Diterbitkan pada 24 Februari 2026, 11:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Mengikut Dr. Khairul Nizam Zainal Badri, sastera dan falsafah tidak banyak perbezaannya.

Dapatlah dikatakan bahawa sastera dan falsafah merupakan dua bidang yang saling berhubungan, sama seperti sains yang berkait rapat dengan falsafah.

Ahli falsafah kuno seperti Aristotle dan Pythagoras meletakkan asas untuk penyelidikan saintifik dengan meneroka falsafah alam dan kewujudannya. Kesannya, karya Aristotle tentang logik, metafizik dan sains semula jadi telah mempengaruhi pemikiran saintifik selama berabad-abad lamanya. Begitu juga kajian Pythagoras tentang matematik dan hubungannya dengan dunia fizikal yang menyumbang kepada perkembangan teori saintifik.

Semasa Zaman Pencerahan sebagaimana menurut Feruz Urazaliev (2024), sempadan antara falsafah dengan sains menjadi lebih jelas, namun interaksi antara kedua-duanya tetap kuat. Ahli falsafah seperti René Descartes dan Immanuel Kant terlibat secara mendalam dengan idea saintifik, mempersoalkan sifat realiti, pengetahuan dan kewujudan. Kaedah keraguan dan penekanan Descartes terhadap rasionalisme meletakkan asas bagi kaedah saintifik, manakala kritikan Kant menangani had pemahaman manusia dan syarat untuk pengetahuan saintifik menjadi penting.

Jika sains dan falsafah saling berkait rapat antara satu sama lain sejak dahulu, bagaimana pula dengan sastera dan falsafah? Galileo Galilei pernah menyatakan, “Falsafah ditulis dalam buku besar yang pernah terbentang di hadapan mata kita – maksud saya alam semesta – tetapi kita tidak dapat memahaminya jika kita tidak terlebih dahulu mempelajari bahasa dan memahami simbol yang ditulis.”

Menurut Richard Nordquist (2025), bahasa dan simbol merupakan komponen utama dalam kesusasteraan. Kedua-duanya juga merupakan asas dalam falsafah, berdasarkan hal yang dinyatakan oleh Galileo tadi. Dengan demikian, dapatlah dikatakan bahawa sastera dan falsafah merupakan dua bidang yang saling berhubungan, sama seperti sains yang berkait rapat dengan falsafah.

Sambung Richard, bahasa berperanan sebagai medium penciptaan karya sastera, manakala simbol digunakan untuk menambah kedalaman dan makna pada karya tersebut. Tanpa kedua-dua komponen tersebut, sastera tidak akan dapat berdiri manakala tanpa kewujudan sastera, falsafah tidak dapat disampaikan dalam bentuk idea dan emosi. Dengan kata lain, tanpa pertautan antara kedua-duanya, falsafah menjadi kering dan lesu. Adapun sastera tanpa falsafah, bernilai hampa belaka.

Oleh sebab itu, sastera dan falsafah saling berkait rapat, dengan banyak karya sastera meneroka tema dan idea falsafah. Jika falsafah berusaha untuk memahami dunia melalui sebab dan logik, sastera pula menggunakan naratif, watak dan imejan untuk meneroka konsep yang serupa. Pertindihan dalam perkara ini dan potensi untuk penyelidikan falsafah dalam karya sastera mengaburkan lagi garis pemisah antara kedua-dua disiplin tersebut, menjadikan sastera sebagai alat yang berkuasa untuk penerokaan falsafah.

Pada dasarnya, sastera dan falsafah terikat dengan tema yang bertindih. Kedua-duanya menangani persoalan asas tentang kewujudan, moral, pengetahuan, dan sifat manusia. Sebagai contoh, karya kesusasteraan seperti Hamlet bergelut dengan persoalan kehendak bebas, membalas dendam dan kematian, yang juga penting dalam penyelidikan falsafah. Begitu juga karya yang meneroka keadilan, sifat baik dan jahat, yang boleh didapati dalam kedua-dua bentuk, sama ada dalam teks falsafah mahupun dalam naratif sastera.

Selanjutnya, banyak karya sastera diilhamkan atau terlibat secara langsung dengan idea falsafah. Pengarang menggunakan watak dan plot mereka untuk meneroka sudut pandang falsafah yang berbeza atau untuk mengkritik sistem falsafah sedia ada. Sebagai contoh, karya nukilan pengarang Fyodor Dostoyevsky dan Albert Camus sangat dipengaruhi oleh falsafah eksistensialisme, selain meneroka tema ketiadaan makna, kebebasan dan keadaan manusia. Di sisi lain, ahli falsafah sendiri sering menggunakan sastera untuk menggambarkan pandangan mereka, malah menggunakan contoh sastera untuk menjadikan konsep abstrak lebih konkrit dan boleh dikaitkan.

