Diterbitkan pada 23 Januari 2025, 10:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Tabiat membaca selalu dianggap sebagai pintu kepada ilmu pengetahuan, kreativiti dan pertumbuhan peribadi. Membaca juga dikaitkan dengan keupayaan seseorang itu memperluas minda, selain meneroka perspektif baharu dan mempunyai kemahiran berfikir yang lebih kritikal.

Bagi jutawan terkemuka dunia seperti Elon Musk, Jeff Bezos dan Bill Gates, membaca ibarat darah daging sehingga tabiat pembacaan mereka kerap mendapat sorotan media.

Jeff Bezos (Sumber: Seattle City Council)

Laman web seperti goodbooks.io, Indiantimes.com, FarmanStreet, Business Insider, dan pelbagai lagi kerap menyenaraikan buku-buku kegemaran tiga jutawan ini.

Walau bagaimanapun, senarai bacaan Bezos agak menarik kerana selain naskhah-naskhah bukan fiksyen, Bezos ternyata menikmati karya sastera. Antara novel yang dibaca oleh Bezos ternyata memberikan inspirasi kepadanya, termasuklah The Remains of the Day oleh penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2017, Kazuo Ishiguro.

Novel tahun 1989 itu mengangkat watak Stevens, seorang butler yang berkhidmat di Darlington Hall. Naskhah ini memenangi Hadiah Booker untuk Fiksyen pada tahun yang sama, sebelum diangkat ke layar perak pada tahun 1993 dan dibintangi oleh Anthony Hopkins dan Emma Thompson.

Sebuah lagi “novel” yang menarik perhatian Bezos ialah The Goal: A Process of Ongoing Improvement oleh Eliyahu M. Goldratt dan Jeff Cox.

Dalam novel yang penuh aksi ini, Goldratt dan Cox meneroka teori kekangan dari perspektif pengurusan. Hal ini didedahkan oleh Brad Stone dalam bukunya, The Everything Store: Jeff Bezos and the Age of Amazon. Naskhah tulisan Stone itu menyingkap buku-buku yang memberikan inspirasi kepada Bezos untuk membentuk Amazon.

Justeru kata Stone, The Goal: A Process of Ongoing Improvement dan bagaimana hal ini mempengaruhi Bezos. Stone menuliskan, “Sebuah pendedahan mengenai sains pembuatan yang ditulis dalam bentuk novel, buku ini menggalakkan syarikat untuk mengenal pasti kekangan terbesar dalam operasi mereka … dan kemudian menyusun organisasi mereka untuk mendapatkan hasil maksimum daripada kekangan tersebut.”

Stone juga menuliskan bahawa Bezos turut terinspirasi dengan naskhah The Black Swan: The Impact Of The Highly Improbable oleh Nassim Nicholas Taleb. Naskhah ini memberi tumpuan kepada apa yang kini dikenali sebagai Teori Angsa Hitam.

Penghasilan buku ini menunjukkan pembaca bagaimana peristiwa yang jarang-jarang dan tidak dapat diramalkan memberikan kesan yang mendalam dan berpanjangan dalam kehidupan seseorang.

Seterusnya buku Creation: Life and How to Make It oleh Steve Grand. Naskhah ini mendedahkan cara Grand mencipta permainan komputer, Creatures dengan menulis kira-kira 250 ribu baris kod komputer seorang diri. Naskhah ini menampilkan hal kecerdasan buatan dan kehidupan yang disorot dalam konteks permainan komputer.

Kredit Foto: Olena Bohovyk/Unsplash dan Seattle City Council
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi