Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNurafrina Abdul Aziz melihat isu patriarki dalam Perempuan Berkalung Sorban dan Sepasang Bulan sepintas lalu untuk renungan pembaca.
Perjuangan ini untuk membuka pemikiran masyarakat sekeliling yang berpendapat bahawa wanita tidak layak memimpin seperti lelaki dan hanya layak hidup di bawah telunjuk lelaki sahaja.
Patriarki ialah sebuah sistem sosial yang didominasi oleh kaum lelaki dan kaum wanita tidak mempunyai hak untuk menyuarakan sesuatu yang bertentangan dengan apa-apa yang dilakukan oleh kaum lelaki. Kaum wanita juga merupakan kaum yang ditindas apabila berada di bawah taklukan patriarki, tidak kira di negara mahupun budaya apa yang diamalkan mereka. Menurut Aldo Facio (2013):
Women are not treated identically in Patriarchy, nor are all women excluded in the same way from spaces of power. In fact this different treatment is a mechanism by which the lack of solidarity and competitiveness among women is promoted. This lack of solidarity and competitiveness among women sometimes escalate to outright contempt for each other, thus ensuring their loyalty to men and male values.
Across Patriarchy’s different models, women are exposed to different degrees and types of violence, some common to all and others specific to each cultural, religious or economic model adopted by the Patriarchy.
Berdasarkan petikan hujah Aldo Facio mengenai patriarki, pemerintahan patriarki sememangnya merupakan sebuah sistem yang memberi kunci kepada kaum lelaki untuk melakukan penindasan terhadap kaum wanita.
Stigma patriarki ini bukan sahaja wujud di negara Malaysia, malah juga wujud di serata dunia, terutama di negara yang populasinya menganuti agama Islam. Alasan yang diberikan sekiranya sistem patriarki itu diamalkan selalunya atas sebahagian daripada tuntutan dalam agama Islam, walaupun hal itu amat menyeleweng daripada tuntutan agama Islam.
Perkara ini dibuktikan oleh para mufassirun (Khalif Muaamar dan Adibah, 2019) yang menegaskan bahawa meskipun lelaki diberikan kelebihan satu darjat ke atas wanita namun kaum wanita juga mempunyai hak sebagaimana lelaki kerana mereka turut memikul kewajipan. Al-Qurtubi mengatakan bahawa isteri mempunyai hak untuk dilayani dengan baik dan diperlakukan dengan terhormat oleh suami mereka, sebagaimana mereka diwajibkan untuk mentaati suami.
Dalam sastera, stigma patriarki disentuh oleh pengarang wanita Indonesia, Abidah El Khalieqy dalam novelnya, Perempuan Berkalung Sorban (2001). Bagi Abidah El Khalieqy, isu kesamarataan jantina merupakan isu yang meruncing di Indonesia ketika itu, malah terus terkesan sehingga kini. Disebabkan rakyat Indonesia merupakan rakyat yang sangat suka membaca, maka pengarang seperti Abidah El Khalieqy tidak melepaskan peluang untuk menjadi wanita yang lantang bersuara dengan menghasilkan karya yang memperlihatkan sisi perjuangan seorang wanita.
Perjuangan ini untuk membuka pemikiran masyarakat sekeliling yang berpendapat bahawa wanita tidak layak memimpin seperti lelaki dan hanya layak hidup di bawah telunjuk lelaki sahaja. Novel ini kemudian difilemkan, malah berjaya membuka mata masyarakat tentang hak kesamarataan jantina.
Dalam novel ini, Abidah mengkritik stigma patriarki, khususnya tentang larangan terhadap kaum wanita untuk menjadi pemimpin. Terdapat sebuah adegan di sekolah pesantren apabila Anissa, watak utama dalam novel ini telah mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai ketua kelas. Namun begitu, guru pesantrennya telah melantik Farid, iaitu rakan sekelasnya untuk menjadi ketua kelas dengan alasan Islam tidak membenarkan perempuan menjadi ketua.
Pernyataan yang dilakukan oleh gurunya itu bercanggah sama sekali dengan ajaran Islam. Jika dilihat, pada zaman Rasulullah SAW, sudah wujud wanita yang menjadi pemimpin seperti Nusaibah binti Ka’ab yang turut serta dalam kebanyakan perang, malah digelar sebagai perisai Rasulullah SAW.
Perempuan Berkalung Sorban turut menampilkan wanita yang diperalatkan sebagai hamba pemuas nafsu kepada para lelaki semata-mata. Wanita juga harus menurut sahaja perintah kaum lelaki, seperti lembu yang dicucuk hidungnya bagi menjamin “keharmonian hidup” dalam sistem patriarki. Hal ini ditampilkan dalam adegan Anissa yang berkahwin dengan Samsudin, suaminya sering memaksa Anissa melayaninya walaupun dalam keadaan Anissa sedang bersedia untuk mengerjakan solat. Apabila Anissa sering menolak permintaannya untuk bersama, Samsudin mula melakukan maksiat dengan wanita lain sehingga menghamilkan wanita tersebut. Akhirnya, Samsudin menikahi wanita tersebut dan menjadi isteri keduanya.
Anissa terpaksa akur walaupun dalam hal ini, Samsudin sudah terbukti bersalah, namun keluarganya tetap menyuruhnya menuruti perintah seorang suami yang telah melakukan zina atas alasan Samsudin merupakan seorang suami dan suami harus dijulang sebagai tuan. Pemikiran keluarga Anissa yang jumud kerana terlampau mengagungkan kepimpinan seorang lelaki dan suami telah menambah lagi beban derita dalam hidup Anissa.
Amelia Hashim menyatakan sendiri dalam sesi perkongsian ilmunya bersama-sama pelajar Universiti Utara Malaysia bahawa hal seputar feminisme pasti akan menjentik hatinya lalu menggerakkan mata penanya untuk menyentuh perkara itu melalui penulisannya.
Di Malaysia, terdapat juga karya yang menentang stigma patriarki dan hal ini sekali gus membuktikan, masih lagi wujud mentaliti lelaki sebagai tuan di Malaysia. Hal ini ditemui dalam Sepasang Bulan (2022), sebuah novel genre sejarah tulisan Amelia Hashim. Sememangnya, isu mempertahankan hak wanita bukanlah hal utama yang dibincangkan dalam novel ini secara terang-terangan. Namun begitu, sebagai seorang wanita, Amelia Hashim menyatakan sendiri dalam sesi perkongsian ilmunya bersama-sama pelajar Universiti Utara Malaysia bahawa hal seputar feminisme pasti akan menjentik hatinya lalu menggerakkan mata penanya untuk menyentuh perkara itu melalui penulisannya. Disebabkan itulah beliau memasukkan juga curahan hatinya terhadap stigma patriarki yang telah wujud sekian lama dalam masyarakat di Malaysia dan tampaknya, sukar untuk dimatikan.
Melalui Sepasang Bulan, Amelia Hashim menceritakan kisah seorang lelaki yang dianggap sebagai wira yang gagah perkasa dan sering memimpin peperangan merupakan lelaki yang culas dalam kepimpinan rumah tangganya sendiri. Upu Daeng Perani telah menikahi Tunku Aisyah yang dijadikan perkara membalas jasa atas pertolongan Upu Daeng Perani. Upu Daeng Perani menikahi Tunku Aisyah tatkala dia sudah mempunyai isteri di Siantan. Setelah Tunku Aisyah dinikahinya dan telah hamil lima bulan, Upu Daeng Perani telah berangkat setelah mendapat arahan daripada adik-beradiknya yang lain. Sehinggalah Daeng Sofiah dilahirkan, ayahnya itu masih tidak pulang ke pangkuan mereka sekeluarga. Walaupun hari berganti hari, penantian Tunku Aisyah yang menanti suaminya itu sia-sia sahaja. Upu Daeng Perani langsung tidak mengutus surat kepadapnya.
Di sini jelas, Upu Daeng Perani tidak menghiraukan Tunku Aisyah dan anak mereka. Perkahwinan yang dilakukan hanyalah suatu perkahwinan penghargaan dan politik. Tunku Asiyah ditampilkan sebagi objek untuk Upu Daeng Perani memuaskan nafsunya, tanpa sebarang bibit cinta yang wujud dalam hatinya. Keadaan ini ditampilkan dalam petikan yang berikut:
Ketika ayahandamu meninggalkan bonda kali pertama, anakanda berusia lima bulan dalam kandungan. Empat bulan selepas ayahandamu balik ke Selangor, anakandamu pun lahir di dunia ini. Selepas itu ayahandamu tidak datang-datang lagi.
………………..(Amelia Hashim, 2022:174)
Jelas tampil kekesalan dalam diri Tunku Aisyah yang dikahwinkan dengan Upu Daeng Perani. Dia mendambakan kehidupan bahagia bersama-sama suami dan anaknya, namun harapannya hanya tinggal angan-angan. Malah, Tunku Aisyah merasakan dirinya tidak ditakdirkan untuk mengecap kebahagiaan.
Kritikan Amelia Hashim terhadap stigma patriarki dapat dilihat dengan lebih jelas lagi apabila Amelia membuatkan watak Tunku Aisyah meninggal dunia kerana kesedihan yang amat dahsyat akibat pemergian suaminya yang tidak pernah memberikan kasih sayang seorang suami terhadap dirinya.
Secara umumnya, kritikan pengarang wanita terhadap stigma patriarki merupakan sebuah cetusan yang tampil dalam karya untuk memperlihatkan perjuangan hak asasi kaum wanita. Sistem patriarki yang berjalan beratus-ratus tahun tanpa ditentang ini ibarat suatu cengkaman yang mengunci lidah wanita daripada berkata-kata terhadapnya. Sebagai pengarang wanita yang cakna akan ketempangan sistem patriarki yang hanya menguntungkan pihak lelaki sahaja, maka terhasillah karya yang mengkritik stigma patriarki.
Oleh sebab itu, para pengarang wanita ini telah bertindak menyebarkan kesedaran melalui karya-karya mereka, sekali gus mereka telah dikenali sebagai pengarang yang lantang mengkritik stigma patriarki dan berusaha memperjuangkan hak wanita.
Novel Sepasang Bulan boleh dibeli di sini.
Kredit Foto: Rozy Aln/Unsplash
_________________________
Nurafrina Abdul Aziz dari Perai, Pulau Pinang.