Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBandar Melaka – Forum II bertajuk “Titik Temu dalam Dunia Penulisan Sastera Se-Nusantara” pada hari kedua Perhimpunan Penulis Sastera Wanita Se-Nusantara di Hotel Noble Melaka pagi tadi membuka ruang wacana mengenai masa depan sastera Melayu serta usaha penyatuan penulis rantau ini.
Perhimpunan yang menghimpunkan penulis, pengkaji dan penggiat sastera dari pelbagai negara serantau ini menjadi platform untuk membicarakan cabaran, peluang dan visi bersama dalam memartabatkan khazanah sastera Melayu di seluruh alam Melayu. Forum kali ini memberikan tumpuan kepada peranan institusi kebangsaan, konsep penyatuan budaya dan potensi sastera sebagai jambatan merentas sempadan negara.
Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), YBhg. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan, menegaskan bahawa dunia Melayu bukanlah milik satu bangsa atau negara semata-mata, sebaliknya sebuah khazanah yang dikongsi bersama-sama dengan seluruh rantau ini.
Beliau menggariskan keperluan untuk menghimpunkan data, menggerakkan wadah pertemuan penulis, serta membina jaringan kukuh yang berupaya merentas sempadan politik dan geografi.
“Melayu itu milik bersama,” tegasnya, sambil menambah bahawa teori pergerakan bahasa rumpun Astronesia harus difahami dan dihidupkan semula dalam konteks penulisan moden. Menurutnya, pengukuhan ini hanya akan berjaya jika para penulis serantau benar-benar berganding bahu dalam gerakan bersepadu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari, menekankan bahawa pengembangan bakat kepengarangan dan kesusasteraan tanah air tidak seharusnya dihadkan kepada soal gender. Hal ini demikian kerana, DBP memberikan peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin menerbitkan karya yang baik dan bermutu.
Beliau menegaskan, DBP terus memberikan ruang yang luas melalui penerbitan, anugerah dan peluang pengiktirafan, termasuklah Anugerah Sastera Negara dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (dahulu dikenali sebagai Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia) yang berkekalan menjadi tanda aras mutu karya penulis.
Selain itu, penglibatan DBP dalam platform antarabangsa seperti Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) dan Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM) adalah untuk memberikan peluang kepada penulis tempatan mendapat sokongan pakar, pendanaan dan prasarana.
“DBP tidak pernah menutup pintu untuk penulis dari Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand. Justeru, DBP turut mempergiatkan penerbitan buku sebagai sebahagian daripada usaha membentuk masyarakat berbudaya ilmu seperti yang digariskan dalam gagasan Malaysia MADANI,” ujarnya.
Dalam ucapannya, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, YBrs. Puan Ezlina Alias, mengingatkan bahawa sastera bukan sekadar nukilan bertulis, namun merupakan cerminan budaya lisan yang menjadi nadi identiti bangsa.
“Tradisi lisan seperti gurindam, pantun dan lagu rakyat merupakan aset yang sangat bernilai. Kita harus mendokumentasikan karya-karya ini agar tidak ditelan arus teknologi,” katanya.
Beliau menekankan bahawa medium moden perlu dimanfaatkan sebagai wahana penyebaran, supaya generasi muda dapat mendekati warisan ini dengan cara yang lebih segar dan berkesan.
Selain itu, Ezlina turut mengingatkan bahawa dana yang berkaitan dengan seni budaya boleh dimanfaatkan bukan sahaja untuk persembahan seni, namun untuk penulisan dan penghasilan skrip drama, sekali gus membuka peluang baharu kepada para penulis.
Forum II ini telah dipengerusikan oleh Ketua Satu Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), YBrs. Dr. Hussairi Hussin.
Selain membincangkan isu pengukuhan tradisi, forum ini turut mendorong penulis meneroka peluang dalam industri kreatif, khususnya dalam penulisan skrip drama, lirik lagu dan karya adaptasi.
Dengan adanya sokongan dana, bantuan teknikal dan jaringan kerjasama serantau, penulis diyakini mampu melahirkan karya yang lebih segar, relevan dan bermanfaat kepada masyarakat Nusantara.
Forum II yang diadakan ini membuktikan bahawa sastera bukan sekadar warisan, namun sebuah wadah penyatuan yang mampu merapatkan hubungan serantau, membina masyarakat berilmu dan memastikan tradisi budaya Melayu terus mekar dalam menongkah arus zaman.