Diterbitkan pada 15 Mei 2026, 07:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hidayyah AT Mizi memberikan reaksi balas terhadap tulisan Akmal Arsat dalam MediaSelangor, “Ketika Keraguan Menjadi Jambatan Menuju Tuhan”.

Dalam usaha meraikan pengalaman manusia yang kompleks, kesusasteraan Melayu mula bergerak ke arah estetika yang terlalu memuliakan kekosongan …

Wacana tentang estetika ketuhanan dalam kesusasteraan Melayu mutakhir kembali diperdebatkan susulan kemunculan esei “Ketika Keraguan Menjadi Jambatan Menuju Tuhan” oleh Akmal Arsat. Esei tersebut mengangkat gagasan bahawa sastera seharusnya menjadi ruang pengembaraan rohani—medan tempat manusia bergelut dengan iman, luka, kegagalan, dan misteri kewujudan.

Akmal cuba mempertahankan keraguan sebagai sebahagian daripada pengalaman spiritual; malah melihat kegelisahan batin sebagai jambatan yang memungkinkan manusia mendekati Tuhan secara lebih jujur dan manusiawi.

Pandangan sedemikian bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah kesusasteraan dunia. Banyak karya besar lahir daripada konflik batin dan pertanyaan metafizik yang tidak pernah menemui titik noktah.

Dalam tradisi moden, manusia tidak lagi tampil sebagai subjek yang memiliki keyakinan mutlak, tetapi sebagai makhluk yang sentiasa berada dalam keadaan rapuh dan terpecah. Maka, tidak menghairankan apabila Akmal Arsat cuba melihat sastera sebagai ruang yang meraikan pencarian, bukannya sekadar mengulangi jawapan normatif.

Namun begitu, setelah meneliti esei tersebut dengan lebih mendalam, saya merasakan bahawa persoalan yang sedang dipertaruhkan sebenarnya jauh lebih besar daripada sekadar “hak sastera untuk meragui”. Hal yang sedang dipersoalkan ialah kedudukan bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa yang telah dibentuk oleh sejarah panjang Islamisasi makna.

Apakah yang berlaku apabila keraguan itu sendiri mula diraikan sebagai estetika tertinggi? Benar, sifat ragu-ragu itu sememangnya sifat manusia. Malangnya, dalam keghairahan meraikan pengalaman manusia yang cair dan plural, kita mungkin sedang bergerak ke arah suatu keadaan yang lebih membimbangkan, iaitu kehilangan pusat makna dalam kesusasteraan Melayu.

Bahasa Melayu Tidak Pernah Neutral

Salah satu kecenderungan utama dalam esei Akmal Arsat ialah usaha melihat bahasa Melayu sebagai ruang yang boleh menampung pelbagai pengalaman rohani secara terbuka. Dalam kerangka tersebut, bahasa seolah-olah dilihat sebagai “rumah bersama” yang mampu menerima pelbagai tafsiran ketuhanan tanpa perlu terikat pada sejarah metafizik tertentu.

Pada satu sisi, pandangan ini tampak inklusif dan progresif. Dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia, keterbukaan budaya memang penting. Bahasa yang hidup tidak boleh menolak pengalaman manusia yang pelbagai. Namun, sejauh manakah sesuatu bahasa boleh dibuka tanpa kehilangan struktur makna yang membentuk identitinya sendiri?

Bahasa bukan bekas kosong. Bahasa membawa sejarah, pengalaman kolektif dan pandangan alam masyarakat yang menggunakannya. Dalam konteks Melayu, proses Islamisasi telah mengubah bukan sahaja kosa kata, tetapi keseluruhan imaginasi dan pembentukan budaya.

Istilah seperti “iman”, “dosa”, “wahyu”, “akhirat”, “syurga”, “fitrah”, dan “takdir” bukan sekadar kata-kata bersifat umum. Setiap istilah ini memberikan konotasi besar dan tunjang makna dalam kefahaman masyarakat. Istilah-istilah tersebut lahir daripada horizon metafizik Islam yang membentuk kesedaran tamadun Melayu selama berabad-abad.

Pemikir seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas telah lama menegaskan bahawa islamisasi bahasa Melayu bukan sekadar pengislaman istilah, tetapi pengislaman pandangan alam (worldview). Dalam Islam and Secularism, beliau menunjukkan bahawa bahasa menentukan cara sesuatu masyarakat memahami realiti.

Oleh sebab itu, apabila kita terlalu mudah menganggap bahasa Melayu sebagai ruang semantik yang boleh ditafsir semula tanpa batas, kita sebenarnya sedang mengabaikan sejarah epistemologi bahasa itu sendiri. Hal ini bukan soal menolak pluralisme secara membuta tuli, tetapi soal memahami bahawa setiap bahasa mempunyai pusat graviti maknanya yang tersendiri.

Keraguan sebagai Pengalaman atau Ideologi?

