Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor (DASA) 2026 yang berlangsung selama dua hari berturut-turut di Universiti Selangor (UNISEL) akhirnya melabuhkan tirai dengan pengumuman enam resolusi strategik bagi memperkukuh identiti dan tamadun negeri Selangor bersempena dengan Majlis Penutupan dan Penyerahan Resolusi.
Pengarah DASA 2026, YBrs. Puan Khadijah Ishak telah membentangkan enam resolusi utama yang didahulukan dengan pengukuhan ekosistem sastera majmuk. Langkah ini bertujuan untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara penggiat seni sastera, institusi dengan organisasi sastera pada peringkat Nusantara menerusi program pertukaran serta penerbitan bersama, sekali gus menjadikan Selangor sebagai pusat pertemuan dialog budaya serantau yang dinamik.
Resolusi kedua memfokuskan pada pemeliharaan warisan budaya tidak ketara bagi memastikan akar jati diri bangsa tidak pupus ditelan zaman. Usaha ini melibatkan pengiktirafan serta pewarisan khazanah bahasa, kesusasteraan lisan, seni persembahan dan adat resam yang perlu dititikberatkan agar sentiasa lestari dan selaras dengan prinsip global yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Selain itu, sastera dan budaya diangkat sebagai pemangkin pembangunan mampan dalam resolusi ketiga. Integrasi elemen ini dimasukkan dalam agenda ekonomi kreatif dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang dianggap penting bagi memastikan kemajuan fizikal Selangor berjalan seiring dengan kesejahteraan sosial serta pemantapan komunikasi pada setiap peringkat akar umbi.
Resolusi keempat pula menekankan aspek penyelidikan, dokumentasi dan penerbitan ilmiah bagi memartabatkan khazanah intelektual. Dengan merangsang penyelidikan berimpak tinggi dan pendokumentasian sistematik terhadap manuskrip serta ketamadunan bangsa Melayu, pemartabatan sastera tempatan dapat diangkat dengan lebih tinggi ke persada antarabangsa.
Bagi menyediakan ruang fizikal kepada komuniti kreatif, resolusi kelima mencadangkan pewujudan Rumah Sastera dan Budaya. Pusat ini bakal berfungsi sebagai wahana pemikiran dan pusat pelaksanaan seperti program persuratan, bahasa dan budaya tempatan, sekali gus menjadi tempat bernaung para karyawan dalam usaha memacu pembangunan minda masyarakat.
Sementara itu, resolusi keenam menyepakati kesinambungan DASA 2026 sebagai acara dwitahunan bagi menjamin kelestarian impak dialog tersebut.
Hal ini agar kemenjadian DASA sebagai agenda tetap dwitahunan, platform wacana kerjasama dan penjanaan idea kreatif pada peringkat global dapat diteruskan secara konsisten dan sistematik.