Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTemerloh – Antologi puisi baharu, Cahaya Ilahi oleh 60 penulis Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dilancarkan oleh Ahli Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari, bersempena dengan “Malam Nur Ramadan: Gema Kata, Gema Ukhuwah” pada 16 Mac 2026 lalu.
Naskhah istimewa itu diterbitkan oleh DPMP sebagai tanda kebersamaan dan manifestasi kesuburan tradisi kepengarangan di negeri Pahang.
Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), YBhg. Datuk Zainal Abidin Borhan yang turut hadir bagi menyampaikan Amanat Perjuangan Kepengarangan pada malam itu menekankan kepentingan untuk penulis terus konsisten dalam perjuangan memartabatkan bahasa dan budaya Melayu melalui karya yang bermutu.
DPMP selaku penganjur menjayakan majlis malam itu di Hotel Seri Malaysia Temerloh dengan turut menampilkan persembahan deklamasi sajak oleh ahli DPMP dari daerah Temerloh, Jerantut dan Bera serta mengadakan segmen Tadabbur Puisi oleh dua tokoh akademik dan sastera negara, iaitu YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan YBhg. Profesor Dr. Azhar bin Wahid.