Diterbitkan pada 20 Januari 2026, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengumumkan tajaan penuh kepada penulis Malaysia yang terpilih bagi menyertai Program Penulisan Antarabangsa Iowa (Iowa International Writing Program, IWP) di Amerika Syarikat, yang akan berlangsung dari bulan Ogos hingga Oktober.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, tajaan itu merangkumi keseluruhan kos penyertaan dan merupakan sebahagian daripada usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu serta pemerkasaan penulis tempatan pada peringkat global.

Menurutnya, program berprestij yang bermula sejak tahun 1967 itu telah menghimpunkan lebih 1600 penulis daripada lebih 160 negara, dengan sebahagian alumninya pernah dinobatkan sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan.

“IWP ialah antara program penulisan kreatif paling lama dan berprestij di Amerika Syarikat. Program ini menyediakan ruang kondusif kepada penulis untuk terlibat dalam diskusi, pembacaan karya, pembentangan serta pelbagai kegiatan kesusasteraan di University of Iowa,” katanya.

Hazami berkata, penyertaan dalam program seperti IWP dapat memperkaya pengalaman penulis, menggalakkan pertukaran idea serta memperluas jaringan profesional dalam dunia penulisan, selain mewujudkan interaksi silang budaya dalam kalangan peserta antarabangsa.

Beliau menjelaskan, kesediaan DBP menaja sepenuhnya penyertaan ke IWP adalah selari dengan Pelan Strategik DBP yang bermatlamat menggiatkan usaha pencalonan tokoh dan karya penulis Malaysia dalam program pengiktirafan antarabangsa.

“Langkah ini bukan sahaja memberikan manfaat langsung kepada penulis, malah membuka ruang kepada DBP untuk memantapkan serta meluaskan jaringan kerjasama strategik dengan pelbagai negara di peringkat ASEAN dan antarabangsa,” katanya.

Menurut Hazami, penyertaan penulis Malaysia dalam program berkenaan juga berpotensi menyumbang kepada peluasan penggunaan dan pengaruh bahasa Melayu di luar negara, selaras dengan peranan DBP sebagai badan peneraju pembangunan bahasa dan sastera kebangsaan.

Beliau berkata, pendedahan pada ekosistem sastera antarabangsa yang dinamik membolehkan penulis tempatan mempelajari pendekatan baharu dalam pembangunan komuniti penulis, penganjuran bengkel serta aktiviti kolaboratif yang boleh disesuaikan dalam konteks tempatan.

DBP membuka pencalonan kepada penulis yang mengarang dalam bahasa Melayu, berusia antara 30 tahun hingga 60 tahun dan mempunyai karya yang diterbitkan.

Calon perlu fasih berbahasa Inggeris, dengan keutamaan diberikan kepada penulis yang pernah menerima pengiktirafan sastera di dalam atau di luar negara. Tarikh tutup pencalonan adalah pada 30 Januari 2026.

Untuk rekod, sejak tahun 1971, sebanyak 13 orang penulis Malaysia yang menulis dalam bahasa kebangsaan sudah menyertai IWP dengan kali terakhir disertai oleh Nisah Haron pada tahun 2015.

Klik di sini untuk mengisi borang pendaftaran.

Kredit Foto: Dewan Bahasa dan Pustaka
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi