Oleh Marsli N.O
Diterbitkan pada 11 Februari 2026, 06:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Marsli N.O mencatatkan pengalaman awalnya menulis sajak.

Tentu sahajalah kesombongan itu tidak membawa saya ke mana-mana. Bertahun-tahun saya menulis sajak dan setiap karya yang dikirimkan ke majalah atau akhbar, tiada satu pun yang berjaya mendapat tempat untuk disiarkan.

Saya tidak menganggap pertanyaan bagaimana hendak menulis sajak daripada seorang pembaca dan pembeli kumpulan sajak saya Totem sebagai sesuatu yang remeh.

Saya faham dan pernah melalui fasa serupa itu puluhan tahun dahulu.

Apalagi apabila pihak itu terus terang mengakui, “Tidak pasti apakah kata yang tepat dan sesuai untuk memulakan sajak itu.”

Puluhan tahun dahulu, inilah juga pengalaman dan masalah yang saya hadapi.

Soal definisi apa itu sajak saya tahu dan mengerti. Ketika itu, buku Asas Menganalisa Sajak karangan Ali Ahmad yang diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti, saya jadikan buku bacaan wajib.

Namun saya tetap berasa sukar untuk menulis sebuah sajak dan tidak pasti apakah kata-kata yang sesuai untuk memulakannya.

Namun begitu, saya tidak ingin mengalah. Saya cuba dan berusaha untuk terus menuliskan sesuatu dan apa-apa yang dikatakan sebagai “sajak” itu.

Akhirnya, saya menemukan jawapan sendiri.

Setiap kali saya berasa ada sesuatu yang menyentuh perasaan dan fikiran, saya segera mencatatkannya ke dalam buku catatan khusus untuknya.

Maka, demikianlah permulaan saya mula menulis sebuah sajak. Saya tulis atau catatkan ke dalam buku khusus apa-apa sahaja yang terasa menyentuh perasaan dan fikiran saya.

Saya akui hari ini. Catatan itu ketika kembali dibaca dan direnungkan semula dengan lebih teliti ternyata amat kasar dan mentah.

Akan tetapi, itulah proses dan permulaannya.

Ketika itu, puluhan tahun dahulu, saya memang tidak kenal dan faham apa itu metafora, personifikasi atau pelbagai istilah muluk yang lain.

Saya menulis hanya berpandu atau sebagai reaksi terhadap segala sesuatu yang terasa menyentuh perasaan dan fikiran saya.

Sebelum itu, sebelum lupa, saya kembali teringat betapa pada tahun 1970 atau 1971, sekitar usia 13 atau 14 tahun, dengan hasrat meluahkan rasa simpati, saya pernah menulis sesuatu yang konon-kononnya itulah sebuah “sajak” mengenai kesan peperangan terhadap anak-anak di Vietnam.

Cara menulis ini semata-mata berbekalkan rasa nekad dan percaya kepada diri yang saya istilahkan sendiri sebagai “berkamikaze”. Atau, mungkin juga rasa sombong yang keterlaluan, kerana saya menolak untuk merujuk dan menjadikan sebarang karya milik penyair terkenal waktu itu sebagai contoh dan panduan.

Namun rasanya, kemuncak rasa sombong itu ialah ini: hanya ingin menulis sajak yang sepenuhnya beridentitikan diri saya sendiri!

Tentu sahajalah kesombongan itu tidak membawa saya ke mana-mana. Bertahun-tahun saya menulis sajak dan setiap karya yang dikirimkan ke majalah atau akhbar, tiada satu pun yang berjaya mendapat tempat untuk disiarkan.

Namun kerana tidak pernah kenal erti kata mengalah dan pada waktu sama, di samping terus menulis sajak demi yang sebenarnya entahkan apa-apa, saya merajinkan diri membeli dan membaca majalah seperti Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat dan Dewan Sastera, walau tidak secara teratur saban bulan; pengetahuan sastera saya semakin bertambah.

Hasil daripada pembacaan, saya mengetahui dan semakin faham. Betapa seseorang yang menulis tidak lain kerana mahu menyampaikan sesuatu kisah yang lahir daripada sentuhan dalam perasaan serta fikirannya.

Cerita yang ditulis itu boleh sahaja dalam bentuk suatu cerita dan juga sebuah sajak.

Namun sebagai karya sastera, baik sebuah cerita mahupun sebuah sajak, perasaan dan fikiran di dalamnya mestilah sentiasa seimbang.

Sebagai sebuah cerita juga, ketika dalam proses penciptaannya, seorang penulis akan memanfaatkan fikiran sedar dan separa sedarnya dengan menggabungkan fakta dan sifat-sifat rekaan.

Namun sebuah sajak, menurut fahaman saya ketika itu, adalah lebih sesuai dan tepat untuk dijadikan wadah meluahkan segala yang bergelora dalam perasaan seorang remaja yang sedang menuju alam dewasa.

Seiringan dengan peningkatan usia dan pertambahan bahan bacaan juga, saya semakin mengerti bagaimana untuk memanfaatkan dan menggunakan unsur-unsur kebahasaan dan puitis seperti simbol, metafora dan pengorangan dalam sajak yang saya tulis.

Lantaran itu, saya berdikit-dikit belajar menggabungkan kata ‘jendela’ di hadapan kata ‘malam’, atau “rumah pasung” sebagai gambaran perasaan tertekan, ‘burung-burung’ lambang pada semangat, dan ‘api’ sebagai lambang semangat yang berkobar-kobar.

Sehingga akhirnya, pada suatu pagi tahun 1977 (berusia 20 tahun), saya mampu menuliskan sebuah sajak pendek berjudul “Harapan” lalu dua tahun kemudian disiarkan dalam Dewan Sastera Mei 1979: “jendela malam/rumah pasungkah yang paling setia/kuaklah kemuncakmu/burung-burungku/bersama apiku/memerguk/tertimbus”.

Sajak ini ditulis sebagai luahan rasa perasaan yang sedang tidak keruan saya ketika itu, memikirkan arah perjalanan hidup dan cita-cita ingin menjadi penulis yang masih belum kesampaian.

Demikianlah secuil kisah kecil daripada seorang penulis yang juga tetap berasa dirinya kecil, mengenai bagaimana dan permulaannya dirinya menulis sajak.

Semoga pembeli dan pembaca buku kumpulan sajak Totem saya yang bertanya itu mendapat sedikit pencerahan dan membantu dirinya terus menulis sajak.

Beli kumpulan sajak Totem di sini.

_________________________

Marsli N.O kini penulis sepenuh masa yang memilih berjalan sendirian dan hanya menjadi dirinya sendiri.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi