Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Naratif kolonial masih membayangi penulisan sastera dan sejarah Melayu, kata Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Azmi Arifin.
Katanya, dalam kerangka pemikiran ini, imej raja dan institusi kesultanan Melayu sering digambarkan sebagai zalim, berkuasa mutlak dan tidak demokratik, sedangkan persepsi itu sebenarnya berpunca daripada konstruk serta tafsiran Barat terhadap sistem politik Timur.
“Istilah seperti ‘feudal’ dan ‘raja berkuasa mutlak’ yang kerap digunakan dalam analisis sejarah Melayu merupakan konsep asing yang tidak sepenuhnya mencerminkan realiti politik dan budaya pemerintahan Melayu tradisional.
“Dalam konteks sebenar, hubungan antara raja dengan rakyat berasaskan prinsip timbal balik, adab dan tanggungjawab moral, jauh berbeza daripada konsep feudal Eropah yang bersifat menindas dan berhierarki mutlak,” katanya dalam Sidang 2 Persuratan dan Naratif Bangsa bersempena dengan Hari Sastera Nasional ke-20/2025 yang bertemakan “Kearifan dan Tamadun Alam Melayu sebagai Sumber Integral Membina Kandungan” menerusi siaran langsung media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.
Selain Dr. Azmi, sesi itu turut diisi oleh dua lagi ahli panel, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola DBP YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridwan dan sarjana dari Universiti Teknologi Malaysia, YBhg. Prof. Dr. Tatiana Denisova.
Azmi berkata, naratif kolonial yang diperkenalkan sejak zaman penjajahan telah membentuk kefahaman masyarakat dan sarjana tempatan terhadap sejarah serta sastera Melayu dalam kerangka yang berat sebelah dan negatif.
“Melalui penulisan kolonial, warisan intelektual dan politik Melayu sering digambarkan sebagai mundur, autoritarian dan tidak rasional, sedangkan gambaran itu sebenarnya berpunca daripada penilaian berasaskan pandangan dunia Eropah atau Eurocentrism, yang menilai budaya lain mengikut ukuran Barat,” katanya.

Terdahulu, Anwar dalam sesi yang sama menegaskan bahawa sastera bukan sekadar bentuk seni, tetapi merupakan jiwa sejarah manusia yang memelihara masa lalu, memperkaya masa kini dan membimbing masa depan bangsa.
Menurutnya, sejak awal peradaban, sastera telah menjadi cerminan realiti zamannya sambil menerangi jalan ke arah pemahaman, imaginasi dan kemajuan.
“Daripada epik lisan yang terawal hingga naratif digital masa kini, sastera membentuk tamadun, memelihara budaya serta menzahirkan emosi dan aspirasi terdalam manusia.
“Ia bukan sahaja menjadi rakaman sejarah, tetapi turut berfungsi sebagai alat yang mempengaruhi cara manusia berfikir, bertindak dan berkembang merentas generasi. Hanya karya sastera yang hebat dan berkualiti akan kekal, manakala yang lemah akan dilupakan,” katanya.
Antara karya unggul yang disebut beliau termasuk Salina, Si Tanggang dan Nyawa di Hujung Pedang yang meninggalkan kesan mendalam terhadap masyarakat.
Mengulas tentang sastera dan semangat kebangsaan, Anwar menjelaskan bahawa deklamasi puisi GAPENA sempena sambutan Hari Kebangsaan suatu ketika dahulu berperanan menyemarakkan kesedaran masyarakat Melayu untuk bangkit menentang penjajahan.
Beliau turut mengaitkan Hikayat Hang Tuah sebagai karya klasik yang mengandungi semangat etnosentrisme Melayu, ditulis selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511 bagi membangkitkan semula semangat bangsa.
“Selain itu, Hikayat Amir Hamzah juga berfungsi menaikkan semangat pahlawan Melaka sebelum berperang dengan Portugis menunjukkan kekuatan sastera dalam membina keberanian dan jati diri bangsa,” katanya.
Anwar turut menjelaskan bahawa sastera sejak dahulu menjadi wadah utama penyimpanan nilai dan ingatan masyarakat. Mitos, legenda dan epik seperti The Epic of Gilgamesh dan The Iliad mencerminkan perjuangan serta kepercayaan masyarakat awal terhadap kehidupan dan ketuhanan.
Beliau berkata, apabila sistem tulisan berkembang, sastera menjadi arkib tamadun yang menjadi asas pada pembentukan undang-undang, falsafah dan sejarah, seperti yang dapat dilihat dalam Hukum Kanun Melaka serta teks perundangan tempatan lain yang membentuk sistem pentadbiran dan keadilan.
Antara karya penting dalam tradisi Melayu-Islam, katanya, termasuk Sulalat al-Salatin, Ruba’i Hamzah Fansuri dan Al-Muntahi, yang membahaskan soal tauhid dan tarekat secara mendalam serta menggambarkan usaha manusia memahami kehidupan, kematian dan ketuhanan.
“Dalam dunia moden, sastera terus menghubungkan manusia merentas budaya dan sempadan. Melalui novel, puisi dan drama, pembaca dapat melihat dunia dari perspektif berbeza, sekali gus menumbuhkan empati dan pemahaman sejagat.
“Untuk karya sastera kekal berpengaruh dan merentas zaman, ia mesti memiliki lima ciri utama; pemikiran mendalam, emosi kuat, struktur kemas, diksi dan metafora sesuai, serta gaya bahasa yang mantap,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa sastera ialah nadi kehidupan manusia, bukan sekadar hiburan, tetapi kesaksian terhadap makna menjadi manusia.