Sastera menawarkan perspektif unik tentang persoalan falsafah dengan melibatkan emosi dan imaginasi, yang membolehkan pembaca mengalami idea ini dengan cara yang lebih mendalam. Dengan meneroka konsep falsafah melalui naratif, sastera menjadikan idea ini lebih mudah diakses dan menarik untuk khalayak yang lebih luas. Kritikan sastera pula boleh menganalisis karya-karya ini dari perspektif falsafah, yang seterusnya melenyapkan garis pemisah antara kedua-dua disiplin ini, sebagaimana yang dinyatakan tadi.

Kant, Hegel atau Schopenhauer telah menggunakan syair epik, lirik atau teks dramatik kerana mereka menyedari bahawa karya sastera boleh membantu mereka menyampaikan mesej kebenaran, kesejahteraan dan kebijaksanaan dalam masyarakat.

Dalam konteks falsafah kesusasteraan, bidang tersebut mengkaji sifat sastera itu sendiri, meneroka persoalan tentang naratif, kebenaran, rekaan, dan hubungan antara sastera dengan realiti. Bidang ini juga mempertimbangkan implikasi etika dan moral kesusasteraan, meneroka cara kesusasteraan membentuk pemahaman manusia tentang dunia dan nilai yang ada di sekelilingnya. Begitu dekatnya hubungan antara sastera dengan falsafah sehingga kedua-duanya kelihatan seperti berasimilasi antara satu sama lain, maka tidak hairanlah apabila ahli falsafah dan ahli sastera itu sendiri juga masing-masing saling memerlukan dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Atas sebab demikian, dalam sesetengah keadaan, sebagaimana menurut Abdoulaye M’Begniga et al. (2022), sesetengah ahli falsafah seperti Kant, Hegel atau Schopenhauer telah menggunakan syair epik, lirik atau teks dramatik kerana mereka menyedari bahawa karya sastera boleh membantu mereka menyampaikan mesej kebenaran, kesejahteraan dan kebijaksanaan dalam masyarakat.

Kehadiran elemen sastera dalam falsafah seperti satu rahmat kepada ahli falsafah dalam usaha mencari jalan keluar daripada bebenang tradisi metafizik. Bukan mudah untuk menyampaikan sesuatu kandungan yang berkaitan dengan metafizik, tetapi menerusi sastera, masyarakat mudah untuk memahami dan menghadamnya. Oleh sebab kepentingan dan gaya yang terdapat dalam kesusasteraan menjadi sinonim dengan masyarakat, maka disiplin falsafah menjadi lebih rapat dengan karya sastera. Contoh mudah adalah seperti ahli falsafah Jerman, Martin Heidegger (1889 – 1976) yang melihat karya puisi penyair Austria, Rainer Maria Rilke (1875 – 1926) berjudul Duino Elegies sebagai satu pemahaman yang mendalam tentang keadaan manusia dan pengalaman makhluk, walaupun dalam konteks apa yang dilihatnya sebagai kemuncak metafizik.

Begitu juga dengan ahli falsafah Perancis, Jean-Paul Sartre (1905 – 1980) yang memanfaatkan pengaruh para penyair Perancis era sebelum dan yang sezaman dengannya seperti Francis Baudelaire (1821 – 1867), Stéphane Mallarmé (1842 – 1898), Jean Genet (1910 – 1986), dan Gustave Flaubert (1821 – 1880), untuk meneroka tema kebebasan, tanggungjawab individu dan keadaan manusia melalui lensa eksistensialisme. Pendekatan Sartre terhadap penulis-penulis ini melangkaui kritikan sastera tradisional, apabila beliau menyelami kehidupan mereka dengan memahami pilihan mereka dan makna yang mereka takrifkan tentang kewujudan.

Dalam pentafsirannya terhadap karya Baudelaire, Sartre memfokuskan penerokaan terhadap karya penyair itu tentang tema seperti pengasingan, bandar moden dan pencarian keaslian. Sartre melihat Baudelaire bergelut dengan percanggahan kehidupan moden dan keadaan manusia. Sartre menganalisis puisi Mallarmé, terutamanya penerokaan terhadap bahasa dan batasnya. Dalam analisis tersebut, beliau memahami Mallarmé sebagai penyair yang menolak sempadan bahasa bagi menyatakan sesuatu yang tidak dapat diungkapkan, malah bergelut dengan sifat makhluk.

Hubungan keterlibatan Sartre dengan Genet adalah yang paling terkenal, malah dirakam dalam bukunya, Saint Genet: Actor and Martyr. Sartre meneroka kehidupan dan kerja-kerja Genet, memfokuskan pada tema pelanggaran, kebebasan dan pembinaan identiti. Beliau melihat Genet sebagai seorang tokoh yang menerima keanehannya sendiri dan menggunakannya untuk mencabar norma masyarakat. Adapun pengaruh Flaubert terhadap Sartre adalah berkaitan dengan penonjolan kritikan novelis terhadap masyarakat borjuis dan penerokaannya terhadap keadaan manusia melalui watak-wataknya. Sartre melihat Flaubert sebagai seorang penulis yang membuat penelitian secara terperinci dan realistik, mendedahkan tipu daya dan kemerosotan moral pada zamannya.

Pada dasarnya, Sartre meneroka karya-karya penulis ini sebagai kajian kes untuk mengkaji tema kewujudan dan membangunkan antropologi falsafahnya sendiri. Beliau melihat karya mereka sebagai ungkapan keadaan manusia yang ditandai dengan kebebasan, tanggungjawab dan pencarian makna dalam dunia tanpa tujuan yang betul.

Meditations dalam terjemahan bahasa Melayu, Renungan.

Adapun falsafah Stoic yang diasaskan di kota kuno Agora zaman Yunani-Rom purba oleh Zeno dari Citium sekitar 300 Sebelum Masihi telah mendapat perhatian Maharaja Rom, Marcus Aurelius yeng memerintah empayar berkenaan di antara tahun 161 hingga 180. Beliau kemudiannya menulis sebuah teks sastera, tetapi sarat dengan kualiti falsafah bertajuk Meditations setelah terpengaruh dengan Stoic dari segi penekanannya pada kebaikan, alasan dan penerimaan perkara yang tidak dapat dikawal oleh seseorang, sehingga berhasil meneroka tema daya tahan dan kekuatan dalaman.

Contoh nukilan Aurelius yang dibayangi oleh falsafah Stoic termasuklah kata-kata hikmatnya yang sehingga kini masih lagi relevan dan dimanfaatkan oleh ramai orang. Antara kata-kata hikmat tersebut, sebagaimana menurut Tobias Weaver dalam tulisannya bertajuk “10 Stoic Rules from Marcus Aurelius” (2022) adalah seperti yang berikut:

Masa seperti sungai yang terdiri daripada peristiwa yang berlaku, dan aliran yang ganas; kerana sebaik sahaja sesuatu telah dilihat, ia akan dibawa pergi, dan lain datang menggantikannya, dan ini akan dibawa pergi juga.

Falsafah di sebalik kata-kata hikmat ini, sebagaimana menurut Tobias ialah, manusia perlu belajar menerima perubahan apa adanya, dan menikmati kebaikan yang dibawanya kepada diri. Contoh kata-kata hikmat berikutnya:

Kamu mempunyai kuasa ke atas fikiran kamu bukan peristiwa luar. Sedari perkara ini, dan kamu akan mendapat kekuatan.

Petikan ini menyerlahkan penekanan falsafah Stoic untuk memfokuskan pada apa-apa yang ada dalam kawalan seseorang seperti pemikiran dan tindakan, bukannya dipengaruhi oleh keadaan luaran. Contoh lain termasuklah:

Balas dendam yang terbaik adalah tidak menjadi seperti musuhmu.

Petikan ini menggalakkan individu untuk menjaga kebajikan dirirnya, dan tidak tunduk pada tahap orang yang menzaliminya.

Kesimpulannya, walaupun kesusasteraan dan falsafah ialah disiplin yang berbeza, pada hakikatnya kedua-duanya saling berkaitan. Sastera menyediakan sumber bahan yang kaya untuk penyelidikan falsafah, manakala falsafah menawarkan pandangan berharga tentang sifat dan tujuan sastera. Falsafah dan kerangkanya membantu manusia memperdalamkan pemahaman tentang sastera. Malah menurut Neha Upadhyay (2024), sastera menerangi falsafah untuk meneroka hubungan yang mendalam antara dimensi etika dengan estetik pengalaman manusia. Sastera juga membantu falsafah dengan memberikan lensa yang unik, yang membolehkan manusia meneliti kerumitan moral dan pengalaman estetik yang membentuk manusia dalam kehidupan.

Kedua-dua disiplin ini berkongsi asas yang sama dalam usaha meneroka pengalaman manusia dan memahami dunia. Sastera tertumpu pada penceritaan naratif dan ekspresi emosi, manakala falsafah menekankan sebab, logik dan inkuiri sistematik kepada persoalan asas tentang kewujudan, pengetahuan dan etika. Gabungan antara kedua-duanya mendorong manusia untuk membangunkan potensi intelek dan mengembangkan fungsi emosi, selain menjadi imej pada pengalaman yang berbentuk subjektiviti dan menjadi kerangka untuk mencapai objektiviti.

Sastera ialah refleksi tentang pengalaman manusia dan merupakan disiplin penting untuk memugar budaya. Adapun falsafah membangunkan watak dan menjelaskan nilai kehidupan. Sastera meneroka kehidupan manakala falsafah menganalisis persoalannya. Persilangannya bukan sahaja mempengaruhi antara satu sama lain, malah memperkaya pemahaman manusia tentang dunia dan dirinya.

Beli Renungan di sini.

_________________________

Khairul Nizam Zainal Badri (Dr.) mengajar di Pusat Pengajian Al Mansoorah, Puchong, Selangor.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi