Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – YBrs. Puan Nor Azah Abdul Jalil, Penyelaras Sayap Remaja Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) menyarankan agar para mahasiswa menceburi pentas deklamasi puisi dan menggilap bakat yang ada bagi merancakkan lagi penyertaan dalam mana-mana sayembara deklamasi puisi yang saban tahun diadakan oleh pelbagai pihak dan agensi.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Pertandingan Deklamasi Sajak sempena Program Kreativiti dalam Seni Berbahasa yang julung-julung kali diadakan, anjuran Sayap Remaja DPMP UnIPSAS dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan DPMP di Dewan Barakah, UnIPSAS pada 18 Januari 2025.

Menurut beliau, pelibatan mahasiswa dalam sayembara deklamasi puisi pada peringkat arus perdana kurang memberangsangkan dan penganjur sukar mendapatkan peserta setiap kali sayembara diadakan.
“Objektif kami adalah untuk menerapkan budaya seni berpuisi dalam kalangan mahasiswa, khususnya di UnIPSAS.
“Program ini diadakan untuk mencungkil dan mengenal pasti bakat-bakat baharu yang ada agar kelak mudah untuk dibantu dan digilap lagi,” katanya.
Tambahnya lagi, “Pertandingan yang diadakan ini sebenarnya sebagai suatu bentuk pendedahan kepada mahasiswa di sini tentang situasi sebenar sayembara, kemahiran yang diperlukan, keyakinan untuk berpuisi di atas pentas sambil disaksikan khalayak penonton dan dinilai oleh pihak juri.”
Beliau berharap agar program-program seumpama ini dibudayakan pada peringkat institusi pengajian tinggi yang ada di Malaysia agar anak muda akan terus mewarisi seni berbahasa, khususnya dalam pentas deklamasi puisi.
Beliau turut menyatakan bahawa beliau yakin yang lebih ramai mahasiswa akan menyertai program sebegini sekiranya pendedahan dibuat dengan lebih kerap serta bimbingan diberikan oleh pakar yang berpengalaman.
Dalam pertandingan tersebut, Johan telah disandang oleh Che Rafidah binti Rahim dengan sajak “Wujud yang Menipis” karya Mohd Ghazali Taib; Naib Johan dimenangi oleh Mohammad Haziq Qayyum bin Jasri dengan sajak “Tawarikh Terindah” karya Raja Rajeswari Seetharaman; dan tempat ketiga menjadi milik Nur Azryn Athirah binti Zamzuri dengan sajak “Cinta Murni” karya Ahmad Sarju.
Turut hadir ialah YBrs. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mansor Abdullah, Presiden DPMP; Tuan Mohd Asri bin Mohammad, wakil pegawai DBP Wilayah Tengah, Tuan Haji Mat Nordin bin Mat Salleh, Ketua DPMP Kawasan Kuantan, dan tetamu jemputan.