Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBandar Melaka – Negara-negara berbahasa Melayu di rantau Nusantara wajar memikirkan penubuhan satu bentuk perkumpulan penulis wanita yang beragenda jelas bagi membina tamadun sastera serantau. Demikian pandangan yang dikemukakan oleh YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam kertas kerja bertajuk “Sastera Wanita Nusantara: Naratif Feminisme” pada Sesi 1 Perhimpunan Penulis Sastera Wanita Se-Nusantara di Hotel Nobel, Melaka, hari ini.
Menurut beliau, negara-negara yang berkongsi bahasa Melayu dan bahasa Indonesia seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan selatan Thailand memiliki sejarah kesusasteraan wanita yang panjang dan kaya. Namun begitu, persoalan yang timbul ialah sama ada hubungan dan persefahaman antara penulis wanita serantau telah dijalin dengan rasa kebersamaan.
“Tidakkah penulis wanita Nusantara mahu terlibat sebagai pelakar tamadun, dan sebaliknya hanya membiarkan penulis lelaki sahaja bergerak, baik dalam konteks pemikiran dalam karya mahupun dalam bentuk aktiviti bersama?” Soal Mohamad Saleeh.
Beliau menegaskan bahawa langkah pertama ialah memperkasakan keberdayaan penulis wanita melalui kerjasama atau pembentukan komuniti yang terjalin sama ada dalam bentuk pakatan longgar mahupun organisasi rasmi.
“Sekretariat kecil yang disokong oleh tokoh-tokoh berpengaruh sudah memadai jika tiada campur tangan langsung daripada agensi kerajaan. Beliau mengambil contoh Panitia Pertemuan Penyair Nusantara (PPN), yang masih bertahan sejak tahun 2007 hingga kini,” ujarnya.
Mohamad Saleeh berpendapat bahawa walaupun negara seperti Malaysia dan Indonesia memiliki jumlah penulis wanita yang ramai berbanding dengan negara kecil seperti Brunei dan Singapura, setiap sumbangan wajar dipetakan untuk menampilkan jalur sejarah panjang kesusasteraan Melayu.
Antara tokoh Malaysia yang disebut termasuklah Ibu Zain, Adibah Amin, Anis Sabirin, Zaharah Nawawi, Zurinah Hassan dan Fatimah Busu. Indonesia pula menampilkan nama-nama besar seperti Raden Ajeng Kartini, Nh. Dini, Ayu Utami, Dee dan Leila Chudori, manakala Singapura mempunyai Rasiah Halil, Hadijah Rahmat dan Kamilah Ahmad. Brunei juga tidak ketinggalan dengan tokoh seperti Dayang Hajah Norsiah Haji Abdul Gapar dan Fatimah Haji Othman.
Perkumpulan ini, jelasnya, bukan sahaja akan meraikan kepelbagaian citra, malah mampu membina solidariti dan persefahaman rentas negara. Rentetan itu, pertemuan berkala boleh membuka ruang untuk membongkar sejarah penulis wanita dalam pembinaan negara bangsa, di samping memperkukuh hubungan geopolitik.
Selain itu, perkongsian idea dan karya rentas negara diyakini dapat mempertingkatkan mutu kesusasteraan. “Pengarang yang tidak bergaul dengan pengarang dan karya yang bagus tidak mungkin menyedari kelemahan sendiri,” ujar beliau.
Daripada dialog akademik dan bacaan silang, katanya, lahir peluang untuk merumuskan puitika sastera wanita Nusantara, konsep estetika dan prinsip kepengarangan yang menemukan titik persamaan pemikiran merentas negara.
Mohamad Saleeh turut menyarankan agar penulis wanita menghidupkan kembali watak-watak tipa induk atau arketaip Nusantara seperti Tun Kudu, Cut Nyak Dhien, Ken Dedes, dan Puteri Ratna Dewi dalam karya moden, sebagai cerminan budaya untuk generasi baharu. Beliau juga mengingatkan agar penulis bersikap inklusif, menggambarkan pelbagai suku bangsa secara neutral tanpa prasangka atau dominasi, seiring falsafah egalitarian.
Dalam konteks naratif feminisme, beliau menegaskan bahawa struktur sosial tradisional telah lama meletakkan wanita di kedudukan lebih rendah, dan gerakan feminisme muncul sebagai penentangan terhadap penindasan tersebut. Menurutnya, kesusasteraan tidak boleh dilihat sebagai wacana neutral kerana kesusasteraan sering membawa ideologi yang mempengaruhi khalayak.
“Kesusasteraan perlu dilihat melalui kaca mata baharu supaya kesusasteraan tidak lagi berfungsi sebagai propaganda meneruskan ideologi kejantinaan,” jelasnya.