Diterbitkan pada 12 Mei 2026, 07:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Mereka bukan sekadar pengarang, tetapi pemikir yang membaca, menilai dan bertindak balas terhadap realiti sosial melingkari kehidupan mereka.”

Demikian reaksi Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tentang kemunculan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) semasa menjadi tamu program Audio Siar Kupas Sastera: ASAS 50 dan Semangat Nasionalisme.

Beliau berkata, Angkatan ASAS 50 bukan muncul dalam ruang kosong, tetapi daripada kesedaran intelektual penulis muda yang melihat rasionalisasi peranan sastera dan bahasa sebagai medium perjuangan masyarakat.

Katanya, angkatan tersebut menjadi satu gerakan penting ke arah penggunaan bahasa Melayu, khususnya dalam bidang penulisan kreatif dan pemikiran sastera, selaras dengan semangat pascakolonial yang berkembang di rantau ini pada ketika itu.

“Bahasa Melayu sebelum ini banyak dipengaruhi oleh gaya lama yang bersifat romantik, dan diubah kepada bentuk yang lebih ringkas, dinamik dan kontemporari.

“Pembaharuan atau perubahan itu, bahasa tidak lagi dilihat sebagai alat komunikasi harian, sebaliknya turut mencerminkan perkembangan estetika sastera moden, sekali gus berperanan sebagai alat perjuangan masyarakat,” katanya.

Program yang dikendalikan oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Encik. Saifullizan Yahaya dan Editor Tunas Cipta, Sdr. Ahmad Sayuti Mohd. Yusob itu disiarkan menerusi saluran YouTube DBP, baru-baru ini.

ASAS 50 ditubuhkan pada tahun 1950 merupakan sebuah pertubuhan sastera pertama di negara ini sebelum zaman kemerdekaan yang bertujuan bagi memajukan bahasa dan sastera Melayu tanah air.

Menurut Saleeh, sastera ASAS 50 berkembang seiring dengan perubahan sejarah negara yang memperjuangkan kemerdekaan dan menentang sebarang bentuk penjajahan baharu seperti neokolonialisme.

Beliau mencontohkan novel Panglima Awang karya Harun Aminurrashid yang mengangkat martabat Melayu, di samping usaha untuk mengembalikan kedaulatan negara.

“Era darurat pula muncul novel picisan yang mendapat sambutan dalam kalangan anggota keselamatan yang berhadapan tekanan dan kesunyian tugasan,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi