22 November 2024, 09:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dr. Khairul Nizam Zainal Badri memperkenalkan Gulistan atau Taman Mawar, prosa klasik unggul paling terkenal dari Parsi.

Gulistan bermaksud Taman Mawar dan teksnya dibahagikan kepada lapan bahagian yang dipanggil bab (“pintu”), sepadan dengan lapan pintu ke taman syurga.

Jika ditanya apakah prosa klasik “ringan” yang paling berpengaruh dan sangat popular dari Parsi? Jawapannya ialah Gulistan. Gulistan ialah sebuah buku prosa Parsi yang ditulis pada tahun 1258 oleh Syeikh Saadi Shirazi, seorang penulis yang diiktiraf secara meluas sebagai salah seorang ahli terbesar dalam tradisi sastera Parsi klasik. Gulistan bermaksud Taman Mawar dan teksnya dibahagikan kepada lapan bahagian yang dipanggil bab (“pintu”), sepadan dengan lapan pintu ke taman syurga. Kandungannya dikatakan berisi kisah-kisah moral dan anekdot yang kebanyakannya ditulis dalam hikayat (vignet atau prosa pendek) lalu digabungkan dengan pantun.

Berbanding dengan karya Saadi yang terdahulu, iaitu Bustan (Taman Wangi), Gulistan ialah karya yang terhasil dengan nada yang santai dan lucu.

Saadi mencatatkan dalam epilog Gulistan bahawa tujuan beliau menulis buku ini adalah untuk menyampaikan nasihat dalam bentuk yang enak dan lazat. Lantaran itu, Gulistan telah digunakan sebagai teks untuk pendidikan selama berabad-abad di seluruh wilayah yang berbahasa Parsi, dan menjadi teks utama dalam pengajaran bahasa Parsi dalam kalangan para pegawai Syarikat Hindia Timur di Kolej Fort William di Calcutta (anggaran dalam tahun 1801) dan di Kolej Haileybury di England (sekitar tahun 1806).

Ilustrasi Saadi Shirazi dilukis dalam manuskrip Mughal yang indah, dihasilkan sekitar tahun 1645. (Sumber: Govardhan)

Gulistan diperkenalkan ke Barat oleh ahli diplomatik Perancis, André du Ryer pada tahun 1634 yang telah menterjemahkan sebahagian daripada karya tersebut dalam bahasa Perancis. Du Ryer barangkali berhasil menatap naskhah Gulistan buat kali pertama ketika ditugaskan oleh pemerintah Perancis, Raja Louis XIII untuk mengadakan rundingan komersial antara Perancis dengan Parsi. Pada tahun 1636, karya ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman oleh Friedrich Ochsenbach. Georgius Gentius menjadi tokoh pertama yang menterjemahkan Gulistan dalam versi Latin, yang disertakan dengan teks Parsi pada tahun 1651.

Sejak itu, Gulistan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris beberapa kali, misalnya pada tahun 1774 yang dilakukan oleh Stephen Sullivan di London, James Dumoulin di Calcutta pada tahun 1807, Francis Gladwin di Calcutta pada tahun 1808, James Ross di London pada tahun 1823, S. Lee di London pada 1827, Edward Backhouse Eastwick di Hartford pada tahun 1852 (diterbitkan semula oleh Octagon Press pada tahun 1979), Johnson dan John T. Platts di London pada tahun 1863 dan 1867, Edward Henry Whinfield di London pada tahun 1880, Edward Rehatsek di Banaras pada tahun 1888, Sir Edwin Arnold di London pada tahun 1899, Launcelot Alfred Cranmer-Byng di London pada tahun 1905, Celwyn E. Hampton di New York pada tahun 1913, dan Arthur John Arberry di London pada tahun 1945.

Plot ceritanya yang minimalis diungkapkan dengan bahasa yang tepat dan sarat dengan pandangan psikologi, menyebabkan karya ini mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Ditambah dengan penerokaan hampir setiap isu utama yang sering dihadapi oleh manusia dengan pengisahan gaya optimis tetapi memiliki unsur satira secara halus, maka karya ini amat mudah untuk dihadam dan tidak jemu dibaca berulang kali.

Satu dapatan menarik yang diperoleh daripada kisah moral dan pengajaran mendalam yang terkandung dalam Gulistan ialah tema kesusasteraan sedemikian mampu memakmurkan kesihatan manusia dari segi fizikal dan mental. Menurut kajian yang dijalankan oleh Mahnaz Imani dan Hooshang Jadidi (2017) bertajuk “Studying Positive Psychology Factors in Sadi’s Gulistan”, kandungan Gulistan secara tidak langsung mendeskriptifkan psikologi positif menerusi tema-tema berinspirasi yang dipersembahkan kepada khalayak pembaca seperti kebahagiaan, bersikap optimis, kecerdasan emosi, hikmah, dan kreativiti.

Manuskrip Gulistan yang asalnya berada dalam Perpustakaan Di-Raja Awadhi di Lucknow, India, dihadiahkan kepada pemerintah England, King George III pada tahun 1798. (Sumber: Royal Collection Trust, UK)

Tema pertama paling penting yang dipersembahkan dalam Gulistan ialah usaha mencari kebahagiaan. Artistotle membahagikan kebahagiaan kepada tiga iaitu kenikmatan, kejayaan dan kehidupan yang bertimbang rasa. Bahkan kebahagiaan ialah punca utama Saadi menulis Gulistan apabila beliau mengajak orang ramai menjalani kehidupan yang bahagia dan menghargai setiap detik yang dilalui. Semua orang pasti mengalami kesedihan tetapi hal itu bukanlah sesuatu yang boleh dibiarkan kekal. Sedangkan kebahagiaan menurut Saadi perlu dicari dan dibiarkan meresap ke dalam sanubari. Perkara itu disampaikannya pada awal kandungan buku in:

Pergilah, bergembiralah, kawan yang menggembirakan hatiku.
Kesakitan hari esok tidak boleh ditelan hari ini

Tema kedua ialah optimis dalam kehidupan. Optimis ialah kemajuan diri sebaliknya pesimis ialah penyakit. Optimis membolehkan seseorang berfikir untuk masa depan dan berusaha melakukan yang terbaik ketika berada dalam keadaan sukar. Saadi berusaha menyedarkan masyarakat pada zamannya tentang pentingnya optimis dan keperluannya untuk memperkaya pemikiran di samping merawat penyakit mental dan masalah sosial.

Optimis membentuk budaya yang memberikan penekanan pada pembinaan identiti dan pengembangan nilai murni. Sifat optimis yang paling penting ialah berbaik sangka. Dengan itu, Saadi menyarankan agar khalayak bersikap optimis dengan berbaik sangka dalam kehidupan, seperti yang dinukilkannya dalam Bab 1 Kisah 2 yang berikut:

Barang siapa yang kamu lihat dalam kebiasaan beragama
Anggaplah dia seorang yang beragama dan baik
Dan, jika kamu tidak mengetahui keadaan batinnya,
Apa urusan muhtasib di dalam rumah?

Termasuk dalam sikap optimis ialah mempunyai keyakinan yang tinggi. Dalam perspektif psikologi positif, keyakinan mendorong terkabulnya hajat kerana seseorang itu akan memberikan sepenuh perhatian kepada apa yang ia mahukan. Keyakinan merangkumi kebolehan dan kesediaan menghadapi rintangan serta pertimbangan terhadap pelbagai cara dan usaha untuk mendapatkan apa-apa yang diingininya.

Dengan itu, sifat ini dianggap sebagai praktikal dan saintifik untuk memenuhi kehendak individu dan merealisasikan impian menjadi kenyataan. Dalam Gulistan Bab 1 Kisah 15, Saadi menganjurkan khalayak pembaca agar sentiasa menaruh keyakinan yang tinggi walaupun ketika berada dalam kesusahan dan kepahitan hidup:

Jangan bimbang dengan urusan yang kusut dan jangan simpan hati yang patah
Kerana musim bunga kehidupan berada dalam kegelapan
Jangan bersedih, wahai saudara dalam kesengsaraan
Kerana Yang Maha Penyayang mempunyai nikmat yang tersembunyi
Jangan bermuram durja kerana masanya akan tiba; bersabarlah
Walaupun pahit, ia tetap buah yang manis

Tema ketiga ialah kecerdasan emosi. Dalam perspektif psikologi positif,

Halaman pertama Gulistan versi skrip ta’liq, disalin pada tahun 1585. (Sumber: Bašagić Collection of Islamic Manuscripts in the University Library of Bratislava, Slovakia)

kecerdasan emosi memainkan peranan penting dalam kejayaan melebihi kecerdasan minda. Dengan memiliki kecerdasan emosi, seseorang itu berupaya mengenal pasti dan mengawal perasaan dan situasi, sama ada ketika bersendirian atau ketika bersama-sama orang lain. Walaupun kecerdasan emosi mempunyai hubungan dengan genetik, namun kecerdasan ini tetap boleh diusahakan menerusi pengajaran dan pendidikan. Terdapat banyak kisah yang dipaparkan dalam Gulistan membantu mencerdaskan emosi.

Contoh pertama ialah cara Saadi menggunakan alegori tentang watak sultan yang boleh dikiaskan kepada banyak perkara, misalnya tauhid yang menjadi asas agama, jantung untuk kesihatan mental dan fizikal, dan sebagainya. Hal ini terakam dalam Bab 5 Kisah 1:

Dia yang muridnya sultan
Jika dia melakukan semua yang buruk, ia akan menjadi baik.
Tetapi jika dia yang dibuang oleh maharaja yang agung
Maka ia tidak akan dipedulikan oleh sesiapa pun dalam rumah tangga

Contoh kedua seperti yang terdapat dalam Bab 1 Kisah 12 ialah alegori yang berkaitan dengan fungsi tidur kepada seorang raja, yang dikiaskan dengan penyelesaian sesuatu masalah yang kelihatan pahit tetapi mujarab untuk semua pihak:

Seorang raja yang zalim bertanya kepada seorang penyembah apakah jenis ibadah yang terbaik? Dia menjawab: Untukmu yang terbaik ialah tidur setengah hari supaya tidak mencederakan orang ramai buat seketika. Ini kerana saya lihat seorang zalim yang tidur separuh hari

Saya berkata: Kekeliruan ini, jika tidur menghilangkannya, lebih baik; Tetapi orang yang tidurnya lebih baik daripada berjaga. Maka lebih baik mati daripada memimpin kehidupan yang buruk.

Contoh ketiga ialah alegori wangian mawar yang dikiaskan pada haruman kebaikan apabila baunya jika tidak banyak, sedikit pun pasti tersebar kepada orang lain dan akhirnya mendapat manfaat. Alegori ini diletakkan pada bahagian pengenalan Gulistan:

Saya berniat untuk mengisi sarung jubah saya dengan bunga mawar –apabila saya sampai ke pokok mawar, sebagai hadiah untuk kawan-kawan saya tetapi minyak wangi bunga-bunga itu memabukkan saya sehinggakan saya biarkan, peganglah jubah saya.

Contoh keempat, seperti yang dinukilkan oleh Saadi dalam Bab 1 Kisah 4 ialah alegori orang yang mempunyai hikmah, yang setiap masa memberi nasihat dan membawa kebaikan kepada orang lain:

Orang bijak mula bercakap
Atau menuding jari ke pinggan
Apabila diam akan berbahaya
Atau pantang akan membawa kematian.
Tidak dinafikan kebijaksanaannya dalam bercakap
Dan makannya membawa buah yang sihat

Contoh kelima, seperti yang terkandung dalam Bab 7 Kisah 19 adalah tentang cara mengekang nafsu:

Saya bertanya kepada seorang lelaki yang terkenal dengan alasan tradisi: Anggaplah keghairahan sebagai musuh yang ada di antara dua pinggangmu. Dia menjawab: Sebabnya adalah kerana musuh apa pun yang kamu ampuni akan menjadi kawan kamu, sedangkan semakin kamu memanjakan nafsu, semakin ia akan menentang kamu. Manusia mencapai sifat malaikat dengan makan secara berjimat. Tetapi jika dia rakus seperti binatang, dia akan jatuh seperti batu. Orang yang keinginannya engkau penuhi akan mematuhi perintahmu. Bertentangan dengan nafsu, yang akan memerintah, apabila dipatuhi.

Tema keempat yang diberi perhatian secara meluas dalam Gulistan ialah hikmah dan kreativiti. Dalam perspektif psikologi positif, hikmah dan kreativiti ialah satu kebajikan yang merangkumi pemerolehan, pemahaman dan keupayaan untuk menggunakan pengetahuan dan kesedaran yang dibina oleh rasa ingin tahu, keterujaan, semangat, pertimbangan yang adil, fleksibiliti, dan kebolehan untuk merangka dan menghadirkan visi kehidupan sebenar.

Contoh kisah yang berkaitan dengan hikmah dan kreativiti boleh dilihat pada Bab 1 Kisah 12:

Kata-kata jika mengikat-hati dan manis
Adalah layak untuk dipercayai dan dipersetujui
Apabila engkau telah mengatakannya, jangan diucapkan lagi
Kerana gula-gula, sekali dimakan, sudah memadai

Contoh kata-kata yang bertemakan hikmah dan kreativiti adalah seperti yang tergarap dalam Bab 2 Kisah 21:

Tiada satu perkataan yang diucapkan walaupun kelihatan tidak berfaedah
Tetapi tetap direnung oleh seorang yang bijak sebagai satu nasihat
Sebaliknya jika seratus bab hikmah dibacakan kepada orang bodoh
Ia hanya memukul gegendang telinganya seolah-olah semuanya tidak berfaedah.

_________________________

Khairul Nizam Zainal Badri (Dr.) ialah tenaga pengajar di Pusat Pengajian Al Mansoorah, Puchong, Selangor.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.