Oleh Karmila Azmi
7 Oktober 2024, 08:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

New York – Novel My Friends tulisan Hisham Matar menarik perhatian sebahagian pembaca antarabangsa kerana novelnya mengangkat latar masa semasa pemerintahan Gaddafi di Libya.

Watak utamanya, Khaled, dibesarkan di Libya sebelum melanjutkan pengajian di UK. Di situ, dia terbabit dengan protes menentang pemerintahan Gaddafi yang kemudiannya berubah menjadi ganas dan memisahkannya dari tanah airnya sendiri.

Naskhah ini terus mendapat perhatian apabila diumumkan berada dalam senarai akhir The National Book Award 2024. Anugerah tahunan itu dianjurkan oleh Yayasan Buku Kebangsaan di Amerika. The National Book Award dianugerahkan kepada penulis yang bukunya diterbitkan di negara itu.

Selain Hisham, empat lagi judul yang mara ke peringkat akhir ialah tulisan Pemi Aguda (Ghostroots); Kaveh Akbar (Martyr); Percival Everett (James); dan Miranda July (All Fours). Menariknya, bukan semua naskhah yang berada dalam senarai akhir ini merupakan novel.

Misalnya, Ghostroots ialah koleksi cerpen yang mengangkat latar tempat di Lagos, Nigeria. Buku ini ialah kumpulan cerita mengenai penyesalan tetapi dalam masa sama mencari kebebasan daripada warisan nenek moyang.

Dalam James, Percival Everett memberikan tafsiran semula Adventures of Huckleberry Finn yang memberikan tumpuan kepada Jim, seorang yang dianiaya dan melarikan diri. Karya ini mengulang kaji dan mendalami kisah terkenal tulisan Mark Twain tersebut.

Lima finalis ini dipilih menerusi senarai panjang yang diumumkan pada bulan September lalu. Pemenang hanya akan diumumkan pada 20 November dengan hadiah utama bernilai USD10,000.

Secara keseluruhan, sekretariat The National Book Award menerima 1,917 judul dengan 473 genre fiksyen; 671 bukan fiksyen; 299 kumpulan puisi; 141 karya sastera terjemahan; dan 333 sastera kanak-kanak.

Kredit Foto: Mathias PR Reding/Unsplash
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.