Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Presiden Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohd Mansor Abdullah, menerima pengiktirafan atas jasa dan pengorbanannya dalam memartabatkan bidang kesusasteraan tanah air apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Nasional GAPENA 2025.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Datuk Seri Aminuddin Harun, pada Majlis Makan Malam Hari Sastera Nasional ke-20 (HSN20) yang berlangsung di Klana Resort, Seremban, kelmarin.
Sebagai penerima anugerah tersebut, beliau menerima wang tunai RM5,000, watikah penghargaan dan sepersalinan.
Dikenali dengan nama pena M. Ashikin, beliau merupakan tokoh sastera yang disegani di negeri Pahang. Antara pengiktirafan lain yang pernah diterimanya termasuk Anugerah Tokoh Sasterawan Darul Makmur 2015, Anugerah Tokoh Penyajak GAPENA/DPMP 2022 dan Anugerah Profesor Emeritus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2021.
Beliau telah lama bergiat aktif dalam DPMP, bermula sebagai Setiausaha DPMP Cawangan Pekan pada tahun 1968.
Seterusnya beliau dilantik sebagai Ketua 2 DPMP Pusat pada tahun 2000 dan Ketua 1 DPMP pada tahun 2008. Dalam peranan tersebut, beliau turut mewakili DPMP ke Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).
Sepanjang kepimpinannya, beliau aktif menganjurkan kursus dan bengkel penulisan untuk ahli DPMP, golongan belia serta pelajar sekolah menengah di seluruh negeri Pahang, sekali gus memperkukuh peranan DPMP sebagai wadah pengembangan bakat sastera tempatan.