Oleh Karmila Azmi
29 September 2024, 08:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jhumpa Lahiri, pemenang Hadiah Pulitzer 2000 menerusi kumpulan cerpennya, Interpreter of Maladies menolak penganugerahan dari Muzium Noguchi di Bandar New York, selepas muzium tersebut memecat tiga pekerja kerana memakai selendang kepala kaffiyeh, yang merupakan simbol solidariti Palestin.

Al Jazeera melaporkan, muzium yang ditubuhkan hampir 40 tahun lalu oleh pereka dan pemahat Jepun-Amerika Isamu Noguchi itu mengumumkan bahawa pada bulan Ogos, pekerja tidak boleh memakai pakaian atau aksesori yang menyampaikan “mesej politik, slogan atau simbol” semasa waktu kerja mereka.

“Jhumpa Lahiri telah memilih untuk menarik balik penerimaannya terhadap Anugerah Isamu Noguchi 2024 sebagai respons kepada polisi kod berpakaian kami yang dikemas kini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh muzium berkenaan Rabu lalu.

Kenyataan sama menyebutkan, “Kami menghormati pandangannya dan memahami bahawa polisi ini mungkin selari atau tidak dengan pandangan semua orang.”

Selain Al Jazeera, The New York Times sudah melaporkan berita ini terlebih dahulu.

Kaffiyeh hitam putih digunakan di seluruh dunia bagi membawa maksud menentang peperangan dan tuntutan menghentikan genosid dan kekejaman ke atas Palestin.

Sementara itu, The New York Times melaporkan, Lahiri dan Lee Ufan, seorang pelukis, pemahat dan penyair minimalis kelahiran Korea, dijadualkan menerima Anugerah Isamu Noguchi pada gala manfaat musim luruh muzium itu bulan depan.

Lahiri sebelum ini adalah antara pengarang dan sarjana yang tampil menyatakan solidariti dengan protes di kampus terhadap perang di Gaza dengan menandatangi memo bantahan dan menyerahkannya kepada presiden salah sebuah universiti di Amerika dengan menyifatkan perang di Gaza sebagai “penghancuran yang tidak terungkap”.

Kredit Foto: Facebook Jhumpa Lahiri
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.