Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – YBhg. Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh memberi amaran bahawa identiti dan jiwa bangsa Malaysia kini berada di “tebing kehancuran” akibat pengabaian terhadap bidang sastera dan budaya dalam arus pemodenan yang terlalu mengagungkan teknologi.
Dalam ucaptama bertajuk “Sastera dan Budaya Raksa Ketamadunan: Melihat ke Luar dan Merenung ke Dalam” yang disampaikan dalam program Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor 2026 (DASA 2026), beliau menegaskan bahawa sastera merupakan “raksa” atau nadi yang mengikat keutuhan sesebuah tamadun.
Prof. Muhammad Haji Salleh menyatakan kebimbangan beliau terhadap kecenderungan pucuk pimpinan dan masyarakat yang semakin meminggirkan nilai kemanusiaan demi mengejar kepentingan ekonomi semata-mata.
“Hal yang sangat benar dan tidak boleh dinafikan ialah kita sedang menolak sastera kita ke tebing dan sebahagiannya sudah pun jatuh kerana masyarakat kini tidak menghargai makna sastera dan falsafah pemikiran orang dulu-dulu,” tegas beliau dalam majlis tersebut.
Beliau turut menambah bahawa kegagalan memahami akar umbi budaya sendiri akan menyebabkan bangsa Malaysia terjerumus ke dalam krisis identiti yang parah, menyamai bangsa-bangsa lain yang telah kehilangan jati diri mereka.
Menyentuh mengenai cabaran semasa, Prof. Muhammad menarik perhatian kepada perubahan drastik budaya membaca dalam kalangan anak muda yang kini lebih tertumpu kepada peranti elektronik berbanding naskhah sastera yang bermutu.
Beliau menekankan bahawa teknologi tidak mampu mengajar manusia menjadi lebih baik atau memupuk kasih sayang sesama insan seperti yang dilakukan oleh seni dan sastera.
Melalui paparan slaid pembentangannya, Prof. Muhammad menunjukkan betapa peribahasa Melayu seperti “Lain padang lain belalang” dan “Rambut sama hitam, hati lain-lain” merupakan cerminan kebijaksanaan intelektualisme bangsa dalam mengiktiraf keragaman pemikiran yang diilhamkan daripada pemerhatian sekeliling.
Beliau turut memetik naskhah-naskhah klasik seperti Malay Proverbs (1934) dan Malay Sayings (1951) sebagai bukti betapa rupa dan jiwa bangsa telah lama terpahat dalam sastera rakyat dan penceritaan penglipur lara.
Menurut beliau, sastera ialah instrumen utama yang mendekatkan manusia kepada pemahaman dunia yang rumit.
Sebagai jalan penyelesaian, beliau turut mengemukakan beberapa cadangan drastik kepada kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia agar mewajibkan mata pelajaran sastera di sekolah dan menggalakkan pengambilannya pada peringkat universiti dan kolej sebagai subjek wajib atau elektif.