Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDr. Ding Choo Ming menyelidik sebuah buku lama dalam aksara Jawi, buku pantun, yang jarang-jarang diketahui umum.
Untuk memastikan ejaannya, banyak katanya perlu dibaca berulang kali agar dapat menangkap makna sebenarnya dalam konteks perkataan yang lain.
Sepanjang yang diketahui, ada banyak buku syair dalam Jawi, tetapi tidak banyak buku pantun dalam Jawi.
Antara buku syair dalam Jawi yang dimaksudkan itu ialah Syair Tantangan Singapura Abad Kesembilan Belas, diselenggarakan oleh Muhammad Haji Salleh (1994), Syair Rakis, karya Almarhum Pengiran Shahbandar Pengiran Mhd Salleh ibnu Pengiran Sharmayuda, dikaji dan disusun oleh Amar Diraja Dato Seri Utama Awang Haji Mohd Jamil Al-Sufri bin Begawan Pahin Utama Khatib (1983), dan Syair Khadamudin oleh Raja Aisyah Sulaiman, ditransliterasi oleh Raja Hamzah Yunus (1987).
Setelah saya berundur dari Universiti Kebangsaan Malaysia, minat saya terhadap pantun Melayu tidak luntur, terutama selepas berbincang dengan Profesor Diraja Ungku Aziz selepas saya pulang daripada kerja lapangan mencari pantun di Indonesia di bawah geran penyelidikan Asia Public Intellectuals, tajaan Nippon Foundation, selama tiga bulan.
Dalam perbincangan itu, Pak Ungku telah memberikan senarai pantun dalam bentuk manuskrip yang masih tersimpan di Eropah. Sementara menunggu untuk dapatkan salinan pantun dari Eropah itu, saya telah mencari pantun, terutama yang disiarkan dalam akhbar dan buku dalam tulisan Jawi. Setelah mencari, saya hanya menjumpai tiga buah buku. Oleh sebab kesemua buku itu tidak mudah didapati, kerana tidak ada di perpustakaan awam, maka saya ingin berkongsi akan buku yang amat langka itu.
Antara buku yang ditemui, biarlah saya memperkatakan buku Pantun Dendam Tak Sudah. Inilah kulit depan buku itu:
Buku ini merupakan karya karangan penulis bernama B. Ain. Buku ini setebal 95 halaman dan berisikan 296 rangkap pantun, terbitan The Sentosa Store, Kuala Pilah, dan dijual dengan harga 50 sen masa itu.
Kita tahu The Sentoasa Store di Kuala Pilah ialah penerbit Melayu yang terkenal dalam tahun-tahun 1930-an, 1940-an dan 1950-an. Rumah penerbitan ini menjadi terkenal kerana sudah menerbitkan banyak novel, selain kumpulan atau antologi cerpen dan pantun dalam Jawi. Antara novel yang diterbitkannya termasuk Fajar Merah dalam Timur karya Shamsuddin Salleh (200 hlm., 1936), Bermandi Darah di Sungai Johor. Atau Riwayat Hang Nadim, Hulubalang Melayu karya Mashor Malaya (54 hlm., 1949) dan Sumpah Ibu karya Belia Malaya (76 hlm., 1950).
Berbalik pada buku Pantun Dendam Tak Sudah, tulisan pada beberapa halamannya sudah kembang, maka susah dibaca. Untuk memastikan ejaannya, banyak katanya perlu dibaca berulang kali agar dapat menangkap makna sebenarnya dalam konteks perkataan yang lain. Oleh sebab ada beberapa yang tidak pasti maknanya, maka saya terpaksa meninggalkannya dengan dibuat tanda XXX.
Selain itu, untuk perkataan yang tidak pasti maknanya, saya sudah memerahkannya, seperti mala (bil.7, hlm.4), serahi (bil.9, hlm.4) dan kapa (bil.13, hlm.4). Selain itu, perlu dinyatakan bahawa halaman 43 dalam buku asalnya hilang.
Terdapat dua perkara yang dibuat sebagai usaha dokumentasi dan penyelidikan buku ini.
Pertamanya, selain judul besar Pantun Dendam Tak Sudah, semua pantun dalam buku ini saya susun di bawah judul kecil (subjudul) yang lain, yang ditandakan dengan tanda * *, misalnya *Pantun Percintaan* dalam halaman dua.
Kedua, dalam buku ini, saya dapati terdapat banyak tempat yang disebut. Antaranya termasuk Aceh, Bali, Bidur, China, Gunung Daik, Hong Kong, Indera Sakti, Jawa, Jedan, Jeddah, Kelantan, Kuala Linggi, Ledang, Linggi, Medan, Melaka, Pulau Betung, Palembang, Pulau Embun, Pulau Maluku, Pulau Tioman, Rom, Semarang, Sempurna, Singapura, Sitiawan, Sungai Bekap, Sungai China, Sungai Siput, Surabaya, Surati, Tanjung Pagut, Tanjung Tualang, Tanjung Jati, dan Yaman. Dalam barisan tempat-tempat itu yang dijadikan rangkap pembayang, saya tertarik pada Sitiawan, tempat kelahiran saya.
Baca Bahagian Kedua Refleksi |
_________________________
Ding Choo Ming (Dr.) sudah bersara dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, selepas berkhidmat lebih 40 tahun. Beliau merupakan mantan Felo Penyelidik Utama (Profesor) di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.