Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kira-kira 100 delegasi dari Malaysia akan menyertai The Third International Minangkabau Literacy Festival (IMLF-3) di Padang dan Bukittinggi, Sumatera, Indonesia, pada tahun ini.
Angka tersebut sekali gus menyaksikan jumlah delegasi teramai menyertai festival tersebut yang akan berlangsung selama lima hari bermula 8 hingga 12 Mei 2025.

Setiausaha Jawatankuasa IMLF-3, Armaidi Tanjung memaklumkan, Malaysia menghantar hampir 100 orang delegasi yang terdiri daripada aktivis sastera, pegawai kerajaan dan ahli akademik.
Memetik laporan media dalam talian CakraDunia beliau berkata, angka tersebut menunjukkan peningkatan jumlah delegasi Malaysia lebih daripada 300 peratus berbanding tahun lalu.
“Di IMLF-3, Malaysia mengirim delegasi yang terdiri daripada komuniti sastera, kerajaan, dan para akademik hampir 100 orang.
“Panitia berasa bahagia kerana negara serumpun tersebut (Malaysia) menunjukkan komitmennya dalam membangunkan sastera Nusantara bersama-sama Indonesia,” katanya.
Delegasi Malaysia terdiri daripada beberapa kelompok, termasuk Kelompok Sastera Mahakarya sebanyak 52 orang, Kelompok UKM Mawar Lestari (20 orang), Dewan Bahasa dan Pustaka (lima orang), Perkumpulan Penulis Sastera Pena Malaysia (tujuh orang), Penulis Sabah (sembilan orang) dan ahli akademik (sembilan orang).
Beberapa buku karya penyair Malaysia dan Indonesia yang berkolaborasi dengan penyair dunia dijangka akan dilancarkan menerusi festival tersebut nanti.
Menurut Armaidi, IMLF-3 melibatkan peserta dari 24 negara, sekali gus melebihi sasaran awal sebanyak 20 negara.
Perkembangan tersebut jelasnya, menunjukkan peningkatan signifikan daripada IMLF-2 pada tahun sebelumnya.
Antara negara yang terlibat termasuklah New Zealand, Bulgaria, Bangladesh, dan Jerman, yang masing-masing diwakili oleh seorang delegasi.
Beliau berharap agar IMLF-3 akan memberi impak positif selain mengeratkan lagi kerjasama antarabangsa dalam dunia sastera.