Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAdib MN menulis tentang tarikan terbaharu di Kota Mawar, Shiraz, yang sebelum ini menghadiahkan Hafiz dan Saadi kepada dunia, kini menawarkan karya seni menginterpretasikan seni dan sastera tradisi dalam wahana moden.
Dengan jalan sepanjang dua alaf, Shiraz yang mempunyai kedudukan signifikan dalam peradaban Parsi, pernah menjadi pusat keilmuan Islam yang penting hingga turut beralih tangan dinasti tempatan.
Saya “melintas” beberapa kali kota Shiraz ketika membaca beberapa terjemahan karya penting Hafiz, termasuk The Garden of Heaven: Poems of Hafiz, The Nightingales are Drunk serta Saadi, terutamanya Taman Mawar (Gulistan) selain Shiraz in the Age of Hafez: The Glory of a Medieval Persian City tulisan John Limbert.
Kota yang terletak di selatan Iran itu, memiliki sejarah panjang dan kaya – serta tidak selalunya menjadi “wilayah Syiah” – sekali gus menjadi tumpuan pencinta seni serta sastera.
Dengan jalan sepanjang dua alaf, Shiraz yang mempunyai kedudukan signifikan dalam peradaban Parsi, pernah menjadi pusat keilmuan Islam yang penting hingga turut beralih tangan dinasti tempatan.
Tentu saja kota Shiraz memberikan Hafiz dan Saadi kepada dunia, sehingga makam kedua-dua tokoh besar itu menjadi destinasi impian, terutamanya pencinta dan penikmat puisi.
Malah, tidak hanya itu, keindahan seni bina Shiraz juga tercermin melalui pelbagai masjid, taman dan bangunan bersejarah yang merakamkan seribu satu kisah.
Masjid Nasir al-Mulk yang turut dijolok sebagai Masjid Merah Jambu atau Masjed-e Surati, dibina pada zaman Qajar, terkenal dengan kaca berwarna-warni yang membiaskan cahaya suria menakjubkan ke lantai, tiang dan dindingnya, manakala muqarnas atau corak tiga dimensi melambangkan kehalusan seni dan keindahan spiritual, mozek dengan warna pastel lembut di siling, dan dalam kubah yang tidak kurang hebatnya.
Tidak lengkap untuk memuji Shiraz tanpa Taman Eram yang menjadi antara seni bina dan landskap utama di kota itu, seolah-olah cuba membiaskan sedikit kefahaman mengenai keindahan syurgawi dengan reka bentuk taman Parsi tradisional.
Semua itu pastinya menjadi antara sebab mengapa kota Shiraz perlu dimasukkan dalam senarai wajib dikunjungi dengan karya-karya Hafiz dan Saadi terus melambai-lambai para peminat puisi termasuk saya.
Hakikatnya, kota Shiraz yang sekian lama merakam sejarah panjang lewat keindahan seni bina terutama masjid dan taman Parsi serta warisan kesusasteraan seperti karya Hafiz serta Saadi, kini dihidupkan semula dalam cara lebih kontemporari.
Namun rupa-rupanya, Shiraz masih memberikan sebab untuk mengunjunginya – kali ini dalam latar moden – apabila seniman tempatan, Adil Yazdi mengambil inisiatif untuk mengubah kawasan kejiranannya menjadi destinasi pelancongan melalui lukisan dan ukiran di dinding.
Berbeza dari persepsi orang luar terhadap Shiraz, kawasan kediaman Adil di Narenjestan seolah-olah berada di kutub yang berbeza dengan Kota Mawar itu.
Hal ini kerana Narenjestan seolah-olah berada di kutub yang berlainan dengan Shiraz kerana dipenuhi rumah-rumah lama dan semakin ditinggalkan penghuni.
“Kebanyakan dinding usang di sini tidak mempunyai nilai sejarah,” kata Adil seperti yang dipetik oleh AFP.
Walau bagaimanapun, berbeza daripada sebahagian penduduk yang mungkin memilih untuk meninggalkannya, Adil menghiasi dinding dan tembok dengan pelbagai lukisan dan ukiran.
Kita boleh menyaksikan cara hasil kreativiti dan seni Adil memberikan naratif baharu dengan merakamkan kesusasteraan dan kesenian yang disuntik dengan gaya surealisme tetapi berakar pada kebudayaan tradisi.
Antara karya seni yang boleh dilihat di laman Instagram Adil, ialah wajah Shahrazad, iaitu watak penting pencerita dalam Alf Layla wa-Layla atau Hikayat Seribu Satu Malam.
Malah, karya-karya Adil dipamerkan di tembok dan dinding itu turut membawa kita ke bengkel seni yang terletak di bangunan berusia seabad.
Bangunan itu dipenuhi dengan artifak dan arca, sekali gus menjadikannya “hidup” dengan nafas seni yang diadun antara tradisi dengan moden.
Hal ini kerana, Adil Yazdi mengakui bahawa landskap karya seninya itu dicetuskan dari Pusat Pompidou di Paris, iaitu hab budaya yang berjaya mengubah ibu kota Perancis pada dekad 1970-an, sekali gus berharap formula sama boleh digunakan di kota kelahirannya.
Dalam hantaran Instagram terbaharunya, beliau turut menampilkan perbezaan dinding sebelum dan selepas menerima sentuhan ajaibnya.
Hakikatnya, kota Shiraz yang sekian lama merakam sejarah panjang lewat keindahan seni bina terutama masjid dan taman Parsi serta warisan kesusasteraan seperti karya Hafiz serta Saadi, kini dihidupkan semula dalam cara lebih kontemporari.
Inisiatif seperti yang dilakukan oleh Adil sebenarnya bukan sekadar mengubah warna kawasan kejiranannya, bahkan memberikan dimensi baharu pada sejarah dan budaya Shiraz.
Usahanya membuktikan yang seni tidak hanya mengindahkan ruang, bahkan mampu menjadi pemangkin kepada perubahan sosial dan pemulihan warisan.
Saya berharap Adil tidak sendirian, sebaliknya turut sama menarik seniman lain termasuk generasi baharu untuk menghubungkan semula masyarakat dengan akar seni tradisi mereka, tetapi pada masa sama, memberikan “terjemahan” baharu.
Moga-moga saya dan anda akan benar-benar melintas Shiraz, bukan lagi di halaman karya Hafiz dan Saadi, tetapi menjejakkan kaki ke kota itu.
Nampaknya, bukan hanya Hafiz, Saadi serta Masjid Nasir al-Mulk dan Taman Eram melambai saya, bahkan Narenjestan untuk menatap wajah Shahrazad!
______________________________
Adib MN ialah eseis dan pengarang kreatif yang mengamati sastera dari jarak dekat.