Akmal Arsat tampaknya ingin mempertahankan keraguan sebagai pengalaman manusiawi. Dalam eseinya, keraguan tidak dianggap sebagai lawan kepada iman, tetapi sebahagian daripada perjalanan menuju Tuhan. Hujah ini menarik kerana cuba menjauhkan sastera daripada bentuk didaktisisme yang terlalu kaku.

Sememangnya, kesusasteraan yang terlalu moralistik sering gagal memahami kerumitan manusia. Watak yang terlalu sempurna biasanya kehilangan daya hidup artistik. Manusia, pada hakikatnya, sentiasa bergelut dengan ketakutan, kesunyian dan pertanyaan tentang makna hidup.

Dalam The Brothers Karamazov misalnya, watak Ivan Karamazov memberontak terhadap penderitaan manusia sehingga menggoncang asas moral dan teologi. Dalam beberapa karya Albert Camus, absurditi hidup menjadi pusat pengalaman manusia moden. Namun yang menarik, karya-karya ini tidak meraikan kekosongan secara simplistik. Sebaliknya, memperlihatkan betapa dunia ini menakutkan apabila manusia kehilangan pusat makna.

Dalam L’Étranger, 1942 (versi terjemahan The Stranger, 1988), novel ini mengisahkan Meursault, seorang lelaki yang tidak acuh dan gagal mematuhi norma emosi masyarakat. Selepas membunuh seorang lelaki tanpa motif yang jelas, dia dijatuhi hukuman mati bukan sahaja kerana jenayahnya, tetapi kerana keengganannya untuk berpura-pura sedih atas kematian ibunya; menggambarkan manusia yang asing dalam dunia yang tidak logik.

Dalam Le Mythe de Sisyphe, 1942 (versi terjemahan The Myth of Sisyphus, 1955) pula, esei falsafah ini memperkenalkan konsep absurditi secara formal. Camus menggunakan figura mitologi Sisyphus, yang dihukum menolak batu besar ke puncak gunung selama-lamanya; sebagai metafora kepada kehidupan manusia. Camus menyimpulkan bahawa kita harus mengakui kesia-siaan hidup namun tetap meneruskannya dengan penuh semangat.

Dalam L’Homme Révolté, 1951 (versi terjemahan The Rebel, 1959); esei panjang ini pula meneroka bagaimana manusia memberontak terhadap keadaan absurd tanpa terjatuh ke dalam kancah keganasan atau nihilisme. Camus berhujah bahawa pemberontakan sejati ialah tindakan menolak ketidakadilan sambil tetap menghormati had kemanusiaan, sebagai jawapan kepada dunia yang tiada makna asal.

Di sinilah saya merasakan ada sesuatu yang kurang disentuh dalam esei Akmal Arsat. Keraguan boleh menjadi pengalaman manusia, tetapi apabila keraguan dijadikan nilai tertinggi; manusia akhirnya kehilangan kemampuan untuk membezakan antara pencarian dengan kehampaan, kebebasan dengan keterasingan, serta keterbukaan dengan kehilangan arah.

Dalam tradisi Islam sendiri, konsep hairah sering disalahfahami. Hairah dalam tradisi sufi bukanlah kebingungan relativistik seorang manusia yang tidak tahu di mana letaknya kebenaran. Sebaliknya, keterpesonaan seorang arif yang sudah mengenal Tuhan, tetapi menyedari bahawa keluasan Ilahi tidak mampu dicapai sepenuhnya oleh akal.

Perbezaan ini sangat penting. Apabila segala bentuk kegelisahan eksistensial dianggap sama nilainya dengan pengalaman kerohanian, kita akhirnya mencampuradukkan pengalaman mistik Islam dengan relativisme moden yang lahir daripada krisis spiritual Barat.

Sastera Melayu dan Krisis Kesunyian Moden

Krisis manusia hari ini bukan lagi semata-mata soal kemiskinan material atau konflik sosial, tetapi ketidakmampuan untuk memahami diri sendiri.

Walaupun begitu, saya tidak menolak sepenuhnya kegelisahan yang cuba dibawa oleh Akmal Arsat. Hakikatnya, generasi penulis muda hari ini sedang hidup dalam dunia yang jauh lebih terasing dan rapuh daripada generasi terdahulu. Kesunyian moden bukan lagi sekadar tema falsafah, tetapi merupakan realiti psikologi harian.

Sebagai seorang yang turut bergelut dengan persoalan yang sama dalam proses kreatif ketika menghasilkan kumpulan cerpen Selamat Datang ke Sebentuk Ruang (2025), perbincangan ini membentuk pengakuan dan retrospektif yang lebih empirikal dan mendalam untuk ditangani.

Cerpen-cerpen dalam buku tersebut, memaparkan sisi watak-watak yang bergerak dalam dunia yang dipenuhi kekosongan eksistensial, rasa gagal dan keterasingan emosi yang memperlihatkan perubahan besar dalam imaginasi sastera generasi muda.

Krisis manusia hari ini bukan lagi semata-mata soal kemiskinan material atau konflik sosial, tetapi ketidakmampuan untuk memahami diri sendiri. Watak-watak dalam kumpulan cerpen tersebut tidak hidup dalam dunia yang mempunyai pusat spiritual yang jelas. Mereka terapung antara kesunyian, trauma, hubungan yang gagal, dengan rasa rendah diri.

Dalam cerpen “Swipe ke Alam Bunian” misalnya, aplikasi mencari pasangan bernama Serasi mengemukakan pertanyaan-pertanyaan metafizik seperti: “Jika cinta hanya wujud dalam mimpi, sanggupkah kau bersemadi; untuk tidur di dalamnya, selama-lamanya?” (2025:42).

Pertanyaan sebegini memperlihatkan bagaimana generasi moden semakin memahami kehidupan melalui kaca mata psikologi dan eksistensialisme. Tuhan tidak lagi hadir sebagai pusat kepastian, tetapi sebagai gema yang samar di tengah-tengah kesunyian digital.

Sastera seharusnya tidak terperangkap, apatah lagi hanya mengangkat keluhan peribadi atau nihilisme yang melumpuhkan. Alam bunian dalam tradisi Melayu contohnya, bukanlah sekadar ruang kosong ala nihilisme Barat; tetapi cerminan dimensi ujian psikologi yang menguji akidah.

Jika watak dalam cerpen tersebut memilih untuk “bersemadi untuk tidur di dalamnya selama-lamanya”, adakah naratif itu akhirnya menyokong eskapisme dan bukannya islah (pembaikan)? Oleh sebab itu, saya percaya yang struktur plot, andai sekadar memperkenalkan konflik tanpa memandunya ke arah pencerahan; berisiko terperangkap dalam estetika kekosongan yang sama.

Di sinilah saya memahami mengapa Akmal Arsat ingin mempertahankan ruang keraguan dalam sastera. Beliau mungkin cuba mencari bahasa baharu untuk memahami manusia moden yang semakin lesu dan kehilangan arah.

Namun, adakah semua bentuk kekeliruan perlu diraikan atas nama pengalaman manusia? Atau, mengapa tidak diambil sahaja jalan yang lebih selamat, iaitu mengamati dan menganalisis kekeliruan dalam pengalaman manusia ini untuk dikupas dari perspektif nihilisme mahupun psikoanalisis yang lebih bertepatan dengan kompas sebenar isu yang cuba diketengahkan?

Bahaya Menjadikan Kekeliruan sebagai Estetika

Saya khuatir, dalam usaha meraikan pengalaman manusia yang kompleks, kesusasteraan Melayu mula bergerak ke arah estetika yang terlalu memuliakan kekosongan. Dalam banyak karya moden, watak yang paling “dalam” sering digambarkan sebagai watak yang paling rosak, paling keliru dan paling jauh daripada kepastian iman. Seolah-olah untuk menjadi artistik, seseorang itu mestilah terasing daripada Tuhan.

Estetika ketuhanan dalam sastera Melayu sepatutnya tidak berhenti pada keraguan semata-mata. Jika sastera hanya menjadi jambatan yang tergantung di atas jurang kekosongan tanpa pernah sampai ke tebing keyakinan, maka sastera tersebut hanya akan memamah diri sendiri. Akhirnya, setelah keraguan itu diraikan, ke manakah arah yang ingin dituju oleh jiwa manusia?

Menuju Estetika yang Membina (Islah) dan Menyegarkan (Tajdid)

Sebagai penutup, perdebatan mengenai estetika keraguan yang dicetuskan oleh Akmal Arsat seharusnya tidak dilihat sebagai titik noktah, sebaliknya sebagai peluang untuk melakukan tajdid (pemurnian/pembaharuan) dalam landskap kesusasteraan Melayu moden. Walaupun sastera perlu meraikan kejujuran pengalaman manusia yang rapuh dan terasing, sastera tidak seharusnya terperangkap dalam estetika kekosongan yang melumpuhkan jiwa.

Di sinilah semangat islah (memperbaiki kerosakan) perlu memainkan peranannya. Sejarah sastera Islam di Malaysia, yang dipelopori oleh tokoh seperti Syed Syeikh al-Hadi membuktikan bahawa sastera bukan sekadar cerminan realiti yang keliru, tetapi alat untuk membawa perubahan sosial dan pembersihan akidah. Jika keraguan dianggap sebagai “jambatan”, maka matlamat akhirnya mestilah berpasak pada usaha memperbaiki (islah) pemikiran masyarakat agar tidak terus hanyut dalam relativisme budaya yang asing.

Kesusasteraan Melayu masa kini perlu mengimbangi antara cabaran eksistensial generasi muda dengan tanggungjawab intelektual untuk menghidupkan semula (tajdid) pusat makna yang berteraskan pandangan alam Islam.

Dengan mengintegrasikan nilai islah dan tajdid, sastera tidak akan lagi menjadi sekadar ruang keluhan tentang “sistem yang gagal” atau “ketakutan sendiri”, tetapi kembali menjadi medium yang mendidik, membebaskan masyarakat daripada kekosongan makna, dan membimbing jiwa menuju keyakinan yang lebih utuh di tengah-tengah keributan zaman moden.

_________________________

Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi