Oleh Marsli N.O
Diterbitkan pada 13 Mei 2026, 08:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Marsli N.O mahu kita menyedari bahawa bahasa mempunyai kuasa yang lebih daripada hanya suatu kekuatan dalam kata-kata.

Apa-apa pun tanggapan dan gunjingan orang, saya ingin terus menulis dan mencipta dalam bahasa saya sendiri.

Saya menulis bukan untuk menentang dan menyebarkan perasaan kebencian, tetapi untuk menyedarkan dengan kebenaran. Saya berharap dan meyakini, setiap kalimat yang lahir daripada kejujuran hati, perasaan dan jiwa menjadi satu bentuk penentangan terhadap keangkuhan dan penindasan terhadap kemerdekaan kreatif dan berfikir seorang manusia. Di situlah, dengan bahasa, terletaknya kemenangan seorang penulis—menentang tanpa menghancurkan, menyedarkan tanpa mendesak dan memaksa.

Bahasa ibunda ialah rumah makna saya. Saya bersyukur dan rasa bertuah kerana dilahirkan sebagai Melayu dan menggunakan bahasa ini walau di mana pun. Di rumah inilah saya berehat, berfikir dan bermimpi. Dalam dunia yang dikuasai oleh bahasa pasaran dan teknologi, saya tetap memilih untuk menulis dalam bahasa sendiri, kerana di situlah maruah dan kasih saya bersemayam.

Saya tahu, mempertahankan keperibadian sendiri melalui bahasa dalam dunia yang serba asing dan galau ini memang tidak mudah. Tetapi inilah perjuangan yang saya pilih. Saya tidak mahu menjadi peniru dalam bahasa orang lain. Apa-apa pun tanggapan dan gunjingan orang, saya ingin terus menulis dan mencipta dalam bahasa saya sendiri.

Sebagai seorang yang menulis dan terus menerus berkarya, kemenangan yang sebenar bagi saya bukan tentang anugerah yang terpampang di dada majalah, bukan juga tentang nama yang disanjung dan dipuja. Kemenangan yang sebenar bagi saya adalah apabila setiap kali seseorang yang membaca tulisan saya lalu tersentuh hatinya, tercerahkan fikirannya atau tersenyum dengan makna yang ditemuinya sendiri.

Setiap jiwa yang hidup kerana kata-kata saya, itulah bukti bahawa bahasa masih berkuasa, masih hidup dan masih bermakna. Kerananya, saya berasa gembira dan bahagia. Kerananya jugalah, saya ingin menulis dan terus menulis. Kerana, sebagai penulis, saya berasa menang kerana mampu menulis dan terus menulis.

Saya percaya, kemenangan dalam bahasa bukan untuk menundukkan sesiapa, tetapi untuk menegakkan makna yang saya harapkan akan mampu memanusiakan orang lain atau pembaca karya saya, membuang nafsu dan sifat kebinatangan dalam dirinya, tidak munafik dan hipokrit, menyatakan sesuatu yang tidak dia sendiri laksanakan atau bersandiwara sebagai orang mulia suci; walau hakikat sebenar dirinya tidaklah sedemikian.

Kemenangan bagi seorang yang menulis adalah apabila bahasa menjadi jambatan dan bukan tembok. Apabila kata-kata menyatukan dan bukan memecahkan. Apabila kita berani menulis dengan hati yang tulus dan jujur.

Saya tidak mencari kemenangan yang riuh, kerana saya tahu kemenangan yang sejati itu senyap dan berakar dalam hati, berdenyut dalam bahasa, dan bernafas dalam setiap karya yang lahir daripada ketulusan hati dan kejujuran nurani seorang yang menuliskannya.

Selagi saya mampu menulis dan terus menulis, selagi itulah saya menang. Selagi bahasa ibunda saya hidup, selagi itulah bangsa dan jiwa ini tidak akan mati. Kerana itu jugalah saya terus-menerus menulis dan antara lain, sebagai contoh sebahagiannya, menerbitkan kumpulan sajak Totem, Primadona, Prahara, atau kumpulan cerpen Menanti Buraq dan Otak-otak yang Pecah.

Sekali lagi, kerana menulis, saya berasa beroleh kemenangan. Meski pada sudut pandangan orang tertentu yang sentiasa berfikir toksik, semua itu tidak bererti apa-apa pun. Yang penting, saya akan menulis dan terus menulis. Kerana dengan menulis, saya tetap berasa ada dan menang.

Namun begitu, kemenangan ini bukan pula bermakna sesuatu yang mesti dan hendak dibangga-banggakan secara riak dan sombong. Sama sekali tidak. Kemenangan ini sesungguhnya suatu anugerah yang diterima dengan rasa penuh tanggungjawab dan perasaan rendah diri, sentiasa waspada serta teliti, agar setiap karya yang ditulis tidak sampai menjadi sesuatu yang boleh mendatangkan mudarat kepada bangsa dan masyarakat.

Tentu juga, di sebalik setiap suatu kemenangan, selain usaha tanpa kenal erti mengalah daripada diri secara peribadi, sumbangan dan bantuan pihak yang lain juga turut terlibat dan penting.

Di sinilah, seorang penulis berasa berhutang dan berterima kasih kepada atau dengan banyak pihak: penerbit yang simpati dan mengerti, editor dan pengelola ruangan, penganjur acara, penilai dan pengkritik, keluarga serta kawan-kawan yang selalu memberikan sokongan moral.

Demi jati diri, fokus dan alam pengkaryaannya, seorang penulis perlu juga menyediakan ruang untuk keperibadiannya sendiri.

Seorang yang menulis memang perlu hidup dan berada di tengah-tengah masyarakat bangsanya. Namun hal ini tidak bererti dirinya mesti dilarutkan seluruhnya di tengah-tengah masyrakatnya yang bising ini, sehingga akhirnya dia kehilangan jati dirinya sendiri.

Demi jati diri, fokus dan alam pengkaryaannya, seorang penulis perlu juga menyediakan ruang untuk “keperibadiannya sendiri”, memilih bersendirian dan fokus terhadap pengkaryaannya.

Tentu sahaja, setiap pilihan punya risikonya yang tersendiri. Memilih bersendirian dan hanya memberikan fokus terhadap alam penciptaan sendiri, tidak bermakna seorang peribadi tidak diduga dengan cela dan umpatan, sehingga jika tidak dihadapi dengan kekuatan jiwa dan keyakinan diri, boleh mengganggu dan menggugat ketenangan perasaan pula.

Namun syukur. Usia hidup dan pengalaman mengajar saya. Jika tidak ingin hidup dengan perasaan kecewa sepanjang masa, saya mestilah berani dan bersedia untuk menerima beberapa kenyataan berikut.

Pertama, berani menerima kenyataan siapa diri saya yang sebenar. Segala kelebihan dan kekurangannya, berani mengakuinya dan berusaha untuk mengatasi serta memperbaiki segala kekurangan diri.

Kedua, tidak semua perkara dalam hidup ini mesti seperti apa yang saya inginkan. Di mana-mana sentiasa ada kekurangan dan kejahatan. Yang penting saya perlu tahu membezakan antara yang baik dengan yang buruk dan sentiasa berhati-hati untuk menghindarinya.

Ketiga, kena sedar betapa kemampuan saya terbatas. Saya tidak mampu mengawal segalan-galanya dalam hidup. Yang penting, saya perlu berusaha untuk laksanakan sesuatu sebaik yang mungkin. Setelah berusaha dan melakukan sebaik yang mungkin, selebihnya, tawakal dan minta pertolongan Allah SWT.

Keempat, jangan sekali-kali mengemis dan meminta simpati sesiapa. Meminta bantuan dan pertolongan adalah normal, tetapi tidak sampai ke tahap sedemikian rupa. Jika ditolak, terimalah penolakan itu dengan lapang dada dan jiwa besar. Jangan sekali-kali bersikap belas diri.

Belajar daripada pengalaman inilah, kerana tidak ingin sekadar berbelas diri dan sedar diri ini sekadarnya sahaja, saya memaksa diri belajar secara bersendirian agar tahu asas pengetahuan, tidak sahaja mengenai sastera dan penulisan, tetapi juga  mengenai pemikiran, kerajinan mencerna fakta, bersikap kritis dan mengelak percaya serta menerima segala sesuatu sehingga ke tahap taasub.

Apa yang diharapkan, dengan pengetahuan asas secara autodidaktik ini, hal ini akan mampu membimbing saya untuk mengatur pemikiran saya secara wajar dalam setiap tulisan yang saya tulis.

Tentulah segalanya tidak secara teratur dan sempurna. Malah, tiada niat pun untuk menyaingi, hendak dipamerkan dan meremehkan sesiapa. Segala usaha dan pencarian itu saya sedar dan tahu tidak menurut cara yang benar menurut disiplinnya secara penuh.

Namun saya bersyukur. Sedikit demi sedikit, selain pegangan agama, pengetahuan (yang masih sedikit) mengenai sastera dan penulisan serta sedikit pengetahuan mengenai asas berfikir yang benar, inilah antara alat permulaan saya mengenal dan tahu membezakan antara sesuatu yang baik dengan benar.

Berhadapan dengan pendapat dan bahan bacaan, difikirkan dan dicerna mana yang dirasakan benar, logik dan perlu, serta ditolak mana yang dirasakan perlu untuk saya tolak.

Semua ini, akhirnya membentuk peribadi dan cara berfikir sendiri. Namun segalanya bukan tanpa risiko.

Kerana memiliki arah dan cara berfikir sendiri dan tidak mudah mengakui segala sesuatu tanpa fakta serta hujah yang jelas serta benar, sering terjadi saya dianggap sebagai sombong oleh siapa yang hanya ingin mendengar persetujuan tanpa soal.

Kerana terlalu sering berhadapan dengan situasi sebegini, tidak ingin sekadar mengangguk dan akur segala sesuatu, saya berdepan dengan manusia yang merasakan dirinya berkuasa untuk memaksakan fikirannya kepada orang lain kerana kebetulan dia mempunyai sedikit “kuasa”. Saya bersedia tidak sudi menjadi “kawan yang baik” kepada setiap manusia yang bersikap toksik begini.

Tidak mengapa. Bukan kuasa saya untuk menghalang sesiapa pun bersikap demkian. Kerana itulah memilih bersendirian dan berseorangan bagi saya ialah pilihan yang terbaik.

Inilah antara sebab utama mengapa saya dengan yakin memilih untuk bersendirian. Dengan cara hidup bersendirian begini, saya dapat menghindarkan diri daripada manusia dan persekitaran yang toksik. Mengelak pertengkaran yang tidak berfaedah serta langsung tidak membantu kepada peningkatan ilmu serta akal fikir saya sebagai seorang manusia hanya ingin menulis dan menulis.

Kerana tidak perlu lagi bertengkar dengan sesiapa, saya tidak lagi perlu melukakan perasaan sesiapa atau merasakan diri terlalu dilukai.

Malah, kerana memilih berseorangan dan berjalan sendirian, saya menikmati  kesunyian dan kesendirian ini dengan nikmat sepenuhnya: merenung kesilapan sendiri dan berusaha memperbaiki diri!

Tentu sahaja di sini, maksud berseorangan dan berjalan sendirian tersebut bukanlah bermakna saya hidup tanpa keluarga dan tinggal jauh daripada kelompok masyarakat.

Baca Bahagian Pertama Refleksi |

_________________________

Marsli N.O kini penulis sepenuh masa yang memilih berjalan sendirian dan hanya menjadi dirinya sendiri.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi