Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIbnu Din Assingkiri memberikan reaksi tentang tulisan audio siar Khoo Pau Liang dalam pengamatan yang sedikit berbeza.
Jikalau usaha mengenal pasti masalah sudah dibuat dengan betul, 50 peratus daripada masalah sebenarnya sudah pun selesai.
Lama juga saya mencabut kelopak bunga lantana (nama lain bagi bunga tahi ayam) sambil membaca mantera, “nak jawab, tak jawab” berulang kali sehingga habis dogol beberapa kelopak lantana tersebut. Akhirnya, setelah tangan saya berbau seakan-akan “tahi ayam” – saya pun capai keputusan untuk menjawab bagi memuaskan hati sendiri.
Saya ingin menjawab esei Khoo Pau Liang tentang audio siar sastera. Lagipun, beliau ada menyebut nama saya serta beberapa orang eseis Dewan Sastera dalam talian. Walaupun bunga tahi ayam ialah lambang “cari fasal” dalam nuansa Utara Semenanjung, saya berjanji tidak akan bergaduh dengan Saudara Khoo Pau Liang yang walaupun masih muda belia tetapi terampil bijaksana.
Pertama sekali, saya ingin nyatakan secara terang benderang bahawa saya menyokong pendapat beliau. Kalau menyokong, bukankah tidak perlu menjawab tetapi mengiakan sahaja? Saya rasa, atas sebab-sebab tertentu, saya ingin juga menjawab esei beliau. Jadi, biarkanlah saya menjawab sambil mengiakan.
Beliau ada menulis bahawa polemik-polemik yang dibentang dan dijawab dalam ruangan Dewan Sastera dalam talian berkecenderungan jadi berjela-jela dan sampai pada satu tahap, tidak mampu dihentikan. Beliau juga ada menulis tentang cara tradisi mengutus dan berbalas surat sebagai penyebab utama kejadian luar dugaan ini. Lalu beliau mencadangkan agar diadakan audio siar (podcast) khas untuk membincangkan secara tuntas agar polemik yang timbul dapat diselesaikan secara ilmiah dan profesional.
Beliau juga mencadangkan beberapa cara serta diberikan nama calon yang dirasakan sesuai sebagai moderator. Beginilah cara sihat untuk mengkritik. Setelah dikritik cara mengutus dan berbalas surat sebagai gagal mengatup isu dengan tuntas, beliau mencadangkan cara penambahbaikan. Beliau pergi jauh sehingga mencadangkan nama-nama personaliti yang sesuai sebagai moderator: orang yang berani, bijak dan berkecuali (tidak bermazhab dan tidak jumud).
Kritikan beliau dilakukan dengan penuh tanggungjawab. Mengkritik kelemahan dan kemudiannya mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan. Inilah yang gagal dilakukan oleh segelintir pengkritik dewasa ini. Mereka menulis secara umum, tidak menyebut secara khusus tentang masalah. Antara tujuan kritikan termasuklah mengenal pasti masalah dan membantu atau memberi input kepada penulis untuk membetulkan masalah tersebut.
Jikalau usaha mengenal pasti masalah sudah dibuat dengan betul, 50 peratus daripada masalah sebenarnya sudah pun selesai. Jika kritikawan gagal menyebut tentang kesilapan atau masalah secara spesifik, bagaimanakah penulis akan tahu di mana bahagian tulisannya yang patut ditambah baik. Setelah penulis ditinggalkan dalam kekaburan, tidak ada satu cadangan pun yang diberikan kepada penulis tentang cara untuk memajukan penulisannya.
Kritikan tidak sama dengan menulis puisi. Kata Sasterawan Negara Baha Zain, “Puisi tidak berbicara segalanya dan tidak kepada semua.” Pendapat ini memberi ruang seni dan estetika pada puisi yang sedikit samar. Bagi penulisan puisi, samar sedikit itu indah. Bagi kritikan pula, samar sedikit (atau banyak) itu akan menggagalkan kritikan kerana tidak sampai kepada yang empunya karya secara khusus dan pembaca lain secara am.
Menurut Sohaimi Abdul Aziz dalam bab pengenalan buku Teori dan Kritikan Sastera (DBP, 2014), “kritikan sastera merupakan satu disiplin dalam pengajian kesusasteraan yang berkaitan menilai karya sastera secara objektif.” Katanya lagi, “kritikan sastera yang objektif ialah kritikan yang memenuhi ciri-ciri sesebuah kritikan sastera seperti penilaian yang tulus, penggunaan teori dan pendekatan yang tertentu dan penulisan yang berstruktur. Kata kuncinya ialah ‘secara objektif’.”
Walaupun kritikan disandarkan pada teori maklum balas pembaca (reader response criticism), kritikawan masih dituntut menjadi objektif apabila mengkritik. Kritikawan tidak boleh “acu terai” – menjolok sarang tebuan kerana berasa seronok apabila dikejar tebuan. Kritikawan juga tidak boleh berkias-kias dan berkenen-kenen tentang apa-apa yang menjadikan karya itu tidak sedap atau lemah di matanya. Kata kunci tadi, saya ulang ialah “secara objektif”. Lawan pada objektif ialah tidak spesifik, samar-samar dan tidak memberi nilai tambah kepada pembaca dan pengkarya.
Apabila kita renungi dengan sedikit mendalam, tujuan kritikan sebagai maklum balas penambahbaikan tidak akan berjaya jika tidak ditulis secara objektif. Maka saya tertanya-tanya, apakah tujuan mereka mengkritik? Apakah mereka melantik diri sendiri sebagai penguat kuasa atau petinggi sastera? Mungkinkah mereka menulis kritikan (tidak objektif) hanya sebagai isyarat kewujudan? Mungkinkah polemik yang asli akhirnya bertukar menjadi pseudopolemik kerana mereka gagal menjadi objektif?
Berbalik pada Khoo Pau Liang, yang lama ditinggalkan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi syabas kepada anak muda-belia ini kerana menunjukkan teladan kritikawan yang baik dan objektif. Mudah-mudahan beliau akan berkembang menjadi seorang kritikawan yang kritis dalam waktu terdekat serta sebagai pelestari sastera negara yang terbilang.
Kredit Gambar: Dimitri Simon/Unsplash
_________________________
Ibnu Din Assingkiri berasal dari Singkir Laut, Kedah. Beliau telah menghasilkan dua kumpulan cerpen, empat kumpulan puisi serta berpuluh antologi pelbagai genre terbitan di Malaysia dan Indonesia. Turut terlibat sebagai editor, penyelenggara serta pembimbing bengkel penulisan kreatif. Karya eceran puisi, cerpen dan eseinya terbit di pelbagai media tempatan dan antarabangsa.