Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBatam – Delegasi Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) yang dibarisi sebanyak 12 orang aktivis sastera memperkukuh jaringan diplomasi sastera dan budaya melalui Nadim Festival 2026 yang berlangsung di Batam, Indonesia pada 4 hingga 6 April lalu.
Festival sulung ini merupakan manifestasi gabung jalin persuratan antara empat negara serumpun, iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Singapura.
Bagi Presiden DPMP, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah, penyertaan tersebut merupakan satu bentuk refleksi sejarah yang sangat bermakna.
Menurut beliau, Batam dan Kepulauan Riau mempunyai pertalian darah serta sejarah yang sangat akrab dengan Tanah Melayu, khususnya Pahang menerusi naratif empayar lama.
“Kehadiran kami di sini melampaui batas sayembara puisi. Program ini merupakan usaha merapatkan ukhuwah dunia Melayu Nusantara.
“Tatkala menjejakkan kaki di bumi ini, kita sebenarnya sedang menghayati semula kegemilangan Empayar Johor-Riau-Lingga dan Pahang yang pernah berkongsi satu naratif tamadun yang agung,” ujar beliau.

Sepanjang tiga hari festival berlangsung, delegasi DPMP bukan sahaja hadir sebagai pemerhati, malah mereka memainkan peranan aktif dalam setiap pengisian acara seperti persembahan deklamasi puisi, sesi bedah buku di Rumahitam, Sekupang, siri kunjungan budaya ke Masjid Tanjak dan Jembatan Barelang, dan bengkel “Sastra di Ujung Jari” kelolaan Husnizar Hood dan Fatih Muftih.
Dalam festival yang sama, antologi puisi berjudul Tersebab Nadim yang memuatkan hasil nukilan ahli DPMP turut dilancarkan.

Penerbitan naskhah ini mengambil semangat tokoh Laksamana Hang Nadim sebagai simbol keberanian budaya dan bukan sekadar naskhah bacaan, tetapi lambang kesatuan pemikiran sasterawan empat negara.