Diterbitkan pada 3 Ogos 2025, 10:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bandar Melaka Majlis Makan Malam Perhimpunan Penulis Sastera Wanita Se-Nusantara dan Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Ikatan Persuratan Melayu (IPM) malam semalam diserikan dengan pelancaran dua buah buku baharu.

Buku pertama yang dilancarkan ialah Ingatan-ingatan Kecil terhadap Aceh, sebuah kumpulan sajak hasil karya ahli IPM dan warga Aceh yang menjadi tuan rumah ketika program pengantarabangsaan IPM dengan penulis-penulis Aceh pada Disember 2024. 

Buku kedua pula bertajuk Tokoh dan Penulis IPM Menjenguk di Luar Jendela, yang menghimpunkan rencana mengenai jasa dan perjuangan tokoh serta penulis IPM dalam membugar kembali khazanah bahasa dan sastera.

Ketua Satu IPM, YBrs. Tuan Haji Abdul Razak Adam, dalam ucapannya berkata, penerbitan dua buah buku tersebut menjadi bukti kesungguhan penulis lama dan baharu untuk terus menyemarakkan dunia sastera tanah air.

Perhimpunan pada kali ini membawa tema “Kepengarangan Wanita dalam Era Baharu”, dengan matlamat menghimpunkan para penulis wanita dan lelaki dari seluruh Nusantara meliputi Malaysia, Brunei, Thailand, Singapura dan Indonesia. Antara fokus utama ialah membincangkan keberadaan penulis wanita dalam era digitalisasi, cabaran yang dihadapi, serta langkah menangani isu yang berkaitan dengan sastera wanita pada peringkat serantau.

Selain pembentangan makalah, pada hari ini turut diadakan dua forum untuk memberikan ruang kepada para penulis berkongsi pandangan dan memperkukuh jaringan persuratan serantau.

Lafaz perasmian majlis ini telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka, YBrs. Puan Ezlina Alias; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan Melaka, YBhg. Datuk Zaidi Atan; Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan; serta YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan.

Untuk mendapatkan kedua-dua buku tersebut, boleh hubungi Facebook IPM.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi