Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBeberapa kenyataan Prof. Dr. Syed Farid Alatas semasa menjadi ahli panel perbincangan Majlis Peluncuran Buku Thomas Stamford Raffles: Pengkomplot atau Pembaharu? dan Minda Tertawan karya Allahyarham Profesor Dato’ Dr. Syed Hussein Alatas, pada 29 September lalu di Gerak Budaya, Petaling Jaya menarik perhatian Raja Yusoff Ariffin.
Penganalisis, pengkritik dan pengulas akademik sastera lebih suka melihat karya pengarang luar …
Dalam nada kesal, Prof. Dr. Syed Farid menyatakan bahawa proses nyahpenjajahan daripada minda tertawan tidak mudah kerana pemikiran rakyat masih lagi terbelenggu.
“Keadaan tersebut disukarkan lagi oleh hakikat bahawa kebanyakan mahasiswa kita tidak membaca novel-novel karya Pramoedya Ananta Toer dan Jose Rizal yang sarat dengan persoalan manusia dan perjuangan,” katanya yang membuatkan hadirin bungkam.
Namun begitu, tambah Dr. Syed dalam kehairanan, mereka mengetahui dan membaca novel karya Mark Twain atau Charles Dickens.
“Untuk menjadi sasterawan yang ada jati diri dan pemikiran lebih asli, seseorang itu perlu mempunyai satu nilai dan kualiti, iaitu sifat malu atau aib. Maksud saya, aib kerana kita terpisah daripada tradisi intelektual dan jati diri,” jelas beliau dengan tegas.
Antara yang diperlukan untuk membebaskan diri daripada penjajahan minda, kata Syed Farid, ialah pembinaan semula jati diri, dengan penggunaan sumber tempatan yang asli.
“Sebagaimana yang disarankan oleh ayah saya, kita jangan hanya meminati dan mengikuti konsep Barat, tetapi harus mengkritik juga dengan pemikiran yang mandiri. Allahyarham mengidamkan kewujudan masyarakat Malaysia yang mandiri,” jelas beliau, profesor di Jabatan Sosiologi, Universiti Nasional Singapura.
Mengapakah mahasiswa kita tidak membaca novel-novel yang disebutkan oleh Dr. Farid itu? Siapakah yang bersalah, dan apakah yang perlu dilakukan?
Walau bagaimanapun, saya juga ingin bertanya, adakah satu kemestian atau keperluan membaca novel-novel luar negara untuk membebaskan minda yang terjajah? Apakah tiada novel karya pengarang negara kita yang sesuai?
Meskipun mempunyai pendapat dan jawapan sendiri, tetapi saya cuba bertanyakan pandangan beberapa orang rakan penulis mengenai kenyataan Syed Farid itu.
Wan Ahmad Ismail, penyair dan penggiat teater veteran tanah air berpendapat bahawa hal ini terjadi kerana rakyat negara kita telah sekian lama disogok dengan bahan bacaan dari Barat, terutama novel.
“Tidak dinafikan ada yang membaca novel dari Indonesia kerana lebih tertarik. Novel-novel sedemikian menjadi pilihan kerana tidak banyak novel hebat dari Malaysia. Jika ada pun cuma Hikayat Faridah Anum, Ranjau Sepanjang Jalan, Nyawa di Hujung Pedang dan sebagainya,” katanya.
Sambil mengakui beliau sendiri turut menerima pendidikan sastera Barat, Wan Ahmad mengatakan bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka lebih banyak menterjemahkan novel dari Barat. Antara yang terkenal termasuk Anak Raja dan Anak Papa karya Mark Twain.
“Buku-buku Indonesia banyak dibekalkan oleh Abbas Bandung, Melaka dan Pustaka Nasional Singapura,” tambah beliau yang pertama kali beraksi di pentas menerusi drama Inggeris berjudul Saravan Singh pada tahun 1960.
Dalam persoalan apakah yang perlu dilakukan, Wan Ahmad, 74 tahun menyarankan agar fakulti atau jabatan sastera di semua universiti tanah air “memaksa” mahasiswa membaca novel tempatan.
“Siswa dan siswi sastera kita wajib membeli, dan jangan menyalin atau memfotostat. Hal ini perlu kerana skop sastera itu luas, satu kemestian, dan boleh menambahkan ilmu,” tegas beliau sambil mengatakan terdapat banyak novel Melayu tempatan yang sesuai dijadikan bahan pencetus/pendorong pembebasan minda.
“Tetapi penganalisis, pengkritik dan pengulas akademik sastera lebih suka melihat karya pengarang luar. Mereka berasa lebih hebat jika banyak membaca novel luar, berbanding sastera Melayu sendiri,” ujar Wan Ahmad.
Mahasiswa pada masa sekarang atau dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, kualiti mereka tidak sama …
Penyair mampan, Ratna Laila Shahidin yang pernah menulis novel berjudul Impian Suci, terbitan Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS) pada tahun 2015, menyatakan jika merujuk mahasiswa pada masa sekarang atau dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, kualiti mereka tidak sama.
“Mereka tidak membaca novel berat dari dalam mahupun luar negara. Mahasiswa jurusan kesusasteraan mungkin membaca kerana keperluan kursus mereka. Namun demikian, tidak semua begitu,” jelas beliau.
Tegas Ratna, menjadi tugas pensyarah untuk mendedahkan mahasiswa dengan novel apa pun, dan mengupas isinya. Mencari kesalahan mana-mana pihak, tambahnya, tidak akan menyelesaikan masalah.
“Pada saya, membaca novel karya sesiapa pun boleh membebaskan minda. Dengan memahami isi, mesej dan ideanya, sesiapa pun yang membaca dan menaakul akan mampu membebaskan minda,” katanya yang sangat meminati novel Imam, karya Sasterawan Negara (SN) kelapan, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain.
Sementara itu, Ahkarim berpendapat bahawa mahasiswa tidak perlu membaca novel kerana tiada dalam kurikulum pelajaran di institut pengajian tinggi.
“Semasa di tingkatan lima untuk Sijil Pelajaran Malaysia sahaja perlu membaca novel kerana ada dalam kurikulum,” kata penyair dan cerpenis veteran dari Kedah itu.
Ahkarim yang telah menulis enam buah buku, termasuk novel remaja berjudul Sir Khatim, amat meminati novel dalam bahasa Inggeris karya Gregory David Roberts, bertajuk Shantaram.
Bagi saya, sebenarnya semua genre sastera boleh membantu memerdekakan minda. Tidak hanya novel, membaca cerpen atau sajak juga boleh sedemikian, asalkan tema karya tersebut menggugah pemikiran, bukan menutupnya dan membekukan.
______________________________
Raja Yusoff Ariffin merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), mantan rakan Tajulmedia Melayu dan mantan ahli Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Raja Yusoff pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).