Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMarsli N.O mengambil pelajaran daripada cerpen baik Seno Gumira Ajidarma tentang proses dan hakikat mengarang.
Sering yang menjadi halangan ialah rentetan pertanyaan yang tidak berkesudahan mengganggu diri setiap kali mahu memulakan penulisan.
Seorang yang sudah biasa mengarang pun sering berdepan dengan masalah ketika ingin memulakan sebuah karangan. Tidak diketahui dengan pasti, dari mana dan bagaimana mahu bermula atau menghadapi hal yang dikatakan sebagai “rintangan pengarang” atau writer’s block.
Memang benar, di sekeliling kita bergentayangan jutaan cerita. Namun begitu, ketika baru mula menulis, ketika sudah di meja tulis menghadapi komputer meja atau komputer riba, hakikatnya tidak semudah itu: petik dan langsung boleh terus menulis.
Sering yang menjadi halangan ialah rentetan pertanyaan yang tidak berkesudahan mengganggu diri setiap kali mahu memulakan penulisan.
Sesuai dan pentingkah cerita sedemikian dituliskan sebagai karangan atau sebuah cerpen? Atau, jika ingin bertolak daripada suatu kebenaran, pengalaman peribadi dan kenyataan hidup, tidakkah apa yang akan diceritakan itu akan memalukan maruah diri sendiri atau keluarga?
Apatah lagi bagi seorang anak berusia 10 tahun yang diperintahkan oleh gurunya agar menulis sebuah cerita dalam tempoh waktu 60 minit. Walaupun telah diberikan tiga judul sebagai pilihan, namun bagi Sandra, judul-judul tersebut jugalah menghantar dirinya ke daerah dilema untuk memilih.
Judul “Keluarga Kami yang Berbahagia”, “Liburan ke Rumah Nenek” dan “Ibu” ialah suatu kenyataan, yang mendorong keinginan dirinya untuk berlari keluar kelas meninggalkan kenyataan yang sedang bermain dalam kepalanya, yang terpaksa diingatinya kerana hakikat sebenar kehidupan dirinya tidaklah sedemikian rupa.
Inilah situasi dan dilema yang dihadapi oleh watak atau tokoh bernama Sandra dalam cerpen “Pelajaran Mengarang”.
Antara ketiga-tiga judul yang diberikan oleh Ibu Guru Tati, Sandra merasakan “Mendapat kesulitan yang besar, kerana ia harus betul-betul mengarang. Ia tidak bisa bercerita apa adanya seperti anak-anak yang lain.”
Sandra merasakan demikian kerana “Untuk judul apa pun yang ditawarkan Ibu Guru Tati, anak-anak sekelasnya tinggal menuliskan kenyataan yang mereka alami.”
Akan tetapi, tidak bagi Sandra. Dia tidak memiliki pengalaman tersebut untuk diceritakan, seperti teman sekelasnya.
Untuk menulis tentang “Keluarga Kami yang Berbahagia”, Sandra hanya membayangkan gambaran “sebuah rumah yang berantakan” dan “pintu yang tidak pernah tertutup dan sejumlah manusia yang terus menerus berdengkur”.
Ketika berfikir tentang “Liburan ke Rumah Nenek”, yang masuk ke dalam benaknya hanya “gambar seorang wanita yang sedang berdandan di depan cermin”.
Akhirnya, pilihan yang ada hanya judul “Ibu”. Di mata Sandra, dia melihat seorang wanita yang cantik dan selalu merokok. Namun Sandra tahu, walau dimarahi dan dimaki kerana bertanya mengenai pekerjaannya, wanita itu tetap menyayanginya dan selalu meminta dia berjanji menjadi anak yang baik, “Berjanjilah pada Mama, kamu akan jadi wanita baik-baik Sandra.”
Akhirnya, jalan terbaik seorang pengarang, agar tidak sentiasa dirongrong oleh kemelut dan rasa bersalah, ialah berusaha untuk menulis sejujur yang mungkin, walau kejujuran itu akan mendedahkan kenyataan diri dan kehidupan sebenar seorang pengarang; betapa pun pahit untuk diterima dan ditelan.
Cerpen “Pelajaran Mengarang” karya Seno Gumira Ajidarma ini dipilih sebagai judul antologi Cerpen Pilihan KOMPAS yang memuatkan 18 cerpen terbaik KOMPAS bagi tahun 1993. Antologi cerpen ini diterbitkan oleh Penerbit Buku Kompas pada tahun 1993 dan dicetak semula pada tahun 2016. Dalam antologi ini, empat cerpen Seno telah terpilih sebagai antara cerpen terbaik KOMPAS bagi tahun 1992.
Menurut Nirwan Dewanto yang menulis pengantar untuk antologi ini, kesemua cerpen Seno yang dimuatkan dalam buku ini merupakan cerpen-cerpen terbaik kerana tidak mengobjekkan atau merekayasa (direka-reka) dunia di dalam cerpennya.
Dalam cerpen Seno, dunia tersebut bukan sesuatu yang selesai (sudah pasti ketika proses penulisan bermula) tetapi dunia yang terbentuk dan berkembang bersama-sama dengan aliran kata-kata Seno.
Kelebihan lainnya, bahasa bagi Seno tidak dijadikan alat untuk melukiskan pengalaman para tokoh dalam cerpennya, tetapi juga merangsang pembaca untuk turut menciptakan pengalaman tersebut.
Bagi Nirwan Dewanto, kesemua cerpen Seno dalam antologi ini memiliki kekhususannya yang tersendiri. Hal ini termasuklah cerpen “Pelajaran Mengarang” yang dinobatkan oleh para redaksi sebagai cerpen terbaik.
Melalui cerpen ini, Seno mengajarkan kita bahawa ada bezanya antara “bercerita” dengan “mengarang”. Bercerita maksudnya ialah menceritakan apa-apa yang ada terhadap kenyataan atau realiti kehidupan yang dilalui oleh seorang watak, atau dalam konteks ini, Sandra dan teman sekelasnya.
Sedangkan bagi Sandra, kerana dirinya tidak memiliki pengalaman dan kenyataan hidup seindah teman-teman sekelasnya, maka dia terpaksa mengarang. Dengan demikian, Seno secara tidak langsung ingin menyatakan kepada kita bahawa “mengarang” itu sebenarnya proses mengada-adakan atau merekakan sesuatu cerita yang sebenarnya tidak ada dan yang tidak dimiliki dan dilalui secara peribadi oleh sang pengarang.
Akhirnya, jalan terbaik seorang pengarang, agar tidak sentiasa dirongrong oleh kemelut dan rasa bersalah, ialah berusaha untuk menulis sejujur yang mungkin, walau kejujuran itu akan mendedahkan kenyataan diri dan kehidupan sebenar seorang pengarang; betapa pun pahit untuk diterima dan ditelan.
Meski berperang dengan rasa serba salah, malu, tertekan, sedih, dan terhina, Sandra akhirnya mampu menghabiskan karangannya mengenai “Ibu”. Walaupun karangannya hanya berisikan ayat “Ibuku seorang …..”.
Kredit Foto: Akeyodia/Unsplash
_________________________
Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected].