Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku institusi yang bertanggungjawab dalam mendaulatkan bahasa dan sastera tanah air sentiasa komited bagi memastikan kedaulatannya kekal relevan sepanjang zaman.
Untuk tujuan tersebut, DBP terus memperkasakan pelbagai inisiatif strategik termasuk memanfaatkan platform digital bagi memudahkan diakses oleh semua pihak, selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Terbaharu, DBP memperkenalkan sebuah rancangan yang dinamakan sebagai Audio Siar Kupas Sastera, yang disiarkan menerusi saluran YouTube DBP Malaysia dan JendelaDBP.
Rancangan yang merangkumi 12 episod itu bakal menampilkan beberapa ahli panel yang terdiri daripada tokoh sasterawan, sarjana dan cendekiawan negara untuk berbicara serta mengupas hal yang berkaitan selain menyalurkan maklumat aktiviti berkenaan sastera dan bahasa.
Tetamu undangan bagi episod pertama yang disiarkan pada 27 Januari 2026 ialah editor majalah Tunas Cipta, Sdr. Ahmad Sayuti Mohd. Yusob dan Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP, Sdr. Saifullizan Yahaya.
Menerusi siaran episod pertama, kedua-dua tetamu lebih menumpukan pengenalan atau hebahan terhadap mekanisme rancangan berkenaan selain topik-topik yang bakal dipersembahkan menerusi episod-episod seterusnya.
Menurut mereka, pelbagai topik menarik telah disediakan untuk mengisi ruangan 12 episod pada siaran rancangan yang seterusnya, antaranya termasuklah perbincangan tentang sejarah sastera Melayu yang bermula dari abad ke-7 hingga awal abad ke-21.
Kata mereka, signifikan topik tersebut kerana hubung kaitnya dengan perkembangan bahasa Melayu sejak era Kerajaan Sriwijaya yang menjadi asas kelahiran sastera Melayu yang terus berkembang sehingga hari ini.
Topik-topik lain yang akan menjadi perbincangan dan pengupasan ialah sastera rakyat, sastera zaman peralihan, sastera moden, Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) dan semangat nasionalisme, karya malar segar penulis tanah air, termasuk sastera kepengarangan pada zaman kecerdasan buatan (AI).
Sehubungan dengan itu, mereka berharap agar rancangan tersebut akan memberikan manfaat selain pendedahan ilmu yang bermakna dalam kalangan pencinta sastera tanah air, khususnya dan masyarakat amnya.
Sementara itu, Sayuti ketika dihubungi memberitahu, siaran rancangan tersebut akan diadakan secara bulanan sepanjang tempoh 12 bulan pada tahun ini dengan tarikh dan masa yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.