14 Ogos 2023, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ibnu Din Assingkiri memasuki isu cita rasa memilih bentuk dan pola puisi untuk dibaca dan dinikmati, khususnya puisi minimalis.

Saya maklumi bahawa cita rasa tidak boleh dipaksa-paksa. Kesukaan saya, tidak semestinya menjadi kesukaan orang lain. Semua orang ada alasan tersendiri mengapa mereka menyukai pola puisi yang mereka suka. Sama juga seperti saya yang ada alasan tersendiri mengapa saya menyukai puisi minimalis.

Karya-karya yang tersiar di media perdana kita cenderung pada cita rasa rumah penerbitan, atau mungkin cita rasa editor, atau mungkin juga ketua editor yang mempunyai cita rasa ultimatum yang perlu dipuaskan, sebelum puisi-puisi tersiar. Kita boleh nampak kecenderungan pola puisi dari setiap rumah penerbitan andainya kita mengikuti (membaca) dan mengkaji karya-karya yang terbit saban minggu dan bulan.

Secara peribadi, saya menggemari puisi minimalis daripada semua mazhab (tradisi, moden dan juga pascamoden terpimpin). Setakat ini, selera saya dapat dipuaskan secara tekal apabila saya membaca karya-karya yang tersiar di Tukang Puisi, Selangorkini, Dewan Sastera, dan Berita Harian. Rumah penerbitan lain pula, semakin menerima puisi minimalis, di samping daripada jenis yang busananya beropol-ropol, dengan solekan tebal serba aneka.

Saya maklumi bahawa cita rasa tidak boleh dipaksa-paksa. Kesukaan saya, tidak semestinya menjadi kesukaan orang lain. Semua orang ada alasan tersendiri mengapa mereka menyukai pola puisi yang mereka suka. Sama juga seperti saya yang ada alasan tersendiri mengapa saya menyukai puisi minimalis.

Puisi minimalis ialah jenis puisi yang memakai diksi dari[ada perkataan biasa-biasa sahaja, namun diolah menjadi citra makna yang “berjisim” (substance). Penyair minimalis berusaha keras (dan cerdas) menjalinkan dan menggandingkan kata-kata biasa sehingga mencitrakan makna yang luar biasa dan mendalam.

Puisi minimalis banyak bermain di padang simbolik dan amat kurang bermain dengan gaya bahasa (alat susastera) yang rumit-rumit. Dengan cara ini, secara sedar (dan mungkin tidak sedar), mereka telah berjaya meminimumkan kejadian dan penghasilan gaya bahasa lusuh (klise). Untuk menjadi klise ialah hal yang mudah dalam penulisan puisi. Cubalah gunakan metafora dengan mewah atau kata-kata bombastik, arkaik/kuno/klasik dengan mewah …

Simbol-simbol yang ditukangi oleh penyair minimalis pula mudah dan dekat dengan kebiasaan dan kebijakan setempat. Mereka lebih banyak mengaplikasikan akal budi (common sense) dan (mungkin) pemikiran kritis semasa mengolah seni bahasa dalam karya. Saya bawakan contoh puisi Khoo Pau Liang dalam Berita Harian, 30 Julai 2023:

Gayung

Tiap kali mengisi air
ke dalam tempayan,
kubelajar dari gayung
cara-cara
mempertahankan kewarasan

Beberapa kali
Ia berpusing berpinar-pinar
disedut arus berpusar-pusar

ada ketika
nyaris-nyaris terhempas, tetapi
sedaya upaya ia
membetulkan diri

Sehingga tempayan sudah penuh
gayung masih boleh terapung
ringan dan bebas

Betapa pandainya
gayung itu membawa diri.

 SKJC Chung Hwa Jerteh

Penyair Khoo Pau Liang menggunakan simbol “gayung” untuk menyisipkan falsafah dan pemikiran daripada kearifan tempatan. Pemerhatian penyair pada gayung yang berputar dalam tempayan berjaya menerbitkan pemikiran yang kuat, malah dijalinkan dengan pengisian nilai murni. Yang menjadikan puisi-puisi bergizi ialah pemikiran dan ajakan kebaikan di dalamnya.

Puisi ini komunikatif namun tidak polos. Diksinya dilapisi dengan simbol-simbol yang mencitrakan makna yang mendalam. Bukan selapis, malah berlapis makna ditemui apabila digali oleh manusia yang berbilang latar. Seperti kata penyair mapan penerima SEA Write Award, Zaen Kasturi, “Puisi yang baik melahirkan makna yang pelbagai.” Begitulah halnya dengan puisi “Gayung” daripada Khoo Pau Liang di atas.

Jelas sekali, puisi ini tidak memakai dan tidak perlu pada solekan gaya bahasa serba aneka untuk “kelihatan” seperti puisi. Karya ini juga tidak perlu dibisingkan (amplified) dengan kata-kata bombastik atau arkaik untuk “kedengaran” seperti sebuah puisi. Puisi ini juga tidak perlu digembungkan oleh dramatisasi untuk “menjadi gah” seperti puisi. Ia sudah berjaya menjadi puisi – minimalis namun berjisim serta bergizi!

Semasa membaca puisi ini, saya merasakan (mungkin hanya saya seorang rasa begini) puisi ini dipertuturkan kepada saya dengan perlahan dan penuh kebijaksanaan (wisdom) oleh seorang penulis yang berilmu. Setelah selesai membacanya, saya mendapati ada nilai tambah positif kepada jiwa dan intuisi saya. Saya telah dibijakkan oleh puisi ini.

Penyair yang prolifik dalam akhbar perdana ini berasal dari Tanah Merah, Kelantan. Beliau guru Bahasa Melayu dan juga seorang penterjemah yang tidak kurang hebat. Tidak bermaksud untuk menjadi pembunuh keseronokan (joykiller), namun bait-bait akhir puisinya ini telah membuktikan bahawa adanya naluri guru yang kuat dalam jiwa Khoo Pau Liang. Malah, pada bait akhirnya, saya rasakan, Cikgu Khoo Pau Liang sedang membuat kesimpulan pada akhir topik subjek Moral. 😊

Kredit Foto: Ricardo Gomez Angel/Unsplash

_________________________

Ibnu Din Assingkiri berasal dari Singkir Laut, Kedah. Beliau telah menghasilkan dua kumpulan cerpen, empat kumpulan puisi serta berpuluh antologi pelbagai genre terbitan di Malaysia dan Indonesia. Turut terlibat sebagai editor, penyelenggara serta pembimbing bengkel penulisan kreatif. Karya eceran puisi, cerpen dan eseinya terbit di pelbagai media tempatan dan antarabangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.