12 Disember 2024, 08:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Adam Taufiq Suharto memperkenalkan sebuah buku foto yang penting untuk jurugambar dan fotowan tatapi, selain pengaruhnya terhadap seni dan sastera.

Mungkin kerana obsesi saya terhadap permainan cahaya dan bayang, maka memegang, membelai dan membeleknya ibarat menatap sebuah kitab penting.

Colour is deeds and suffering of light” – Goethe

Ungkapan Goethe tersebutlah, yang disunting oleh Alex Webb untuk dijadikan judul buku fotonya, The Suffering of Light: Thirty Years of Photographs. Dalam satu sesi wawancara, Alex Webb berkata, As I understand it, one of the tenets of Goethe’s theory of colour is that colour emerges from the tension between light and dark, a notion that seems to resonate with my use of colour, with its intense highlights and deep shadows. Also, my photographs are often a little enigmatic — there’s sometimes a sense of mystery, of ambiguity.

Suffering of Light adalah antara buku foto idaman hampir kesemua fotowan jalanan (walaupun begitu, kenyataan ini masih bebas dibahaskan). Biarpun sebelum ini saya telah memiliki beberapa buku foto Alex Webb yang lain, seperti Memory City (projek buku Alex berkolaborasi dengan isterinya, Rebecca Norris Webb, yang juga mengerjakan fotografi selain seorang pemuisi), Dislocation dan Street Photography and Poetic Image (lebih sebagai sebuah buku rujukan atau manual Alex yang sekali lagi bergandingan dengan Rebecca), tetapi buku ini lain ketimbang buku-buku yang disebutkan tadi. Perasaannya lain.

Mungkin kerana obsesi saya terhadap permainan cahaya dan bayang, maka memegang, membelai dan membeleknya ibarat menatap sebuah kitab penting. Adapun begitu, usai membelek helai demi helai, antara hal yang saya tersedar sebenarnya, yang membuatkan foto-foto Alex Webb ini “sakti”, bukan semata-mata kerana permainan cahaya dan bayangnya tetapi saktinya muncul daripada kekuatan permainan layering dan letak duduk subjeknya.

Dalam esei Geoff Dyer yang termuat dalam buku ini sebagai esei penutup, Dyer memetik kenyataan fotowan India, Dayanita Singh (yang juga pernah belajar bersama-sama dengan Alex Webb), melabelkan foto-foto Alex Webb sebagai “fotograf migrain”. Hal ini kerana kompleksiti yang terdapat dalam karya foto Alex Webb yang penuh, terisi, malah beberapa fotonya seolah-olah suatu pengalaman menatap lukisan romantisisme atau seperti melihat imej pegun sinema. Tambah lagi, Alex juga pernah mengatakan bahawa “The world is a complex place and there are great dangers when you start looking everything in terms purely of black and white.

“Hitam-putih” yang diertikan oleh Alex Webb itu sudah semestinya bermaksud “polos” atau “cetek”, bukannya “hitam-putih” secara literal. Maka, kompleksiti dalam foto-foto Alex Webb merupakan satu penyataan beliau dalam usaha melihat dunia. Dunia tidak dilihat olehnya secara polos (hitam-putih) tetapi cara Alex melihat dunia lebih kompleks. Alex berhak untuk mengatakan hal itu kerana foto-fotonya merata dan tidak terhad pada tanah kelahirannya semata-mata, Amerika Syarikat. Foto-fotonya bak kata Geoff Dyer, selalu bergelumang dengan persoalan sempadan dan geografi, kerana dalam Suffering of Light sendiri, foto-foto yang termuat membawa kita menjelajah ke negara-negara seperti Mexico, Haiti, Cuba, Brazil, Panama, Istanbul, dan beberapa negara lain, di mana Alex Webb mendapatkan foto-foto terbaiknya.

Malah, lebih menarik, sebenarnya foto-foto di Amerika Syarikat juga amat minimum. Begitu juga New York yang sering menjadi kiblat fotografi jalanan dan begitu sinonim dengan fotowan jalanan di Amerika Syarikat. Namun begitu, terdapat sebuah foto Webb di New York yang ada kesaktiannya yang tersendiri, selain agak masyhur, yakni imej bayi dan seorang ibu sambil latar belakangnya ialah World Trade Centre yang runtuh, dan asap hitam berkepul-kepul menghurung ke langit. Dan ya, foto itu diambil dalam Serangan 11 September. Sandingan dua subjek yang kontra dalam foto tersebut menjadikan foto tersebut amat mengesankan dan berkuasa: imej bayi yang sinonim dengan kelahiran dan di belakangnya, latar World Trade Centre yang meraung kehancuran.

Saya sendiri tidak berfikir Alex berfikir begitu kerana yang menariknya, kalau kita menatap kebanyakan foto Alex Webb, kita akan mendapati tidak begitu ketara perbezaan foto-fotonya di Amerika Syarikat atau di negara-negara maju dengan foto-foto Alex di negara yang sebaliknya.

Dalam hal yang lain, Alex Webb ialah seorang yang membaca. Novel untuk lebih spesifik. Malah, beliau yang juga lulusan Sastera dan Sejarah dari Universiti Harvard, sering menjadikan novel sebagai panduan dan ilham untuk merakamkan satu-satu tempat (mungkin sebab itu juga beliau sering menjemput para penulis susastera untuk menjadi pengantar buku fotonya, seperti Geoff Dyer dan Orhan Pamuk).

Antaranya dalam Suffering of Light ini, Alex menyatakan, atas pembacaan novel The Comedians karya Graham Greenelah yang membarakan keinginannya untuk berkelana ke Haiti, tanpa mengetahui bahawa pengalamannya di sana merubah banyak pandangan hidupnya. Maka dengan itu, Suffering of Light ada termuat dengan foto keganasan dan gerakan antipemerintah yang berlangsung di Haiti.

Mungkin kerana itu, Alex Webb berikhtisar, “Perhaps part of what makes novels so special to me as a photographer is that both novels and photographs can explore albeit elliptically-political issues and societal tension.”

Dalam sebuah tulisannya yang lain, Alex mendakwa bahawa buku foto pertamanya, Hot Light/Half Made Worlds, semirip perjalanan daripada pencerahan kepada kegelapan, sangat terpengaruh dengan novel Heart of Darkness oleh Joseph Conrad. Sementara itu, dalam kembara fotografnya di hutan hujan Amazon, beliau merasakan yang kembara itu seperti menyelami alam realisme magis Gabriel Garcia Marquez, Mario Vargas Llosa dan Augustus Roa Bastos.

Apabila bercakap tentang realisme magis, beberapa foto Alex Webb yang dirakam di benua Amerika Selatan, banyak yang menangkap langit kala senja dan malam yang mana, langitnya memiliki warna-warna yang unik, umpamanya ungu dan hijau. Juga warna-warna yang diguna pakai di dinding, di tingkap, di baju, di lampu jalan, yang menjadikan rupa dan bentuknya berbeza daripada apa-apa yang biasa dilihat di negaranya (walaupun harapannya, pernyataan ini tidak disalah anggap sebagai percubaan untuk mengeksotikkan benua Amerika Selatan. Saya sendiri tidak berfikir Alex berfikir begitu kerana yang menariknya, kalau kita menatap kebanyakan foto Alex Webb, kita akan mendapati tidak begitu ketara perbezaan foto-fotonya di Amerika Syarikat atau di negara-negara maju dengan foto-foto Alex di negara yang sebaliknya. Hal ini berlaku kerana pendekatan Alex yang tidak ke arah jurnalistik dan sejarah, sebaliknya ke arah menangkap atmosfera suatu tempat dengan sikap fotografi jalanan).

Dalam satu bahagian, Dyer turut memetik bahawa Alex menganggap Mexico and Haiti ialah tempat “colour is somehow deeply part of the culture, on an almost spiritual level.” Sebagai refleksi, sebagai seorang fotowan jalanan juga, lihat saja ibu kota kita, Kuala Lumpur, yang mana bukan sahaja bangunan-bangunannya disaluti dengan warna mati, tetapi orang-orangnya juga secara trendnya mengarahkan kepada warna-warna hambar atau minimalisme tanpa asas. Jadinya, warna menjadi sesuatu yang tidak menarik untuk ditangkap di Kuala Lumpur, melainkan pada hari-hari keagamaan dan perayaan, seperti Thaipusam dan Tahun Baru Cina, yang secara kebetulan, seperti kata Alex, warna menjadi sesuatu “on an almost spiritual level.

_________________________

Adam Taufiq Suharto merupakan penulis dan pengkarya bebas. Selain pernah bertugas sebagai penulis skrip untuk stesen televisyen tempatan, beliau juga aktif membikin filem pendek, juga menulis esei dan cerpen. Kini, beliau berjinak-jinak dengan fotografi jalanan.

Kredit Foto: Martin Baron/Unsplash
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.