Diterbitkan pada 11 Disember 2025, 11:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Masyarakat dulu hidup berkelas,
Raja dan hamba tugas digalas,
Setiap manusia bertugas ikhlas,
Tiada di hati bibit pemalas.

Kisah bukan omongan kosong,
Padat hikmah ilmu bergabung,
Kisah seorang hamba di Sayung,
Berjiwa besar tahu diuntung.

Menebas rimba kerja sehari,
Keringat laju tidak peduli,
Asalkan kerja sempurna akhiri,
Semangat itu perlu teladani.

Terpandang Badang sungai yang dalam,
Bersusun ikan berbalam-balam,
Niat di hati bikin pekasam,
Boleh dibuat bertalam-talam.

Lukah disiap menangkap ikan,
Pastinya kenyang hasil tangkapan,
Patin, jelawat, belida dan toman,
Bekalan Badang berbulan-bulan.

Tapi panas tak sampai ke petang,
Angkara siapa ikanku hilang,
Tinggal kepala bersisip tulang,
Hati siapa tiada nan berang.

Lukah dialih ke tepi alur,
Tempat kaloi tumpang bertelur,
Hati berkecai sampai empulur,
Lihat tulang kepala hancur.

Badang menyorok sebalik buluh,
Muncul kelibat hitam seluruh,
Berjanggut panjang mata bersuluh,
Meratah ikan hingga berpeluh.

Timbul takut tidak terhingga,
Kaku tubuh tidak terkata,
Ingin lari tak tentu hala,
Tapi terfikir apa sudahnya?

Badang teringat amanat nenda,
Jika berhadapan dengan bahaya,
Baca ini mantera pusaka,
Pasti hancur segala kuasa.

Janggut direnjat berselang pekikan,
Terkejut hantu si jembalang hutan,
Meminta Badang segera lepaskan,
Segala diminta aku kabulkan.

Badang diberi tiga pilihan,
Yang mana satu jadi idaman?
Kaya, gagah atau siluman,
Pilihan tepat masa hadapan.

Badang pilih gagah handalan,
Taat berkhidmat kepada tuan ,
Jika begitu muntah kaumakan,
Ubat kuat bukan bohongan.

Sebaik muntah habis ditelan,
Badang kuat bukan sembarangan,
Pokok dicabut habis bantingan,
Takjubnya tuan hilang kewarasan.

Hadiah Badang taat setia,
Kini merdehekalah habuannya,
Berita Badang tersebar merata,
Sehingga ke Raja Singa Pura.

Badang dijadikan hulubalang,
Kekuatannya bukan kepalang,
Pucuk kuras sanggup ditatang,
Pecahlah batu jatuh terlentang.

Irilah Raja Benua Keling,
Pertaruhkan panglima harta keliling,
Badang buatnya jadi pening,
Batu besar diangkat dipusing.

Alahlah panglima Keling ternama,
Malulah raja seantero benua,
Tujuh kapal milik si dia,
Hulubalang Sayung di Singa Pura.

Datanglah Perlak beradu tenaga,
Bendarang panglima tiada tara,
Ingin beradu dengan adinda,
Wakil hebat baginda raja.

Badang khuatir bukan kepalang,
Sebelum raja berhati walang,
Muslihat dikena kepada Bendarang,
Duduk sebelah dengan Si Badang.

Paha bertindih tiada yang tahu,
Di sinilah Badang cuba beradu,
Tiada yang sedar salahnya laku,
Benderang yakin bukan lawanku.

Perlak berundur sebelum bertanding,
Sebelum terus dikecam dikerling,
Biar digelar penakut keliling,
Apa pun tiada kuambil pusing.

Hebat kisah wira kota Singa,
Dari hamba dia bermula,
Pertaruh jiwa demi berjaya,
Lambang warga jelas citanya.

Kini makamnya ada di Buru,
Tanda cerita bukannya tipu,
Walau ditambah satu per satu,
Hadam kisahnya tonjolkan ilmu.

Berani mengubah masa hadapan,
Tindakan hebat perlu disiapkan,
Dari hamba ke orang harapan,
Kisah Badang buat pengajaran.

Bukan sekadar muntah dimakan,
Terselit hikmah buat pedoman,
Jika hidup ingin kemajuan,
Cerita pusaka jadikan panduan.

Perihal Badang usah dilupa,
Sulalatus Salatin buka kisahnya,
Paparan bukan satu sia-sia,
Kisah hamba berjiwa merdeka.

Nilai Impian

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi