Oleh Karmila Azmi
8 Mei 2024, 14:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

New York – Novel tentang ibu dan anak perempuannya semasa dan selepas Perang Saudara di Amerika, Night Watch tulisan novelis Jayne Anne Philips, 71, memenangi kategori fiksyen Hadiah Pulitzer 2024.

Naskhah tulisan pengarang asal barat Virginia itu mengambil latar kampung halamannya dengan menampilkan watak ConaLee, 12, dan ibunya Eliza, berjuang untuk perlangsungan hidup ketika dan selepas Perang Saudara di Amerika.

Naskhah sejarah itu ialah novel keenam Philips dan beliau mengambil masa lapan tahun untuk menyelesaikannya.

Night Watch ialah trilogi Sejarah Perang Amerika daripada dua novel terdahulunya, Machine Dreams tentang pengalaman keluarga Amerika semasa Perang Vietnam, dan Lark & Termite, tentang sebuah keluarga kelas kolar biru di Virginia Barat yang bertahan hidup selepas ketua keluarga mereka dikerahkan ke Perang Korea.

Turut sama mendapat penghargaan dalam anugerah berprestij itu ialah penulis Brandon Som menerusi kumpulan puisinya, Tripas yang memenangi kategori kumpulan puisi, manakala naskhah A Day in the Life of Abed Salama: Anatomy of a Jerusalem Tragedy tulisan Nathan Thrall memenangi kategori buku bukan fiksyen.

Hadiah Pulitzer yang dimulakan sejak 107 tahun lalu memberikan penghargaan kepada 23 kategori. Kategori itu termasuk penulisan berita dan rencana akhbar, selain tulisan fiksyen, puisi dan naskhah bukan fiksyen.

Penghargaan Hadiah Pulitzer dikendalikan oleh Universiti Columbia bagi memberikan penghargaan kepada penulisan dalam majalah, akhbar, kewartawanan dalam talian, serta karya kreatif di Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, mulai tahun hadapan, Hadiah Pulitzer hanya memberikan penghargaan kepada tulisan warga Amerika sahaja bagi kategori seni dan sastera.

Kredit Foto: Garry T/Unsplash

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.