal ini, Shahafendi berharap yang semua kos penganjuran projek ditanggung oleh pihak kerajaan. Kata beliau, berdasarkan pengalaman lalu pihaknya, semua kos pengurusan acara sastera budaya ditanggung sepenuhnya oleh para penggiat.
Seorang lagi penyair veteran tanah air, Djazlam Zainal bersetuju dengan cadangan ini. Katanya, kawasan Rumah GAPENA, Rumah PENA dan DBP wajar dijadikan kawasan yang mudah ditemui oleh orang ramai. Maksudnya, mesra pengunjung, dan janganlah tiga buah tempat tersebut hanya diketahui oleh para penggiat sastera budaya sahaja.
“Kurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan-kawasan tersebut. Kalau boleh, bina lintasan atau laluan udara seperti Pintasan Saloma yang cantik itu dengan nama sasterawan wanita, misalnya Allahyarham Zaihasra, dan namakannya Pintasan Zaihasra,” tambah beliau yang juga mantan pegawai Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.
Djazlam turut mencadangkan pembinaan laluan pejalan kaki sebagai kemudahan mengunjungi ketiga-tiga tempat tersebut. Kenderaan seperti kereta, katanya, boleh ditempatkan di DBP. Beliau juga mencadangkan agar Rumah PENA diubah suai dengan ciri-ciri rumah Melayu.
“Peruntukan tahunan untuk projek ini hendaklah diwartakan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, supaya tidak berubah walaupun tampuk pemerintahan negara bertukar. Hal ini juga untuk mengelakkan daripada penyalahgunaan pihak-pihak tertentu,” ujar beliau yang kini menetap di Melaka.
Sementara itu, pelukis khat dari Kuala Kangsar, Ibrahim Mohd. Don mencadangkan agar dibina kios yang lebih teguh dan berdaya penarik untuk karyawan seni bertapak mempromosikan karya mereka, sekali gus menjana ekonomi mereka sendiri dan seterusnya negara.
Kredit Foto: Raja Yusoff Ariffin
______________________________
Raja Yusoff Ariffin merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), mantan rakan Tajulmedia Melayu dan mantan ahli Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Raja Yusoff pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).